Tentang Aisyah Uncategorized

Bahagia

Bismillah.

Bahagia – Allah SWT datangkan melalui pelbagai cara.

Tahun ini, rutin menghantar Aisyah ke sekolah terasa sedikit berbeza.

Sebelum ini saya menghantar dan mengambil Aisyah betul-betul di hadapan bangunan PASTI yang mana saya tidak perlu turun daripada kereta memandangkan ada kereta lain di belakang yang sedang menunggu. Kali ini ibu bapa perlu parking kereta sedikit jauh dan berjalan kaki ke bangunan PASTI.

Perubahan yang pada awalnya sedikit menyukarkan, rupanya menjadi satu nikmat yang membahagiakan.

Rupa- rupanya berjalan sambil mengenggam erat tangan Aisyah, memeluk dan mengucup dahinya dan menatap wajahnya yang sentiasa tersenyum ketika menyalami guru-gurunya menjadi satu momen yang sangat membahagiakan. Dan saya melangkah pulang dengan hati yang sebak sambil melangitkan doa-doa untuk Aisyah.

Sungguh Aisyah adalah anugerah Allah SWT – permata yang tidak ternilai buat saya dan suami serta ahli keluarga yang lain. Semuanya sangat menyenangi dan menyayangi Aisyah.

Firman Allah SWT dalam Surah ar-Rahman, ayat 38:

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ ٣٨

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Segala puji hanya bagi-Mu Ya Allah.

Aku serahkan Aisyah dalam jagaan-Mu Ya Allah, Ya Hafiz, Ya Muhaimin. Peliharalah Aisyah selamat sejahtera sepanjang kehidupannya di dunia dan di akhirat nanti.

Ya Allah, Ya Rasyid, Ya Hakim, tetapkan hati Aisyah pada kebenaran dan kurniakan Aisyah ilmu, hikmah dan kebijaksanaan.

Ameen Ya Allah.