Berinteraksi Dengan Al-Quran
Bismillah.
Catatan ringkas daripada ‘Daurah Nuqaba: Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Quran’ yang disampaikan oleh Ustaz Hazmi Dibok. Semoga beroleh ilmu yang bermanfaat.
Cara Berinteraksi Dengan Al-Quran:
- Beriman dengan Al-Quran
Yakin dengan sepenuh hati bahawa Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT dan merupakan satu mukjizat dari segi bahasa, ilmu dan hidayah. Fungsi Al-Quran yang sebenar adalah sumber hidayah dan petunjuk, bukan sebagai tangkal atau perhiasan atau sekadar bahan bacaan semata-mata.
Antara mukjizat Al-Quran juga adalah ia terpelihara. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr, ayat 9:
إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”
Bagaimana Allah SWT memelihara Al-Quran?
Antaranya adalah adanya disiplin ilmu Qiraat iaitu ilmu untuk memelihara bacaan Al-Quran. Bacaan Al-Quran dipelihara melalui tulisan dengan adanya mushaf ataupun dengan hafazan, juga dalam bentuk tafsiran dan kefahaman.
2. Berhukum Dengan Al-Quran
3. Menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan mencakupi hidayah, keterangan-keterangan yang jelas dan sebagai sumber rujukan untuk membezakan hak dan batil. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”
4. Mempelajari Al-Quran sebagai satu kewajipan ke atas orang beriman.
5. Membaca Al-Quran.
Memperbaiki bacaan Al-Quran daripada aspek tajwid, makhraj huruf dan sebagainya.
Namun tanggungjawab kita bukan terhenti sekadar membaca, tetapi perlu kepada memahami bacaan Al-Quran. Kerana membaca adalah jambatan ilmu. Maka untuk mendapatkan ilmu daripada Al-Quran mestilah berusaha memahami bacaan Al-Quran.
6. Mengajar Al-Quran
Bukan sekadar mengajar tajwid dan cara mmembaca yang betul tetapi juga mengajarkan tafsirnya dan hukum-hakamnya.
7. Tadabbur – memahami dan menghayati Al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad, ayat 24:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَآ
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?
Membaca Al-Quran tanpa menghayati intipati Al-Quran, hatinya terkunci mati kerana tujuan Al-Quran diturunkan adalah sebagai sumber hidayah. Meskipun tanpa memahami hanya sekadar membaca tetap diberikan pahala, namun membaca Al-Quran dengan memahami dengan penuh penghayatan adalah jauh lebih baik.
8. Beramal dengan Al-Quran.
Mengikuti petunjuk Al-Quran dengan mengamalkan segala isi kandungannya. Menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam seluruh aspek kehidupan. Orang yang tidak mengikuti petunjuk Al-Quran akan menjadi golongan yang sesat.
Janganlah kita meninggalkan Al-Quran. Meninggalkan Al-Quran bermaksud tidak mendengar bacaan Al-Quran, tidak membacanya, tidak bertadabbur, tidak beriman dengannya, tidak melaksanakan hukum Al-Quran dan tidak beramal dengannya.
9. Beradab dengan Al-Quran.
Akhlak dan Adab Dengan Al-Quran:
- Hadirkan hati ketika membacanya
- Ikhlaskan niat
- Sunat bersiwak dan membersihkan mulut sebelum membaca
- Baca dalam keadaan suci dan berwudhu
- Membaca di tempat yang bersih
- Menghadap kiblat ketika di luar solat
- Duduk dengan khusyuk dan tenang
- Mulakan bacaan dengan taawuz
- Mulakan dengan bismillah (kecuali Surah At-Taubah)
- Berusaha untuk tadabbur sehingga memberi kesan kepada jiwa
- Disunatkan untuk menangis apabila membaca ayat-ayat peringatan atau ganjaran
- Membaca dengan tartil
- Memuliakan Al-Quran daripada segala hal yang melalaikan
- Membaca dengan melihat mushaf (Al-Quran, bukan Al-Quran terjemahan)
- Disunatkan membaca dengan berkumpulan (dapat kelebihan membaca, mendengar dan duduk dalam majlis Al-Quran)
- Berhenti pada tempat yang sempurna – kena belajar
- Disunatkan sujud tilawah apabila bertemu ayat sajadah