Jurnal Parenting

Perspektif Agama Dalam Mendidik Anak

Bismillah.

Alhamdulillah, Sabtu baru-baru ini saya dan suami diberikan kesempatan untuk menghadiri Seminar Madrasah Keluarga yang diadakan di Auditorium Dato’ Yahya Ahmad, SIRIM Berhad, Shah Alam.

Slot pertama seminar ini disampaikan oleh Ustazah Asmak Husin dan Tuan Aiman Amri manakala slot kedua disampaikan oleh Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin. Insya-Allah saya cuba keluarkan 3 catatan berasingan daripada perkongsian oleh panel-panel yang hebat ini. Saya nukilkan catatan ini bersama sedikit refleksi diri sendiri sebagai ibu yang baru setahun jagung membesarkan anakanda Aisyah.

Catatan pertama ini saya kongsikan daripada pengisian oleh Ustazah Asmak Husin.

1. Mengasihi agar dikasihi

Ustazah Asmak memulakan penyampaian dengan membacakan sebuah hadis yang ringkas tetapi sangat penting untuk difahami dan diamalkan oleh kita semua terutamanya apabila menjadi ibu dan ayah.

مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ

“Barang siapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.” (Hadis sahih riwayat Muslim, no 4282)

Daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa Islam mengajar kita bahawa pendekatan pertama dalam mendidik anak adalah dengan kasih sayang. Kasih sayang di sini tidak bermakna dengan kelembutan dan pujian semata, tetapi setiap teguran, nasihat, amaran yang diberikan kepada anak mestilah dengan rasa kasih kerana Allah SWT, bukan semata-mata kerana melepaskan kemarahan atau kekecewaan.

Pada saya, ia berbalik kepada niat dalam kita mendidik anak. Dalam buku Wahai Ibu, Jadilah Madrasah yang ditulis oleh Ustaz Pahrol, perkara pertama yang diterangkan di dalam buku ini adalah pentingnya keikhlasan sebagai teras pendidikan anak-anak. Saya kongsikan di sini petikan daripada buku tersebut.

“Keikhlasan itu bukan hanya pada niat tetapi juga pada cara dan matlamat kita. Sebagai ibu, kita sering terdorong oleh kasih sayang semula jadi terhadap anak-anak. Namun penulis mengingatkan bahawa dorongan fitrah sahaja tidak mencukupi. Ia mesti dilengkapi dengan dorongan iman, yakni mendidik kerana Allah. Dengan itu, setiap usaha kita – dari bangun malam menjaga anak yang sakit hingga mendidik akhlak mereka – menjadi ibadah yang diberkati.” – Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Malah dalam buku yang ditulis oleh orang bukan Islam pun menekankan bahawa mendidik dengan ikhlas kerana Tuhan lebih memberikan kesan kepada anak-anak. Saya kongsikan petikan daripada buku bertajuk Brain Rule for Baby:

“Hear that laughter? That’s the sound of my son Noah, demonstrating to his old man how important honest-to-God active parenting is in teaching him how to do something as wonderful as human.” – John Medina

2. Didik diri, didik keluarga

Sebelum perkongsian oleh Ustazah Asmak, Puan Aisyah selaku moderator memulakan sesi ini dengan membaca ayat 6, surah Tahrim:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka”

Allah SWT memulakan perintah untuk memelihara diri sendiri daripada neraka sebelum menyebut keluarga. Dapat kita fahami bahawa untuk mendidik keluarga agar terpelihara dari neraka adalah bermula dengan mendidik diri sendiri terlebih dahulu. Jika kita melihat kepada maratib amal pun, ia bermula dengan fardhul muslim, barulah ke peringkat seterusnya iaitu baitul muslim dan masyarakat muslim.

Saya menyimpulkan, proses mendidik anak-anak hakikatnya adalah proses memperbetulkan diri sendiri. Setiap nasihat dan teguran kita kepada anak, perlu kita lihat ia sebagai nasihat dan teguran untuk diri sendiri. Sebelum mengajar anak untuk mendirikan solat misalnya, kitalah yang terlebih dahulu berusaha mendirikan solat di awal waktu. Kerana anak lebih banyak belajar melalui apa yang mereka lihat, berbanding apa yang mereka dengar.

