Jurnal Kehidupan

Baja Otak

Bismillah.

Saya suka apabila Dr. Rosni Adam memberikan peringatan kepada muslimat agar menjaga kesihatan otak dengan memberikan otak ‘baja’ yang diperlukan.

Sebab orang perempuan ni banyak peranan dan tanggungjawab – menguruskan rumah tangga, mendidik anak, bekerja mencari rezeki, melaksanakan gerak kerja jamaah lagi. Boleh ‘burn out’ kalau tidak pandai menguruskan tekanan dan jika tidak menjaga kesihatan diri.

Ada 5 baja otak yang Dr. Rosni kongsikan, saya tambahkan sedikit penerangan untuk setiap point:

  1. Bersenam – pepatah arab ada menyebut: اَلْعَقْلُ السَّلِيْمِ فِي الْجِسْمِ السَّلِيْم. Bermaksud, akal yang sihat datangnya daripada tubuh badan yang sihat. Nak istiqamah bersenam ni perlukan mujahadah dan disiplin yang kuat.
  2. Dapatkan cahaya matahari. Cahaya matahari membantu tubuh kita menghasilkan vitamin D yang banyak manfaatnya, antaranya mencegah kemurungan dan meningkatkan sistem imun.
  3. Pastikan dapat tidur yang mencukupi dan berkualiti. Elakkan terlalu kerap berjaga hingga lewat malam.
  4. Ambil suplemen tambahan seperti omega-3 yang bermanfaat untuk kesihatan jantung dan juga untuk perkembangan dan fungsi otak. Untuk anak-anak, boleh sediakan menu yang tinggi omega-3 seperti ikan dan telur.
  5. Sentiasa belajar perkara baharu supaya otak sentiasa mendapat ransangan melalui proses belajar dan berfikir.

Selain memberikan baja kepada otak, kita juga boleh berusaha menjaganya melalui pemakanan yang sihat dan seimbang. Terutamanya kepada anak-anak yang sedang membesar – sangat penting untuk kita mengawal apa yang masuk ke dalam mulut mereka. Dan pastinya, proses ini perlu bermula dengan diri kita sendiri.

Jom kita usaha untuk jaga pemakanan diri dan anak-anak. Didik anak-anak daripada kecil tentang bahaya makanan ringan, gula-gula, air kotak yang tinggi gula dan makanan proses.

Berikan alternatif buah-buahan atau kekacang sebagai snek untuk mengunyah. Sebagai ibu juga, kita sama-sama usaha untuk masak makanan berkhasiat untuk keluarga, kurangkan makanan di luar yang kita tidak pasti apakah bahan yang digunakan.

Tubuh kita dan anak-anak adalah amanah Allah SWT untuk kita jaga sebaiknya, tunaikanlah hak-haknya. Moga dengan tubuh badan dan akal yang sihat, Allah SWT berikan kita kekuatan jasmani, kekuatan mental dan emosi untuk melaksanakan pelbagai amanah yang terpikul di pundak, insya-Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *