Jurnal Al-Quran

‘Mindset’ Ramadan

Bismillah.

Tulisan ini sepatutnya diselesaikan sebelum Ramadan lagi memandangkan perkongsian Ustaz Dr. Zuhaili Saiman berkenaan Ramadan adalah seminggu sebelum berpuasa. Namun disebabkan keupayaan untuk menulis ini adalah semata-mata kurniaan dan kekuatan daripada Allah, maka baru hari ini dengan izin Allah, akal dan fikiran mula bekerjasama untuk menyiapkan tulisan ini.

Sebelum kita bercerita lebih lanjut tentang mindset Ramadan, ada baiknya kita memahami terlebih dahulu apakah itumindset.

Bahasa mudahnya, mindset ini adalah tentang apa yang kita percaya dan cara kita berfikir tentang sesuatu atau tentang kehidupan. Kepercayaan dan cara kita berfikir itu akan mempengaruhi perasaan, sikap dan tindakan kita dalam menjalani kehidupan setiap hari.

Jom kita lihat 3 mindset Ramadan yang perlu kita pegang erat-erat.

Mindset 1 – Ramadan bulan mengejar keampunan Allah SWT

Rasulullah SAW pernah mengaminkan 3 doa yang dibaca oleh malaikat Jibril ketika Baginda sedang menaiki mimbar. Salah satu doa yang dibacakan oleh malaikat Jibril adalah:

“Sesiapa yang sempat dengan bulan Ramadan dan tidak diberikan keampunan kepadanya lalu dia masuk ke neraka, maka Allah akan menjauhkannya (dari rahmat-Nya).”

Inilah doa yang dibacakan oleh ketua para malaikat dan diaminkan oleh penghulu sekalian nabi. Maka, wajarlah kita meletakkan dalam hati dan minda kita untuk menjadikan keampunan Allah itu sebagai sesuatu yang paling kita inginkan dalam Ramadan kali ini.

Keinginan yang telah kita tanam dalam hati dan minda itu akan menjadi satu azam yang kuat yang akan mempengaruhi sikap dan tindakan kita. Lalu kita mencari jalan bagaimana hendak mendapat keampunan Allah dan kita bermujahadah sedaya upaya untuk melaksanakan jalan-jalan tersebut. Antaranya adalah dengan memperbanyakkan beristighfar setiap hari, zikir dan juga menunaikan solat sunat taubat.

Mindset 2 – Ramadan madrasah membina sifat takwa dalam diri

Menjadi hamba yang bertakwa adalah tujuan paling utama Allah SWT memerintahkan kita berpuasa. Sebagaimana firman Allah SWT:

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” – Surah Al-Baqarah: 183

Allah SWT mengkhususkan satu bulan dan satu ibadah yang matlamatnya adalah supaya kita menjadi hamba yang bertakwa.

Kalimah لَعَلَّكُمْ yang diterjemahkan dengan ‘supaya kamu’ membawa makna sebuah pengharapan – bererti belum tentu dengan berpuasa di bulan Ramadan kita akan jadi orang yang bertakwa. Ada hadis yang menyebutkan golongan yang berpuasa tetapi hanya sekadar mendapat lapar sahaja. Rugi bukan?

Ini bermaksud, untuk mencapai tujuan menjadi hamba yang bertakwa tadi, kita berpuasa di bulan Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi turut bermujahadah mendidik nafsu untuk menahan diri daripada melakukan kemaksiatan dan juga perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah.

Kenapa agaknya Allah SWT nak kita jadi hamba-Nya yang bertakwa?

Saya ada mencatat daripada perkongsian Ustazah Hafizah Musa tentang mengapa Allah nak kita jadi orang yang bertakwa. Boleh baca di sini: Pertimbangan Takwa

Mindset 3 – Ramadan bulan Al-Quran

Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..” – Surah Al-Baqarah: 185

Jika selama ini kita merasakan hubungan dengan Al-Quran itu sekadar ‘kawan lama’ yang jarang kita bertemu dan kita tidak mengenalinya dengan begitu baik, maka inilah masanya untuk kita mula kembali membina hubungan yang baik dengan Al-Quran. Pasang azam dan niat dalam hati untuk kita bersahabat baik dengan Al-Quran sehingga ke akhir hayat kerana di hari kiamat nanti Al-Quran akan datang sebagai pemberi syafaat.

Daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda :

Maksudnya : “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.” – Riwayat Muslim (1910)

Terdapat beberapa lagi hadis berkaitan Al-Quran yang datang pada hari kiamat, boleh baca di sini.

Menurut Ustaz Dr. Zuhaili, terdapat 5 tanggungjawab kita dengan Al-Quran:

  1. Beriman dengan Al-Quran
  2. Membaca Al-Quran
  3. Memahami Al-Quran
  4. Melaksanakan isi kandungan Al-Quran (beramal dengan Al-Quran)
  5. Mujahadah menyebarkan ajaran Al-Quran

Begitulah sedikit perkongsian yang sempat saya catat. Jom kita perbanyakkan berdoa di bulan Ramadan ini khususnya di waktu-waktu mustajab doa seperti waktu qiyamullail dan sebelum berbuka puasa. Paling utama, berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa dan menjadikan kita hamba-Nya yang bertakwa. Selamat beribadah di bulan Ramadan.

Wallahua’lam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *