Jurnal Parenting

Aisyah Istimewa

Bismillah.

“Mama, panggil Aisyah kakak ya.”

“Mama, nanti Aisyah ada adik, Aisyah tolong basuh berak adik, tolong pakaikan baju, tolong bagi makan.”

“Mama, Aisyah nak adik lelaki dan adik perempuan.”

“Mama, Ibu Ain ada dua orang, Umar dan ‘Afiyah. Aisyah seorang je.”

Terkedu mama dengar luahan Aisyah. Sayu dan sebak mengisi ruangan hati. Maha suci Allah, Dialah Tuhan yang berkuasa menyemai naluri seorang kakak dalam diri Aisyah. Sebenarnya sejak tahun lepas lagi Aisyah meluahkan keinginannya mempunyai seorang adik. Barangkali perasaan itu timbul apabila Aisyah bergaul dengan rakan sebayanya yang mempunyai adik.

Naluri seorang kakak itu bukan sahaja dizahirkan melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan. Aisyah memanggil anak patungnya sebagai ‘adik’. Dilayan ‘adik’ tersebut dengan pelukan, ciuman dan kata-kata yang mengungkap kasih dan sayang. Diberinya makan, dimandikan, dipakaikan baju, didodoikan dengan zikir dan selawat dan pelbagai lagi tingkah laku yang lahir daripada imaginasinya yang tinggi.

Oh Aisyah.

Semalam Aisyah genap 4 tahun. Cepatnya masa berlalu terasa seperti mimpi mendukung Aisyah ketika baru lahir dan mengurut tubuh kecilnya dengan aroma minyak yuyi. Seolah-olah tidak lekat di memori kenangan sewaktu Aisyah mula berguling, meniarap, merangkak, bertatih dan kini sudah nampak gayanya boleh jadi salah seorang pelari pecut di sekolah nanti.

Sungguh saya sangat rindu membelai tapak kakinya yang halus. Kini tapak kaki Aisyah sudah hampir sama besar dengan tapak tangan mama. Allahuakbar. Masih tidak percaya rasanya Aisyah telah 4 tahun berada dalam dakapan kami. Nikmat agung yang sentiasa mengingatkan kami agar sentiasa menjadi hamba yang bersyukur. Allah menghantar Aisyah ke sisi kami ketika saat kami sangat memerlukan. Allah Maha Besar.

Segala puji bagi Allah. Dia-lah yang menyempurnakan perlindungan, kasih sayang dan rezeki buat Aisyah selama 4 tahun ini. Dia yang telah mengajarkan Aisyah pelbagai ilmu sehingga Aisyah menjadi anak yang bijak dan pandai berdikari. Mama dan Baba hanya sebagai pengantara yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk membesarkan Aisyah dengan didikan yang baik dan kasih sayang yang tulus.

Aisyah anak yang sangat pandai berkata-kata. Mama doakan Kakak Aisyah dikurniakan kefaqihan dalam agama, diajarkan ilmu takwil dan menjadi seorang Hafizah Al-Quran – yang bukan sahaja memelihara hafalannya, tetapi memelihara kehidupan sesuai dengan pengajaran daripada Al-Quran, bahkan menjadi salah seorang hamba-Nya yang menegakkan syiar Islam khususnya di bumi Malaysia.

Mama doakan juga agar Allah makbulkan doa dan impian Kakak Aisyah untuk mempunyai adik lelaki dan adik perempuan. Tapi Aisyah janji ya kena tolong mama jaga, urus dan didik adik-adik 🙂

Mama sayang Aisyah. Maafkan salah dan silap mama ya. Aisyah doakan mama juga tau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *