Beriman Kepada Allah
Bismillah.
Kelas hari ini diteruskan dengan topik Basic in Iman. Disebabkan kelas dalam Bahasa Inggeris, jadi maafkan saya terpaksa campur-campur bahasa. Bila sebut Basic of Iman ni, maksudnya rukun iman. Ya, rukun iman yang kita belajar dalam silibus di sekolah dulu-dulu.
Berkenaan rukun iman ini, ada dijelaskan dalam Hadith Jibril yang didalamnya turut dijelaskan berkenaan Islam dan Ihsan. Selain Hadith Jibril, ada juga dijelaskan berkenaan asas kepada Iman dalam Surah Al-Baqarah:285 yang bermaksud:
“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya”. Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami ta’at. (Kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.
Jadi, bila kita kata kita orang yang beriman, apa elemen yang perlu ada dalam diri? Yang pertama adalah percaya kepada Allah ﷻ.
PERCAYA KEPADA ALLAH
Brother Kaleem jelaskan, dalam bab percaya kepada Allah, ada 3 perkara penting.
1. Yang pertama adalah tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-An’am ayat 162 yang bermaksud:
“Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”
Maka seluruh kehidupan kita ini adalah hanya kerana Allah ﷻ semata-mata, tidak boleh disekutukan dengan yang lain.
2. Perkara kedua adalah meyakini bahawa seluruh alam ini berada dibawah tadbir dan penguasaan Allah S.W.T.
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” Surah Al-An’am:59
3. Dan yang ketiga adalah 99 nama Allah, AsmaulHusna.
Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Nabi s.a.w bersabda:
إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari, dalam Kitab Doa-Doa, Bab Allah Mempunyai 100 Nama Kecuali 1.
Wahh..senangnya masuk syurga! Hafal AsmaulHusna terus boleh masuk syurga. Haa..dengar dulu penjelasan Brother Kaleem.
Dalam hadis ini disebut perkataan ‘Ahsooha’ yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud. Iaitu, to know, to memorize, to understand.
Jadi, lepas kita dah tahu tentang AsmaulHusna ni, kita boleh hafal dan berusaha untuk memahami dan menghayati setiap nama-nama Allah ﷻ yang sangat cantik ini.
Malah, kita boleh berdoa dengan nama-nama Allah sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-A’raf: 180 yang bermaksud:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu.”
LAWAN KEPADA TAUHID – SYIRIK
Syirik bermaksud mempercayai adanya Tuhan selain Allah, mempercayai ada kuasa yang berkongsi peranan sebagai Tuhan dengan Allahﷻ . Dosa syirik tidak akan diampunkan sekiranya mereka yang syirik tidak bertaubat sebelum ajal menjemput.
Syirik terbahagi kepada dua:
1. Syirik Kubra iaitu menyekutukan Allah ﷻ dengan sesuatu, menyembah selain Allah.
2. Syirik sughra iaitu syirik kecil seperti melakukan sesuatu amalan bukan kerana Allah ﷻ tetapi kerana ingin dipuji, ini disebut sebagai riak.
Brother Kaleem pesan, sebagai manusia biasa yang tidak lekang daripada dosa, riak ni adalah perkara yang akan selalu terjadi pada diri kita. Jadi ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan:
1. Berhati-hati dalam beramal.
2. Sentiasa perbaharui niat melakukan sesuatu amal ibadah itu samada khusus atau umum, hanyalah semata-mata kerana Allah.
3. Sentiasa bermuhasabah untuk semak kembali adakah amal yang kita lakukan itu kerana Allah atau tidak.
4. Sentiasa beristighfar memohon keampunan Allah atas amalan yang kita lakukan bukan kerana Allah.
5. Berdoa dengan doa yang terdapat dalam mathurat:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sadari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui).
Brother Kaleem sebut, riak ni seperti semut hitam, di atas batu hitam, di dalam kegelapan malam. Susah nak nampak. Begitulah, kita kena sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan ketaatan, mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada riak dan mengurniakan kita ikhlas dalam setiap amal yang kita lakukan. Allahumma ameen.
Wallahua’lam.
**Tulisan ini adalah sekadar catatan daripada kelas Basic of Islam anjuran Multiracial Reverted Muslim. Kelas dijalankan dalam Bahasa Inggeris, disebabkan itu catatan ini bercampur dua bahasa.