Jurnal Kehidupan

Finding Peace

Bismillah.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 190:

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

Setiap hari, kita menjalani kehidupan dengan pelbagai perkara yang bermain dalam fikiran. Berfikir tentang keluarga di kampung, tentang pasangan, tentang anak, tentang rumah tangga, tentang kerjaya, tentang orang sekeliling, dan pelbagai lagi perkara yang seringkali menyesakkan fikiran.

Orang putih kata – overwhelmed.

Kepala terasa berat kerana terlalu banyak perkara yang difikirkan lalu mempengaruhi hati kita sehingga perasaan gundah, risau dan sedih menguasai hati. Hilanglah syurga dunia yang bernama ketenangan hati dan jiwa.

Yang sebenarnya tidak semua perkara yang perlu kita fikir dan ambil perhatian. Ada sebahagian perkara yang ada dalam fikiran kita rupa-rupanya hanyalah sampah yang tidak perlu lagi kita simpan dalam kotak fikiran.

Ada perkara yang sejauh dan sekuat manapun kita berfikir tentangnya, ia tidak akan memberikan kita jalan keluar mahupun penyelesaian. Ia adalah perkara yang berada di luar kawalan dan batasan kemampuan kita sebagai hamba.

Kita perlu memiliki satu kemahiran untuk menapis apa yang masuk ke dalam fikiran kita. Mesti ada kekuatan untuk menepis dan menyingkirkan perkara-perkara yang cuba merosakkan fikiran dan cuba menggoyahkan ketenangan hati.

Saya salin kembali daripada salah satu kuliah Datuk Dr. Ustazah Hafizah Musa di youtube:

“Daripada kualiti baiknya Islam seseorang itu, dia meninggalkan perkara yang tidak ada kaitan dengan dirinya. Orang-orang yang bahagia tidak akan memikirkan perkara yang tidak ada kaitan dengan dirinya.”

Jadi apa sebenarnya perkara yang bermanfaat untuk kita masukkan dalam fikiran kita?

Ustazah berkongsi 5 perkara bermanfaat yang perlu berada dalam fikiran kita menurut sebuah buku bertajuk ‘Tajdid Solataka” (Perbaharui Solatmu).

1️⃣ Menggunakan akal fikiran dan hati untuk merenung dan tadabbur ayat Al-Quran. Mentadabbur Al-Quran adalah satu jalan yang penuh dengan keindahan.

2️⃣ Merenung dan memikirkan ayat-ayat kauniyah (ciptaan-ciptaan Allah). Merenung kejadian alam seperti langit, gunung, manusia, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya yang akhirnya membawa kita mengingati Allah. Tafakur melihat ciptaan Allah tadi akan membawa satu perubahan dalam diri kita ke arah yang lebih baik.

3️⃣ Melihat dan memerhatikan aib dan dosa kita. Jujur melihat dalam diri kita sendiri bagaimana sikap kita mengurusi takdir yang Allah telah design dalam kehidupan kita. Merenung juga kelemahan-kelemahan diri kita yang perlu kita perbaiki dan berdoalah memohon pertolongan kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk kita berubah. Jangan sibukkan diri memikirkan aib dan kelemahan orang lain.

4️⃣ Memikirkan nikmat-nikmat Allah yang begitu banyak sehingga kita menjadi hamba yang bersyukur. Di sebalik ujian yang Allah bagi, banyak lagi nikmat-nikmat Allah yang perlu kita syukuri.

5️⃣ Memikir dan merenung tanggungjawab dan amanah yang kita pikul dalam kehidupan. Tanggungjawab sebagai anak, sebagai isteri dan ibu, sebagai khalifah dan hamba Allah.

Ustazah mengakhiri kuliah dengan 3 pesanan:

Pesanan 1: Sentiasa membaca doa yang diajarkan Baginda Nabi SAW kepada Muaz Bin Jabal:

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

“Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Pesanan 2: Apabila kita rasa otak berserabut dengan pelbagai fikiran, sucikan dan lapangkan dengan perbanyakkan seafdhal-afdhal zikir iaitu لاَ إِلَهَ إِلَّاالله.

Zikir ini membersihkan hati dan fikiran khususnya daripada sembahan-sembahan iaitu ilah-ilah yang mungkin tumbuh dalam hati kita yang menyibukkan hati dan fikiran kita mengejarnya. Boleh jadi ilah tadi dalam bentuk jawatan, harta, pangkat, pengaruh dan sebagainya.

Pesanan 3: Membaca doa selepas berwudu’ sebelum tidur.

Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Al-Bara’ Bin ‘Azib bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ وقُلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ، فَإِنْ مُتَّ مُتَّ عَلَى الْفِطْرَةِ فاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ

Maksudnya : “Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah : Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”

Riwayat Al-Bukhari (6311)

Wallahu’alam.

Untuk dengar kuliah penuh Ustazah, boleh klik sini.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *