Jurnal Al-Quran

Ringkasan Tadabbur Ayatul Kursi

Bismillah.

Berikut saya kongsikan sedikit catatan ringkas Tadabbur Ayatul Kursi (Surah Al- Baqarah, ayat 255).

1. Ayat Kursi adalah ayat yang paling agung dalam Al-Quran.

Daripada Ubai bin Ka’ab R.A, katanya: Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku (Ubai) menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Sabda Baginda: “Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu, apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku berkata: ‘اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ’. Lalu Baginda menepuk dadaku, dan bersabda: “Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abu al-Munzir.

Riwayat Muslim (810), Abu Daud (1460), Ahmad (20588)

2. Membaca Ayat Kursi setiap kali selepas solat fardhu (dengan faham dan khusyuk) mendapat jaminan masuk syurga.

“Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat Fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7532); al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9848) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124). Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

3. Membaca Ayat Kursi sebelum tidur akan mendapat perlindungan Allah SWT daripada syaitan sehingga waktu pagi – Hadis (kisah Abu Hurairah menjaga Baitul Mal) 

4. Meletakkan pergantungan dan harapan hanya kepada Allah Yang Maha Hidup (الْحَىُّ) dan Allah Yang Maha Berdiri Sendiri (الْقَيُّومُ) akan memberikan kecekalan hati dalam mengharungi hidup. Sebagaimana Siti Hajar yang kuat pergantungan hatinya dengan Allah SWT ketika ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS di tengah padang pasir bersama Nabi Ismail AS yang masih bayi.

5. Pergantungan kepada manusia biasanya menimbulkan banyak kekecewaan dan kekesalan kerana manusia pasti akan mati dan manusia tidak memiliki sesuatu pun yang boleh kita letakkan sandaran kerana dia sendiri lemah dan sangat perlu kepada Allah SWT.

6. Allah SWT tidak mengantuk dan tidak tidur (لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ) – melambangkan kehebatan Allah SWT yang bukan sahaja tidak tidur tetapi juga tidak pernah dikalahkan dengan rasa mengantuk. Allah SWT tidak tidur untuk mentadbir dan mengurus kehidupan setiap makhluk-Nya.

7. Milik Allah SWT segala yang ada di langit dan di bumi (لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ) – 7 lapis langit dan 7 lapis bumi bersama seluruh isinya adalah milik Allah SWT. Renungkan segala ciptaan Allah SWT yang ada di langit yang terlalu banyak rahsia  langit yang kita tidak tahu dan juga ciptaan Allah di muka bumi, di lautan dan di dalam segenap lapisan bumi. Sehingga kita merasa kerdilnya diri di hadapan Allah SWT dan terasa di dalam hati keagungan dan kehebatan Allah SWT.

8. Lalu setelah merasakan kehebatan Allah SWT dalam hati, maka seharusnya kita bergantung dan bertawakal hanya kepada Allah SWT dalam apa jua urusan kehidupan – urusan rezeki, kekuatan untuk beribadah, urusan mendidik anak, penyucian hati dan bahkan dalam setiap saat dalam kehidupan kita.

9. Di akhirat nanti,  tidak ada sesiapa pun yang boleh memberikan syafaat (pertolongan) tanpa izin Allah SWT (مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ). Syafaat adalah milik mutlak Allah SWT yang merupakan satu pertolongan yang sangat kita perlukan di akhirat nanti kerana di sana kita seorang diri – tidak ada sesiapa yang boleh kita harapkan untuk memberikan pertolongan selain Allah SWT.

10. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di hadapan (masa hadapan), dan apa yang ada di belakang (masa lalu) (يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ). Apabila kita meyakini bahawa Allah SWT tahu segalanya apa yang telah kita lalui dan apa yang bakal kita lalui di masa hadapan, maka serahkan segala urusan kita kepada Allah SWT dan sentiasa yakin bahawa ketetapan Allah SWT adalah yang terbaik meskipun dalam bentuk nikmat mahupun ujian.

11. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui sesuatu daripada ilmu Allah SWT kecuali Dia menghendaki (وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ). Kita tahu sesuatu ilmu bukan sebab kita pandai atau sebab cikgu yang pandai mengajar tetapi kita tahu sebab Allah menghendaki. Maka nak ilmu, hendaklah kita mencari Allah SWT dan jangan sesekali berbangga dengan ilmu yang ada kerana bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh ambil kembali dengan menjadikan kita lupa.

12. Ilmu dan kekuasaan Allah SWT luas meliputi langit dan bumi (وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ). Perbanyakkan merenungi ciptaan Allah SWT di langit dan di bumi sehingga kita sentiasa merasai kebesaran dan kehebatan Allah SWT di dalam hati.

13. Tidak berat bagi Allah untuk memelihara keduanya (langit dan bumi) (وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا). Tidak berat untuk Allah SWT memelihara langit dan bumi beserta segala isinya, maka sudah tentulah lebih mudah bagi Allah SWT untuk menghilangkan segala kesedihan dan kesusahan serta memberikan kita jalan keluar dalam apa jua kesempitan yang kita hadapi.

14. Akhir sekali Allah SWT menutup Ayatul Kursi ini dengan nama-Nya Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Agung (وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ). Kedua nama Allah SWT yang agung ini kita sebut dalam solat-solat yang kita dirikan iaitu dalam bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud. Setelah menghayati sifat-sifat Allah SWT dalam Ayat Kursi ini, maka kita akui bahawa Dialah Tuhan Yang Maha Tinggi dan Maha Agung, hanya Dia layak disembah dan hanya Dialah tempat kita bersandar dan mengharapkan pertolongan.

Mudah-mudahan, setelah kita memahami dan menghayati secara ringkas tadabbur Ayatul Kursi ini, dapatlah kita beramal membacanya dengan istiqamah setiap kali selepas solat fardhu dan sebelum tidur. Baca dengan lidah, fahami dengan akal dan rasakan kebesaran Allah SWT di dalam hati.

Sungguh, Allah SWT lebih mengetahui.

Catatan ini adalah ringkasan daripada Kuliah Tadabbur Ustaz Abdul Muein dan penulisan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Maktabah Al-Bakri.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *