Jurnal Al-Quran

Mengejar Keampunan

Bismillah.

Dalam tulisan sebelum ini, kita ada berbicara tentang salah satu mindset Ramadan iaitu untuk mendapat keampunan Allah SWT. Bermakna, antara fokus kita dalam menjalani ibadah puasa kali ini adalah untuk mengejar keampunan Allah SWT. Kita berharap kepada Allah SWT agar memilih kita untuk menjadi salah seorang hamba yang dikurniakan keampunan dalam bulan yang penuh barakah ini. Kerana memperoleh keampunan bererti terselamatnya seorang hamba daripada neraka dan azab di hari akhirat.

Namun hakikatnya, apabila kita membaca ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tentang tuntutan untuk kita mengejar keampunan, perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu kita fokus dalam bulan Ramadan sahaja, tetapi dalam seluruh kehidupan kita. Makna kata, fokus dan mindset seorang mukmin dalam kehidupannya adalah berusaha sedaya upaya untuk mengejar keampunan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 133 yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Rabb-mu dan kepada syurga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”

Dan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid, ayat 21 yang bermaksud:

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

Maka dapatlah kita fahami dengan jelas bahawa mengejar keampunan Allah itu perlu menjadi satu misi yang berterusan dalam menjalani kehidupan di dunia. Keampunan yang Allah berikan kepada hamba-Nya bukan sahaja memberi manfaat dan kebaikan di akhirat, tetapi juga dengan asbab keampunan itu, Allah limpahkan kebaikan yang banyak di dunia.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Nuh, ayat 10-12 yang bermaksud:

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Kita adalah hamba yang sudah pasti tidak akan terlepas daripada dosa. Ada dosa yang dilakukan secara zahir, ada dosa yang kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari perbuatan itu dimurkai Allah SWT.

Sebab itu kita diajar untuk sentiasa bermuhasabah. Muhasabah ini seolah-olah kita melihat cermin lalu kita meneliti aib dan cela yang ada pada diri. Sibuk meneliti dan merenungi aib sendiri akan menghindarkan diri kita daripada mencari atau bercakap tentang aib orang lain.

Akhirnya setelah merasai kehinaan dalam diri lantaran banyaknya dosa kepada Allah SWT, maka ketika itulah sudut hati yang masih jernih itu berusaha mencari jalan untuk mendapatkan keampunan Allah. Moga Allah mudahkan jalan kita untuk mendapatkan keampunan-Nya, dan istiqamah atas jalan itu.

Begitulah, sekadar menasihati diri sendiri yang terlalu banyak dosa dan kesilapan masa lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *