Jurnal Kehidupan

Inspirasi

Bismillah.

Alhamdulillah, syukur atas peluang dan kesempatan yang Allah SWT berikan untuk menghadiri program Perantis Aktivis Wanita Islam yang dianjurkan oleh Ustazah Asmak Husin.

Dalam perjalanan ke tempat program tadi di Putra Height, sempat saya bisikkan doa dan pengharapan agar Allah SWT menjadikan masa yang saya luangkan untuk program hari ini mendapat rahmat dan keberkatan, dikurniakan ilmu yang bermanfaat – yang menjadikan saya hamba Allah SWT yang lebih baik.

Mudah-mudahan ia menjadi satu jalan untuk Allah SWT kurniakan limpahan petunjuk dan kebaikan.

Slot pertama tadi disampaikan oleh Datuk Dr. Kamilia Ibrahim. Beliau banyak menerangkan persediaan – persediaan yang perlu ada bagi seorang aktivis wanita Islam. Pengisian Datuk Kamilia ringkas, namun nasihat-nasihat yang beliau sampaikan tepat terasa pada hati. Antara nasihat Datuk yang sempat saya catat:

  1. Antara perkara yang penting dalam kehidupan ini adalah kejujuran. Sentiasa bersikap jujur dengan diri sendiri dan segala-galanya.
  2. Mesti ikhlas kerana Allah SWT dalam apa sahaja yang kita buat. Bila ikhlas, kita tidak akan mengharap pujian orang.
  3. Mulakan pagi dengan mengucapkan syahadah – memperbaharui penyaksian kita kepada Allah dan Rasul. Insya-Allah, kita akan lebih bersemangat menjalani hari dengan lebih bermanfaat.
  4. You will be a good activist when you have good relationship with Allah. Jaga solat di awal waktu.
  5. Sebagai ibu, pastikan anak-anak menjaga solat sebab dalam solat anak-anak meminta hidayah daripada Allah. Allah pasti akan berikan hidayah kepada anak-anak yang menjaga solat ini.
  6. Seorang aktivis mesti menyuarakan apa sahaja perkara yang dirasakan tidak kena, tidak berdiam sahaja.

Banyak lagi sebenarnya perkongsian Datuk. Mudah-mudahan ada ilmu yang bermanfaat dapat kita amalkan.

Slot kedua pula disampaikan oleh Prof. Dr. Rafidah Hanim. Dalam slot ini, Prof menceritakan beberapa pengalaman beliau sebagai aktivis wanita Islam yang sangat memberi inspirasi.

Pengalaman Prof yang membuatkan saya bergenang air mata adalah apabila perjuangan Prof untuk menuntut hak berhijab bagi pihak pekerja hotel membuahkan hasil apabila mereka dibenarkan berhijab.

Tidak dapat saya bayangkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan Prof dalam membantu wanita Islam melaksanakan tuntutan syarak untuk berhijab. Apatah lagi ganjaran pahala daripada Allah SWT yang sudah tentu berlipat ganda dan mudah-mudahan dilimpahkan kebaikan berpanjangan buat Prof dan sahabat-sahabat.

Prof juga menekankan kepentingan untuk menulis idea-idea berkaitan isu-isu yang berlaku dalam masyarakat. Penulisan yang membuka minda dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Saya gembira Prof memberikan peringatan tentang menulis – menjadi motivasi untuk saya kembali menulis dan mengembangkan lagi penulisan dengan melontarkan idea-idea yang berkaitan dengan isu yang berlaku dalam masyarakat.

Satu resolusi yang saya bawa pulang, mudah-mudahan Allah SWT berikan saya kekuatan dan pertolongan untuk terus mengembangkan potensi dalam penulisan.

Slot terakhir disampaikan oleh Ustazah Asmak Husin. Pengisian Ustazah Asmak juga menjadi satu peringatan penting berkaitan pengurusan diri, keluarga dan gerak kerja persatuan.

Menjadi seorang aktivis memerlukan kepada perancangan hidup yang lebih tersusun dan efisyen. Mesti ada jadual waktu untuk memastikan keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah, tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat.

Dalam masa yang sama, hak kepada diri sendiri mesti ditunaikan. Antaranya:

  1. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan bersenam dan diet yang seimbang.
  2. Melazimi ibadah dan zikir yang menjadi sumber kekuatan.
  3. Ada masa untuk me time atau ruang sendiri untuk kita lakukan perkara yang memberikan kita ketenangan dan kepuasan seperti mengemas rumah atau berjalan-jalan di taman.

Begitulah sekadar catatan ringkas daripada program hari ini. Moga Allah SWT terus lorongkan langkah-langkah kita ke program-program ilmu yang bermanfaat – yang membuahkan amal yang baik, insya-Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *