Perspektif Psikologi Dalam Mendidik Anak
Bismillah.
Saya sambung catatan perkongsian Tuan Aiman Amri daripada Seminar Madrasah Keluarga tempoh hari. Bila belek kembali buku nota, rupanya tak banyak catatan slot Tuan Aiman. Saya cuba gali balik apa yang masih lekat dalam memori.
1. Emotional Connection
Perkara pertama yang Tuan Aiman terangkan adalah berkaitan masalah perkembangan psikologi anak yang biasanya berpunca apabila anak merasa tidak dilihat. Tidak ada emotional connection dengan anak.
Tuan Aiman menayangkan sebuah video berkenaan sebuah kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi barat. Kajian itu menunjukkan perbandingan antara bayi yang dibesarkan di rumah anak yatim dan bayi yang dibesarkan oleh keluarga. Bergenang juga air mata ketika video ini ditayangkan.
Bayi yang dibesarkan dalam keluarga – yang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu dan ayah – lebih berani dan gembira bermain dengan mainan yang diletakkan di hadapan mereka.
Berbanding anak yang dibesarkan oleh sistem (rumah anak yatim) yang mana mereka hanya diberikan kecukupan daripada aspek fizikal sahaja tanpa emotional connection – mereka kelihatan takut, ragu-ragu dan keliru apabila diletakkan mainan di hadapan mereka. Tidak ada senyuman, bahkan mereka tidak melihat mainan itu sesuatu yang menyeronokkan.
Sedih bukan?
Begitulah besarnya kesan apabila anak-anak tidak merasakan perhatian dan kasih sayang oleh ibu dan ayah.
Menurut Tuan Aiman, ada dua keadaan otak anak-anak: learning brain dan surviving brain.
Anak mempunyai learning brain apabila mereka merasa selamat dan rasa disayangi. Mereka berani untuk explore apa sahaja tanpa rasa takut. Dalam fasa ini, mereka akan belajar banyak perkara daripada aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan.
Manakala surviving brain adalah keadaan anak yang sentiasa berada dalam keadaan takut dan berjaga-jaga lalu mereka mengehadkan perkataan dan aktiviti mereka kerana merasa tidak selamat.
2. Core Memory
Setiap daripada kita, ada core memory. Core memory ni biasanya ada nilai emosi yang tinggi dan core memory inilah yang akan mempengaruhi bagaimana kita memahami dunia hari ini.
Sebagai ibu dan ayah, antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan menanam core memory yang betul kepada anak. Tuan Aiman menyebutkan dua core memory yang perlu ada pada anak iaitu – pengalaman indah anak bersama ibu ayah dan akidah.
Kerana akidah adalah asas agama, maka mengajarkan anak tentang konsep ketuhanan, mengenalkan anak dengan Allah SWT menjadi satu perkara yang sangat penting dalam proses pendidikan anak.
Dengan pegangan akidah yang kukuh dan benar, insya-Allah anak-anak akan sentiasa berada dalam bimbingan Allah SWT sepanjang kehidupannya.
Saya teringat pesan Ustaz Syaari Abdul Rahman iaitu antara kaedah untuk mengenalkan anak dengan Allah SWT adalah melalui membawa anak melihat alam.
Sebagai contoh, ibu ayah boleh mengajak anak melihat langit lalu menceritakan bagaimana hebatnya Allah SWT mencipta langit 7 lapis tanpa tiang dan sempurna tanpa ada kecacatan. Hubungkan dengan ayat al-Quran yang menceritakan tentang langit. Lihat pula burung yang terbang tinggi, bagaimana Allah SWT menahannya daripada jatuh ketika ia mengatupkan sayapnya. Semuanya adalah tanda-tanda kekuasaan Allah SWT.
Apa yang saya belajar daripada perkongsian ini, ibu ayah perlu banyak berkomunikasi dengan anak. Komunikasi yang santai dalam suasana ceria – bercerita tentang kekuasaan Allah SWT, tentang adab dan akhlak, tentang pengajaran-pengajaran kehidupan dan pelbagai nasihat melalui cerita-cerita daripada Al-Quran dan kisah-kisah Nabi.
Mudah-mudahan ada pengajaran baik yang melekat dalam memori mereka dan membentuk mereka menjadi insan yang teguh imannya kepada Allah SWT dan baik akhlaknya dengan manusia.
Ustazah Asmak Husin ada juga menyebut tentang perlunya kita memberi kefahaman kepada anak tentang misi dan visi kehidupan – dari mana kita datang, apa tujuan kita di muka bumi dan ke mana kita akan kembali. Dengan visi kehidupan yang betul, sejauh mana pun anak kita melangkah, insya-Allah visi itu akan memandu kehidupannya ke jalan yang baik.
Satu lagi kaedah untuk menanam core memory dalam kehidupan anak-anak adalah – sekali sekala, keluar daripada rutin kehidupan. Elemen kejutan dan melakukan sesuatu aktiviti yang tidak biasa dilakukan bersama anak-anak akan meninggalkan kesan emosi dan memori yang lebih kuat dalam diri anak.
3. Validate emosi anak
Akhir sekali Tuan Aiman berkongsi tentang kepentingan untuk validate emosi anak. Kita yang dah dewasa ini pun merasa lebih tenang apabila perasaan dan keadaan kita difahami orang sekeliling. Begitu juga anak, mereka yang sedang mengalami perkembangan emosi lebih-lebih lagi perlu difahami dan disahkan emosinya.
Penat? Marah? Sedih? Kecewa? Raikan emosi anak, bimbing mereka untuk faham emosi mereka agar kelak mudah untuk mereka memahami emosi orang sekeliling. Mereka akan membesar dengan sifat empati yang tinggi.
Sekadar itulah yang dapat saya catat kembali daripada perkongsian Tuan Aiman.
Saya sendiri sangat berminat dengan subjek psikologi. Salah satu subjek yang saya perlu ambil untuk melengkapkan degree dahulu adalah subjek Pengurusan Emosi – sedikit sebanyak ada belajar tentang psikologi. Pernahlah juga berangan nak sambung belajar dalam bidang psikologi, namun setakat ni tak nampak jalan lagi. Jadi untuk memenuhi rasa ingin tahu tentang bidang ini, saya membeli beberapa buah buku tentang psikologi sebagai bahan bacaan.
Wallahu’alam. Semoga bermanfaat.