Resensi Buku

Pesan Takwa

Bismillah.

Insya-Allah tulisan pertama untuk tahun 2025 ini adalah perkongsian daripada sebuah buku bertajuk ‘Pesan-Pesan Takwa’ yang ditulis oleh Nurcholish Madjid. Buku ini merupakan kumpulan khutbah Jumaat yang disampaikan di Yayasan Wakaf Paramadina, Pondok Indah, Jakarta.

Bagi orang lelaki, pesan takwa ini tidak janggal kedengaran memandangkan setiap minggu mereka pasti akan diberikan peringatan tentang takwa dalam khutbah Jumaat. Bagi kita golongan wanita pula, barangkali kita tidak mendengar pesan takwa ini sekerap yang didengar oleh orang lelaki. Sesekali mungkin kita mendengarnya melalui ceramah di masjid atau tazkirah di media sosial. Namun, kita akan sentiasa mendengarnya apabila tiba di bulan Ramadan.

Hakikatnya, pesanan untuk bertakwa adalah satu pesan dan peringatan yang sangat besar bagi orang beriman. Sehinggakan Allah SWT telah mengkhususkan satu bulan yang istimewa iaitu Ramadan sebagai madrasah untuk orang beriman meneguhkan sifat takwa dalam diri.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Ciri-Ciri Orang Bertakwa

Dalam Al-Quran sendiri, banyak terkandung di dalamnya perintah untuk bertakwa dan apakah sebenarnya ciri-ciri orang yang bertakwa. Antara ayat yang menyebut tentang orang bertakwa adalah ayat 1-5 Surah Al-Baqarah yang telah kita hafal sejak daripada bangku sekolah.

Saya ringkaskan ciri-ciri orang yang bertakwa yang telah Allah SWT sebutkan dalam surah ini:

  1. Orang yang beriman kepada perkara yang ghaib
  2. Orang yang mendirikan solat
  3. Orang yang membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Allah SWT kurniakan
  4. Orang yang beriman kepada kitab Al-Quran dan kita-kitab sebelumnya
  5. Orang-orang yang yakin adanya hari akhirat

Dan ayat ke 5 Allah SWT memberi jaminan bahawa mereka yang menepati ciri-ciri orang yang bertakwa inilah yang akan mendapat petunjuk dan mereka menjadi orang yang berjaya.

Jika diperhatikan 5 ciri orang-orang yang bertakwa ini, dapat kita fahami bahawa untuk menjadi hamba yang bertakwa, bukan sekadar kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, tetapi juga menunaikan hak dan tanggungjawab sesama manusia. Sebagaimana yang disebutkan oleh penulis dalam buku ini;

“Di samping mempunyai kesedaran vertikal berupa hubungan dengan Allah SWT, orang yang bertakwa juga memiliki kesedaran horizontal, iaitu hubungan sesama manusia. Dua kesedaran itu dilambangkan dalam praktik solat.”

Takwa & Ihsan

Petikan daripada buku:

“Melalui takwa, kita menyedari kehadiran Tuhan dalam hidup. Inti takwa adalah kesedaran yang sangat mendalam bahawa Allah selalu hadir dalam kehidupan kita. Takwa ialah kalau kita mengerjakan segala sesuatu, kita kerjakan dengan kesedaran penuh bahawa Allah beserta kita, Allah menyertai kita, Allah mengawasi kita dan Allah memperhitungkan pebuatan kita.”

Melalui petikan ini dapat kita fahami bahawa takwa juga sangat berkait rapat dengan soal ihsan. Sebagaimana yang disebutkan dalam Hadis Jibril, ihsan bermaksud:

”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid, di pernghujung ayat 4:

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ ٤

Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan, pertolongan dan hidayah petunjuk agar kita dapat meniti jalan-jalan menuju takwa. Ramadan sudah tidak lama lagi akan hadir sebagai satu ruang untuk membina takwa, semoga kita semua diberikan kesempatan untuk bertemu dengannya, insya-Allah.

Wallahua’lam.

Baca juga tentang takwa di sini: Pertimbangan Takwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *