Ying dan Pantai
Deru angin pantai sangat menyegarkan. Makhluk bernama angin yang tidak terlihat oleh mata kasar ini tidak malu menyapa apa saja dihadapannya. Baik air laut yang dingin, baik pasir pantai masih basah oleh embun pagi, baik sebatang tubuh yang tercegak memerhati.
Ying.
Pandangannya jauh dilempar ke kaki langit. Memerhati mentari yang mengintai di sebalik kemerahan langit fajar. Laut yang terbentang luas sepertinya tidak ada tepian. Sungguh mengagumkan. Namun sesekali terselit juga rasa gerun.
Tidak ada sesiapa di pantai pada waktu subuh begini. Hanya Ying yang ditemani angin, ombak dan matahari yang masih malu-malu.
Ying menapak menghampiri air laut hingga buku lalinya tenggelam dalam ombak yang datang dan pergi. Ingin sekali dia menapak lagi biar tenggelam seluruh tubuhnya. Biar binasa hidupnya. Andailah pengakhiran itu menghilangkan semua deritanya, pasti dia akan melakukannya. Pasti! Kerana hatinya sudah tidak tertanggung lagi mengusung duka. Namun jauh di sudut nuraninya, masih ada secubit rasa takut yang menjadi benteng. Bukan takut pada kematian. Tapi takut pada Tuhan yang mematikan. Adakah Tuhan akan menerimanya jika kembali dalam keadaan begitu.
“Ahh..aku tidak mahu menderita di akhirat nanti. Derita dunia pun tidak aku tertanggung. Apatah lagi derita akhirat yang tiada penghujung.”
Hatinya berkata-kata. Cuba menghalang Ying daripada membinasakan dirinya.
“Tuhan, aku cuma lelah. Dunia ini terlalu memenatkan. Kerapkali ia cuba menenggelamkan ku. Tuhan, aku ingin kembali. Aku ingin..tapi aku tertawan dengan nafsu dan syaitan yang merasuk..”
Ying cuba menahan tangisnya. Masih ada secebis ego dalam hatinya. Tidak ingin mengaku bahawa dirinya lemah.
“Aku hilang arah. Hidupku hilang makna. Jadi mengapa aku harus hidup? Mengapa aku harus dilahirkan pada awalnya?. Ummi, kenapa ummi lahirkan Ying, Ying tidak kuat menempuh hidup.”
Ying terduduk. Tangisnya pecah sebagaimana pecahnya empangan yang tidak mampu lagi menampung beban air. Bajunya kian basah. Ombak yang datang dan pergi seperti tidak menghiraukan kewujudannya.
Direbahkan badannya atas pasir pantai. Langit tanpa tiang yang luas terbentang seperti berpusu-pusu mengisi dadanya sehingga terasa lapang hatinya sebagaimana lapangnya langit itu. Terluncur dari lidahnya kalimah suci;
“Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah allahuakbar”
“Sejauh mana pun aku cuba lari dari Tuhan, langit ini masih mengingatkan aku pada rahmatNya.”
Esaknya telah reda. Pergi bersama segunung beban yang hampir sahaja menghempapnya mati.
Ying bangun dah melangkah pergi.
“Alam ini tidak pernah mengecewakanku. Terima kasih Tuhan.”
…………………………………………………………….
Ying. Sahabat mayaku yang diuji dengan depression.