Jurnal Al-Quran

Hidup Dengan Al-Quran

Bismillah.

Sebenarnya telah lama keinginan untuk kembali kepada Al-Quran menyala dalam hati. Keinginan untuk kembali kepada Al-Quran itu bukan sekadar untuk memperbanyakkan bacaan ayat-ayat-Nya yang diganjarkan dengan 10 pahala untuk setiap satu huruf – tetapi juga keinginan untuk menghafaz, untuk memahami dan mendalami Al-Quran agar ia benar-benar menjadi manual kehidupan.

Pendek kata, hasrat di hati ingin menjadikan Al-Quran sebagai sahabat karib yang sentiasa bersama dalam meniti kehidupan dunia, menjadi teman di alam kubur dan setia menemani di hari perhitungan.

Namun, sesekali keinginan itu pudar ditelan kesibukan dunia atau dilenyapkan oleh kejelikan nafsu yang lebih cenderung mencari sumber petunjuk dan ketenangan selain daripada Al-Quran. Entah mengapa, suatu ketika dahulu buku-buku motivasi yang tersusun di rak lebih menggamit hati berbanding Al-Quran ketika hati dilanda keresahan. Walhal hati dan fikiran ini tahu bahawa Al-Quran lebih utama untuk dibelek.

Sungguh Allah Maha Mengetahui keinginan di dalam hati manusia. Dan disebabkan ada keinginan yang baik di dalam hati, Dia membuka pintu untuk kita melangkah dan berjuang menggapai apa yang kita impikan.

Jom berazam untuk terus istiqamah dengan Al-Quran sehingga ke akhir hayat dan berusaha dengan kemampuan yang Allah pinjamkan untuk menghafaz, mendalami, mengamalkan dan seterusnya mudah-mudahan Allah memberi keizinan untuk kita menyampaikannya.

Hiduplah dengan Al-Quran dengan meletakkan Al-Quran ini di satu tempat yang tinggi dan istimewa di dalam hati kita. Selagi bernyawa, insya-Allah.

ذٰلِكَ الْكِتٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيْهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِين

“Kitab (Al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa,” – Surah Al-Baqarah, ayat 2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *