Jadi Orang Baik
Bismillah.
Bukan mudah nak jadi orang baik.
Perjuangan nak jadi orang baik-baik ni adalah perjuangan sepanjang hayat – selagi nyawa dikandung badan.
Nak jadi orang baik, kita perlukan bekalan iman dan hidayah daripada Allah SWT. Banyak wasilah yang telah Allah SWT sediakan sebagai usaha untuk kita jadi orang baik-baik. Namun, sebelum kita melalui jalan-jalan yang telah Allah SWT bentangkan, ada perkara yang lebih utama daripada itu.
Dalam buku Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah, Ustaz Mustafa Masyhur ada menyebutkan:
Perkara yang mustahak di sini bukanlah pengalaman, percubaan dan pengetahuan tetapi yang pertama sekali ianya bergantung kepada kurniaan kelebihan daripada Yang Maha Memberi dan Maha Menganugerah, Allah SWT. Firman Allah SWT:
يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِۦ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ
Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah Ali Imran: 74)
Allah SWT adalah sumber kebaikan.
Iman, hidayah dan takwa adalah semata-mata anugerah Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Adapun ibadah dan ilmu hanya wasilah untuk sampai kepada kurniaan tersebut. Sebagai hamba yang fakir, pengharapan kita untuk mendapatkan hidayah dan ketakwaan itu bukan kepada ibadah dan kebaikan yang kita lakukan, tetapi pengharapan itu mutlak hanya kepada Allah SWT.
Sama juga dalam usaha kita mencari rezeki. Usaha yang kita lakukan siang dan malam itu hanya wasilah untuk mendapatkan rezeki. Sedang Yang Maha Memberi Rezeki itu adalah hanya Allah SWT. Sebagai hamba, tidak layak untuk kita mengatakan rezeki itu diperoleh kerana usaha kita yang tidak berputus asa.
Tidaklah bermaksud cukup untuk kita berharap kepada Allah SWT semata-mata tanpa melakukan apa-apa usaha dan kesungguhan dalam amal ibadah. Kita bermujahadah setiap hari untuk beribadah dan melakukan kebaikan, dalam masa yang sama kita yakin dan percaya yang akan memberikan hasilnya yakni keimanan, ketakwaan dan hidayah – adalah Allah SWT.
Saya kongsikan lagi petikan tulisan Ustaz Mustafa Masyhur dalam buku ini:
Jika dihalusi, kita akan mendapati perkara pertama adalah kembali kepada keadaan seorang hamba di hadapan Tuhannya. Ia bermohon kepada Allah SWT agar ia mendapat pemberian daripada-Nya. Maka Allah SWT melihat kepada ketundukan hatinya, kekhusyukannya, kerendahan dirinya, penyerahan dirinya, ketakutan, pengharapan dirinya dan ketamakan dirinya kepada Allah SWT. Inilah perkara asas. Selepas itu barulah diambil kira segala wasilah dan sebab-musabab. Sekadar mana kebenaran seorang hamba pada hal-hal tersebut, sekadar itu pemberian dan limpahan kurniaan daripada Allah SWT Yang Maha memberi.
Begitulah, Allah SWT melihat sejauh mana seorang hamba merasa keberhajatan kepada Dia. Sejauh mana seorang hamba berharap dan merayu agar dikurniakan pemberian berupa ilmu, hidayah dan takwa. Setiap ibadah seorang hamba itu ada hati yang khusyuk – sentiasa berharap kepada Allah SWT. Dalam setiap ilmu yang dipelajari, ada kerendahan hati yang mengharapkan limpahan kebaikan daripada Allah SWT.
Insya-Allah, dengan hati yang sentiasa berharap akan rahmat Allah SWT, pasti akan dipermudahkan hamba-Nya untuk menempuh jalan-jalan yang membawa kepada kepada keredaan-Nya.
Wallahu’alam.