A Battle
Bismillah.
“Everyone fight their on battle”
Teringat kisah yang diceritakan oleh Prof. Hilmi dalam kelas pengajian Usuluddin semalam. Cerita tersebut beliau dengar sendiri daripada salah satu kuliah Al-Marhum Ustaz Syed Ramadan Al-Buthi di youtube satu ketika dahulu.
Ustaz Syed Ramadan Al-Buthi menceritakan kisah seorang jirannya yang sangat kuat meminum arak. Namun pada satu hari, beliau melihat jirannya berada di masjid pada waktu subuh dan berada di saf paling hadapan. Beliau merasa hairan dan menjangkakan mungkin sekali itu sahaja jirannya itu datang bersolat di masjid. Namun jangkaannya meleset, jirannya itu terus istiqamah bersolat di masjid pada waktu-waktu solat yang lain.
Lalu Ustaz Syed Ramadan Al-Buthi membuat keputusan untuk menziarahi jirannya. Jiran Ustaz Syed Ramadan Al-Buthi menceritakan bagaimana beliau mendapat hidayah Allah SWT. Ketika meminum arak, beliau sentiasa menangis kerana tidak mampu meninggalkan dosa minum arak dan beliau sering berdoa kepada Allah agar diberikan taufiq dan hidayah. Beliau merasa sungguh malu dan takut dengan Allah. Sehinggalah suatu hari Allah memperkenankan doanya, lalu beliau memperoleh hidayah Allah.
Cerita ringkas ini sangat membekas pada jiwa saya. Kadang-kadang kita cenderung untuk judge atau meletakkan prasangka-prasangka yang kurang baik terhadap orang sekeliling kita. Tanpa kita sedari perbuatan tersebut telah hampir kepada dosa. Dan tanpa kita mengetahui, rupa-rupanya mereka sedang berjuang dalam apa jua pertarungan sama ada pertarungan dengan diri malah dengan pelbagai ujian kehidupan yang kadang kala sangat berat untuk ditanggung.
Saya sendiri ada pertarungan dan perjuangan yang sangat melelahkan.
Saya pasti, anda juga sedang menempuh satu perjuangan. Apa jua perjuangan dan pertarungan yang sedang kita hadapi, ingatlah satu firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar, ayat 53:
۞ قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Semoga beroleh kemenangan abadi, di syurga yang hakiki. Ameen Ya Allah.