Hakikat Mati
Bismillah.
وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهٖ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً ۗحَتّٰٓى اِذَا جَاۤءَ اَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُوْنَ
“Dan Dialah Penguasa mutlak atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, malaikat-malaikat Kami mencabut nyawanya, dan mereka tidak melalaikan tugasnya.” (Al An’am: 61).
“Tak percaya Acik Najek dah tak ada”
Begitulah monolog hati sejak mendapat berita pemergian bapa saudara suami. Masih terbayang wajah ceria Almarhum ketika kami bertandang ke rumahnya pada Syawal yang lalu. Almarhum nampak sungguh gembira, tak berhenti dia bergurau dan menyakat Aisyah. Malam tersebut meninggalkan kenangan yang indah dengan suasana yang ceria dan hidangan yang lazat hasil air tangan Cik Miza.
Sungguh, kematian yang tiba secara mengejut pasti meninggalkan kesan yang mendalam pada hati dan jiwa. Kami yang tidak berapa rapat dengan Almarhum pun terasa luka kehilangan, apatah lagi isteri dan anak-anak. Hanya kepada Allah kami berdoa agar diberikan kekuatan buat Cik Miza dan anak-anak.
Keadaan ini sudah tentu mengingatkan kita kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat 34:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.”
Rahsia kematian kita – bila, di mana dan bagaimana, seharusnya membuat kita rasa gerun. Kita melangkah keluar daripada rumah pada setiap hari, tiada jaminan yang kita akan pulang kembali. Kita merebahkan kepala pada malam hari untuk lena setelah seharian bekerja, tiada jaminan yang kita akan bangun pada esok hari.
Sedangkan ketika kita tidur, roh kita dipegang oleh Allah SWT, jika belum sampai ajalnya maka dilepaskan kembali roh itu kepada jasad. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar, ayat 42:
اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).
Saban hari kita mendengar berita duka kembalinya seorang hamba kepada penciptanya. Ada berita yang sekadar lalu di mata dan telinga, kemudian hilang ditimbus kesibukan rutin harian.
Namun ada satu dua berita yang singgah di hati lalu meninggalkan rasa yang sukar dimengertikan. Sedih, risau, resah, takut dan segala rasa yang menimbulkan kegusaran dalam hati.
Kematian adalah satu peringatan besar daripada Tuhan buat kita yang masih hidup. Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA yang bermaksud:
“Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan – iaitu kematian – kerana apabila ia diingati dalam keadaan banyak maksiat, ia boleh mengurangkan kemaksiatan tersebut dan apabila diingati dalam keadaan kurang ibadah, ia akan memperbanyakkan ibadah tersebut.”
[Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman, 7/353].
Apabila bercakap tentang kematian, perkara yang perlu kita lakukan adalah persediaan menempuhnya. Dalam buku 7 Habits of Highly Effective People tulisan Stephen R. Covey, habit kedua yang dinyatakan dalam buku beliau adalah Begin With The End In Mind.
Begin With The End In Mind bermaksud kita bermula dengan apa pengakhiran yang kita inginkan. Sebagai contoh, kita ingin berjaya dalam SPM, dapat A dalam semua subjek. Lalu apa yang perlu kita lakukan adalah mula belajar dengan cara belajar berkumpulan, menjawab soalan past year, banyak berjumpa dan berbincang dengan guru dan sebagainya.
Begitu juga dalam kehidupan di dunia ini. Pengakhiran yang bagaimana kita inginkan?
Sudah tentulah jawapannya kita inginkan satu pengakhiran yang baik.
Sebagai orang beriman, kita meyakini bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sebuah persinggahan. Kehidupan yang sebenarnya adalah di negeri akhirat yang mana tidak ada lagi makhluk bernama kematian. Jika baik pengakhiran, sejahteralah nasib di alam sana dan begitulah sebaliknya.
Lalu timbul satu persoalan. Bagaimana kita nak bersedia untuk menghadapi kematian?
Cukuplah sebenarnya dengan kita kembali kepada Al-Quran. Mula belajar untuk memahami isi kandungan Al-Quran melalui membaca terjemahannya dan bertadabbur – iaitu memahami dan mengambil ibrah. Banyak kuliah asatizah di youtube yang membantu kita untuk memahami isi kandungan Al-Quran. Peringkat seterusnya adalah kita beramal dengan isi kandungan Al-Quran kerana tiada makna ilmu tanpa membuahkan amal.
Mengapa Al-Quran?
Kerana Al-Quran adalah solusi kepada seluruh masalah kehidupan – yang memandu kita untuk mendapat kesejahteraan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 57:
يٰۤاَيُّهَا النَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُمۡ مَّوۡعِظَةٌ مِّنۡ رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُوۡرِۙوَهُدًى وَّرَحۡمَةٌ لِّـلۡمُؤۡمِنِيۡنَ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Dalam ayat ini, Allah SWT menunjukkan kepada kita 4 peranan Al-Quran dalam kehidupan seorang hamba:
- Nasihat pengajaran
- Penawar bagi menyakit batin
- Hidayah dan petunjuk
- Membawa rahmat
Saya kongsikan pautan untuk sahabat-sahabat yang ingin mula mentadabbur Al-Quran: https://ghulamaldakwah.com/tadabbur/
Wallahu’a’lam.
Mohon doakan almarhum pakcik suami saya.