Jurnal Al-Quran Jurnal Hadis

Solat Tanda Syukur

Bismillah.

Pernah tak sebaik sahaja selesai menunaikan solat, kita termenung sendirian memikirkan apa sebenarnya tujuan kita mendirikan solat lima waktu sehari semalam? Apakah solat yang kita dirikan sepanjang kehidupan ini sejak akil baligh, memberikan kesan yang besar dalam kehidupan kita?

Persoalan-persoalan ini kerap singgah, terutamanya ketika saya merasakan solat ini seolah-olah telah menjadi sekadar rutin harian – tiada ruh, sekadar terlepas daripada dosa meninggalkan solat.

Ya, solat adalah perintah yang Allah SWT wajibkan kepada hamba-Nya. Perintah solat itu adalah rukun Islam yang kedua – menggambarkan bahawa kefardhuan solat ini adalah satu perintah yang tinggi kedudukannya. Bahkan solat adalah amal pertama yang akan dihisab di akhirat nanti.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ صَلاَتُهُ

Maksudnya: “Perkara pertama yang akan seseorang hamba itu dihitung (pada Hari Kiamat) adalah mengenai solatnya.”

Riwayat al-Nasa’ie (467), Ibn Majah (1426), al-Tirmizi (413) dan Abu Dawud (864)

Apabila Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk melalukan sesuatu ibadat atau amal soleh, sudah tentu ada tujuan dan hikmah disebaliknya. Bagi orang-orang yang beriman, meskipun sesuatu kejadian itu tidak difahami dan tidak diketahui apakah tujuannya, tetaplah dalam hati mereka meyakini bahawa pasti setiap penciptaan dan kejadian yang menurut qadar Allah itu tidak ada yang sia-sia.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 191 yang bermaksud:

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Maka, apakah tujuan kita mendirikan solat? Sebelum kita mengangkat takbiratul ihram, fikir sejenak apakah yang kita ingin capai daripada solat yang kita dirikan itu?

Sebenarnya, Allah SWT telah memberikan jawapan kepada soalan-soalan ini dalam Al-Quran dan juga daripada hadis Baginda Nabi Muhammad SAW. Jom kita lihat apa skema jawapannya.

Pertama: Solat untuk mengingati Allah SWT

Firman Allah SWT dalam Surah Taha, ayat 14 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Kedua: Solat mencegah diri daripada perbuatan mungkar

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud:

“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Ketiga: Solat tanda syukur kepada Allah SWT

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab:

يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”

Riwayat al-Bukhari (4837)

——————————————————————————————————————

Jika kita perhatikan, bacaan-bacaan dalam solat banyak mengandungi kalimah memuji Allah SWT. Di antaranya dalam bacaan:

  1. Doa iftitah (وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا)
  2. Surah Al-Fatihah (ٱلْحَمْدُ لِلَّٰهِ رَبِّ ٱلْعَالَمِينَ)
  3. Bacaan ketika rukuk (سُبْحَانَ رَبِّي الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ )
  4. Bacaan ketika sujud (سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى وَبِحَمْدِه)
  5. Bacaan ketika iktidal ( سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ)

Maka jika ditanya, apakah tanda seseorang itu bersyukur kepada Allah SWT?

Jawapan mudahnya adalah, tanda seseorang hamba itu bersyukur kepada Allah SWT adalah hamba itu mendirikan solat serta menyempurnakannya antaranya dengan cara:

  1. Memelihara solat di awal waktu
  2. Memelihara rasa khusyuk dalam solat dengan meghayati bacaan dalam solat
  3. Memelihara rukun dan perkara sunat dalam solat

Insya-Allah sama-sama kita berusaha menjadikan solat lima waktu yang kita dirikan setiap hari, menjadi jalan untuk kita:

  1. Mengingati Allah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT
  2. Mencegah diri daripada melakukan kemungkaran dan mengharapkan petunjuk daripada Allah SWT agar kita diberi kekuatan untuk mentaati segala perintah-Nya.
  3. Mensyukuri segala nikmat pemberian Allah SWT sama ada nikmat yang kita nampak secara zahir seperti harta atau nikmat yang tidak dapat kita lihat seperti nikmat mengingati-Nya dalam setiap urusan kehidupan.

Wallahua’lam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *