Jadilah Pencetus!
Bismillah.
Dalam slot Liqo Fikri yang lalu, Ustazah Noraini Hussein menekankan bagaimana muslimat harus berperanan dalam setiap amanah yang dipikul. Antaranya sebagai seorang isteri, ibu, ahli gerakan dan juga ahli dalam masyarakat. Yang mana, kita sebagai muslimat boleh jadi pencetus kepada hal-hal kebaikan dalam semua peranan yang disebutkan. Menjadi pencetus bermaksud, kita yang menjadi kunci yang mewujudkan suasana yang tenang dan harmoni, mewujudkan rasa kasih dan cinta, menyuburkan semangat dan motivasi kepada orang sekeliling kita.
Sebagai contoh, seorang isteri mencetus kepada suasana yang tenang dan penuh cinta dalam rumah tangga dengan sentiasa belajar menguruskan emosi dengan baik. Seorang ibu pula berperanan mencetuskan pertuturan dan perbuatan yang baik-baik yang akhirnya menjadi contoh dan ikutan kepada suami dan anak.
Seorang ahli gerakan pula, sentiasa berusaha melaksanakan amanah sehabis baik dan menjadi inspirasi kepada sahabat-sahabat yang lain. Ahli dalam masyarakat pula merujuk kepada peranan kita dalam mewujudkan suasana harmoni dan menyebarkan kebaikan kepada masyarakat khususnya jiran tetangga dan juga rakan sekerja.
Namun perlu kita ingat sentiasa bahawa tidak ada daya dan upaya kita dalam melaksanakan seluruh amanah ini tanpa kekuatan dan pertolongan daripada Allah. Maka penting sangat untuk kita sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan Allah, melaksanakan segala perintahnya dan menambah amalan-amalan sunat yang lebih medekatkan diri kita kepada Allah.
Pesan Ustazah juga, dalam proses mendekatkan diri dengan Allah ni, kena bermula dengan membersihkan hati daripada segala penyakit-penyakit hati. Proses tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) perlu berterusan sehingga ke akhir hayat. Kerana usaha melaksanakan amal kebaikan ini akan sering mendapat tentangan dan gangguan daripada nafsu dan syaitan.
7 PERANAN WANITA DI RUMAH
Saya kongsikan 7 peranan seorang wanita di rumah sebagai isteri yang sempat saya catat dalam perkongsian Ustazah Noraini.
1. Menjaga maruah kita untuk suami
2. Mentaati suami lebih daripada ibu dan saudara
3. Menjaga rahsia rumahtangga
4. Sentiasa mendorong suami untuk melakukan kebaikan
5. Bantu suami menjaga hubungan baik dengan keluarga dan saudara suami.
6. Sentiasa menjaga aturan dan kekemasan rumah
7. Menjaga penampilan diri di rumah
Begitulah, sekadar cacatan agar tidak lupa dengan ilmu yang diperolehi hari ini.
Wallahu’alam.