Setiap kekurangan anak – daripada aspek aqidahnya, ibadahnya, mahupun akhlaknya – kita sebagai ibu bapa yang terlebih dahulu perlu bermuhasabah sebelum kita memuhasabahkan anak.

3. Belajar untuk menerima ketidaksempurnaan pasangan dan juga anak.

Apabila kita terlalu mengharapkan kesempurnaan, kita lebih mudah kecewa dan tertekan. Apatah lagi dalam dunia hari ini, ibu ayah berlumba-lumba mempamerkan anak-anak di media sosial seolah-olah anak adalah trofi kehidupan.

Keadaan ini menimbulkan kekecewaan dalam diri ibu ayah yang tidak dapat mempamerkan kepandaian dan kehebatan anak. Akibatnya, anak-anak direndahkan dan dibanding-bandingkan dengan anak-anak yang lain. Kita lupa untuk melihat bahawa terdapat banyak lagi kelebihan anak-anak – kerana yang diukur hanyalah kebolehan akademik semata.

Ubah cara kita melihat anak-anak. Pandang dengan kasih sayang setiap kenakalannya, setiap kedegilannya, setiap kebaikan yang dilakukan walaupun sekecil-kecil kebaikan. Setiap anak dilahirkan dengan kelebihan dan potensi yang berbeza. Kita sebagai ibu bapalah yang menjadi fasilitator untuk mengembangkan potensi seorang anak.

4. Doa – kuasa ibu dan ayah

Ustazah Asmak juga berpesan, kita sebagai ibu khususnya perlu memanfaatkan kuasa seorang ibu iaitu doa. Doa juga merangkumi kata-kata yang baik yang kita berikan kepada anak setiap hari seperti pujian dan juga nasihat. Amalkan juga doa-doa yang mathur daripada Al-Quran dan hadis. Antaranya:

رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku” – Surah Ibrahim, ayat 40

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” – Surah As-Saffat, ayat 100

رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan” – Surah Ali-Imran, ayat 38

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

“Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).” – Doa ini dibacakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Abdullah Ibn Abbas.

Pesan Ustazah lagi, nak jadikan doa kita ini dimakbulkan Allah SWT, maka ibu ayah mesti berusaha menguatkan hubungan dengan Allah SWT khususnya dengan amal soleh dan ibadah yang berterusan.

Doa adalah senjata orang beriman. Tidak ada daya dan upaya sedikitpun untuk kita mendidik anak sehingga menyelamatkan anak dari neraka tanpa kekuatan dan pertolongan daripada Allah SWT.

Kuatkan tawakal dan pergantungan kepada Allah SWT dalam urusan mendidik anak.

Jangan sekali-kali kita merasakan usaha kita itulah yang menjadikan anak-anak soleh dan berjaya. Perbanyakkan bersyukur kepada Allah SWT atas setiap kemudahan dan pertolongan yang Dia berikan dalam urusan kita mendidik.

5. Usahakan yang terbaik, dan jangan berputus asa dengan anak.

Proses mendidik anak-anak memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi.

Jangan terlalu fokus pada hasil didikan, kerana yang menentukan hasil itu kuasa mutlak Allah SWT. Yakin pada proses mendidik yang kita lakukan setiap hari dan berserah kepada Allah SWT agar memberikan kita kekuatan dan kesabaran serta bimbingan agar kita sentiasa menjadi ibu ayah terbaik buat anak-anak.

Saya akhiri catatan ini dengan doa pemuda kahfi yang memohon rahmat Allah SWT serta bimbingan dalam setiap urusan. Moga Allah SWT membimbing diri kita, pasangan dan anak-anak dalam setiap urusan kehidupan di dunia ini.

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. – Surah Al-Kahfi, ayat 10.

Insya-Allah, ada masa terluang nanti saya kongsikan catatan daripada perkongsian Tuan Aiman Amri dan Dr Mohd Zamri. Sekiranya ada pembetulan atau penambahbaikan tulisan ini, mohon tinggalkan komentar agar dapat saya perbaiki. Terima kasih kerana sudi membaca 😊

Wallahu’alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *