Jurnal Al-Quran Jurnal Hadis Jurnal Kehidupan

Hakikat Dunia

“Hakikat dunia ni sangat mengecewakan”

Masih terngiang suara encik suami beberapa hari  lepas. Seperti segunung emosi dilepaskan bersama sebaris ayat yang tersirat disebaliknya pelbagai pengalaman pahit menempuh hidup.

Luahan kata itu mengingatkan saya pada satu kuliah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) ketika membincangkan tadabbur Surah Al-Kahfi, ayat 7:

اِنَّا جَعَلۡنَا مَا عَلَى الۡاَرۡضِ زِيۡنَةً لَّهَا لِنَبۡلُوَهُمۡ اَ يُّهُمۡ اَحۡسَنُ عَمَلًا‏

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah diantaranya yang terbaik perbuatannya.”

Sesuatu yang dihias sudah tentu asalnya tidak cantik.

Kita menghias rumah dengan pelbagai dekorasi agar rumah kelihatan cantik dan sedap mata memandang. Kita menghias wajah dengan gincu, bedak dan celak agar wajah kelihatan lebih cantik dan berseri.

Maka hakikat sebenar rumah dan wajah yang dihias tadi, asalnya adalah tidak menarik.

Begitu jugalah hakikat dunia.

Allah SWT menjadikan pelbagai perhiasan berupa harta, pasangan dan anak-pinak sebagai kenikmatan yang bersifat sementara dan tidak kekal yang sudah tentu menjadi ujian buat hamba-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi ayat 46:

اَلۡمَالُ وَ الۡبَـنُوۡنَ زِيۡنَةُ الۡحَيٰوةِ الدُّنۡيَا​ ۚ وَالۡبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيۡرٌ عِنۡدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَّخَيۡرٌ اَمَلًا‏

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

Juga firman Allah SWT dalam Surah Al-Qasas, ayat 60:

وَمَاۤ اُوۡتِيۡتُمۡ مِّنۡ شَىۡءٍ فَمَتَاعُ الۡحَيٰوةِ الدُّنۡيَا وَزِيۡنَـتُهَا​ ۚ وَمَا عِنۡدَ اللّٰهِ خَيۡرٌ وَّاَبۡقٰى​ ؕ اَفَلَا تَعۡقِلُوۡنَ

“Dan apa saja (kekayaan, jabatan, keturunan) yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kesenangan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Tidakkah kamu mengerti?”

Apa sahaja perhiasan dunia yang menjadi kecintaan kita hanyalah bersifat sementara. Maka sangat tidak berbaloi untuk kita menumpukan usaha dan kecintaan serta berhabis masa dan tenaga untuk memperoleh sesuatu yang tidak kekal. Sehingga terabai usaha untuk memperoleh sesuatu yang lebih baik dan kekal di alam selepas kematian.

Kematian itu satu perkara yang benar dan pasti terjadi. Hikmah Allah SWT merahsiakan bila dan bagaimana kita mati adalah supaya kita senantiasa melakukan persediaan amal.

Namun apa yang berlaku tidak begitu. Kita jarang sekali mengingati kematian apatah lagi bersedia untuk menghadapinya. Segala perhiasan dunia yang sangat menarik ini sering membuatkan kita merasa ‘sentiasa ada hari esok’. Sedangkan ketika kita membaringkan tubuh untuk lelap di malam hari, tiada siapa yang boleh jamin kita akan bangkit lagi pada keesokan hari.

Lalu, apa yang harus kita lakukan agar hati tidak lalai mengingati Allah SWT dan agar kita sentiasa berusaha mengumpul bekal amal soleh meskipun dalam kesibukan urusan dunia?

Kembalilah kepada Al-Quran.

Kerana Al-Quran adalah manual dan panduan dalam setiap aspek kehidupan. Bahkan turunnya Al-Quran itu sebagai satu rahmat kepada orang-orang yang beriman. Dan rahmat Allah SWT sahajalah yang kita perlukan untuk selamat kehidupan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat 204:

وَاِذَا قُرِئَ الۡقُرۡاٰنُ فَاسۡتَمِعُوۡا لَهٗ وَاَنۡصِتُوۡا لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُوۡنَ‏

“Dan apabila dibacakan Alquran, maka dengarkanlah dan diamlah, agar kamu mendapat rahmat.”

Al-Quran juga adalah sebagai syifa, penyembuh bagi segala penyakit yang ada di dalam dada termasuklah penyakit wahan iaitu kecintaan kepada dunia. Firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 57:

يٰۤاَيُّهَا النَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُمۡ مَّوۡعِظَةٌ مِّنۡ رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُوۡرِۙوَهُدًى وَّرَحۡمَةٌ لِّـلۡمُؤۡمِنِيۡنَ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Saya akhiri tulisan hari ini dengan satu hadis Baginda Nabi SAW ketika mendidik sahabat tentang hakikat dunia.

Mewartakan kepada kami Yahya bin Habib bin ‘Arabiy; mewartakan kepada kami Hammad bin Zaid, dari Mujalid bin Sa’id AlHamdaniy, dari Qais bin Abu Hazim Al-Hamdaniy, dia berkata: Mewartakan kepada kami Al-Mustaurid bin Syaddad, dia berkata:

“Sesungguhnya saya pernah bersama Rasulullah SAW dalam sebuah rombongan, tiba-tiba beliau menjumpai bangkai anak domba yang terbuang. Maka beliau bersabda: “Apakah kalian menganggap bangkai ini tidak berharga bagi pemiliknya?

Dikatakan kepada beliau: “Ya Rasulullah! Karena hinanya bangkai tersebut, maka mereka membuangnya”

Atau seperti yang dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh dunia itu lebih hina di sisi Allah daripada bangkai ini di sisi pemiliknya”.

Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 4. Hadis Nombor 4111.

Jom sama-sama kita berusaha mendekatkan diri dengan Al-Quran – dengan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran. Mudah-mudahan, dengan rahmat Allah SWT, hati kita tidak mudah terpaut dengan perhiasan dunia dan kita lebih cinta kepada perkara-perkara yang mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Insya-Allah.

Wallahua’lam.

2 thoughts on “Hakikat Dunia

  1. Terima kasih Tasnim di atas peringatan.
    Semoga dipermudahkan semua urusan Tasnim untuk berkarya.
    I’m proud of you.

Leave a Reply to SueSani Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *