Memaknai Hidup Sebagai Hamba
Bismillah.
Januari 2025 sudah hampir menyelesaikan tugasnya, Februari sedang menanti untuk mengambil alih tugasan sebagai masa dan ruang untuk manusia terus hidup. Begitulah bulan silih berganti, seolah sekelip mata sahaja nanti kita akan memasuki tahun yang baru.
Begitulah masa berlalu pantas meninggalkan kita, bermakna selaju itulah juga umur kita dimamah waktu. Ya, langkah yang diatur setiap hari – ke mana saja arah tujuannya, hakikatnya langkah itu semakin hampir dengan kematian yang penuh rahsia – bila, bagaimana dan di mana.
Lalu, sudahkah kita meneliti bagaimana kehidupan yang telah kita lalui setiap hari? Adakah kita telah memaknai kehidupan ini dengan sebaiknya, sebagaimana yang Allah SWT inginkan? Sudahkah kita menemui makna dan tujuan sebenar kehidupan yang singkat ini?
Saya sendiri jarang memikirkan tentang persoalan ini. Kesibukan rutin harian dengan pelbagai nikmat dan ujian yang silih berganti, kadang-kala membuatkan kita lupa apakah makna sebenar kehidupan.
Apabila memikirkan tentang persoalan ini, saya tidak ada jawapan yang jelas, kalau adapun terasa begitu kabur. Sehinggalah saya membaca satu petikan daripada buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bertajuk ‘Seni Berfikir Yang Hilang’. Ustaz menulis:
Apa pula sebenarnya erti hidup?
Ertinya kita hanyalah hamba. Allah SWT adalah Tuhan kita dan hidup ini adalah kehambaan kepada-Nya. Semuanya mesti dalam kerangka ibadah, dan ia sangat dominan dalam mempengaruhi penilaian kita.
Ertinya, hidup kita ini adalah semata-mata untuk menjadi hamba kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Adz-Zariyat, ayat 56:
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ٥٦
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Makna kata, setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan kita ini semuanya mesti dalam kesedaran bahawa kita adalah hamba. Sebab itu apabila kita belajar tentang ibadah, ia terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum.
Ibadah khusus merujuk kepada ibadah yang telah ditentukan dalam syariat Islam daripada segi hukum, pelaksanaan dan syaratnya seperti ibadah puasa, solat dan haji.
Manakala ibadah umum pula meliputi seluruh aspek kehidupan manusia daripada sekecil-kecil perkara seperti makan dan minum sehinggalah perkara yang besar seperti berkahwin, bekerja dan berpolitik. Ia merangkumi hubungan manusia dengan Allah SWT, sesama manusia dan sesama makhluk yang lain.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Ustaz Hasrizal:
“Semuanya mesti dalam kerangka ibadah”
Ayat ringkas ini sangat terkesan pada saya. Ia membuatkan saya sentiasa berfikir dalam setiap perkara yang dilakukan, ‘adakah pekerjaan ini dinilai sebagai ibadah?’
Perkara yang paling menyedihkan adalah apabila solat yang merupakan ibadah khusus itu pun kadang-kadang didirikan dalam keadaan yang lalai lalu ibadah itu tidak memberi kesan kepada jiwa dan akhlak. Waktu yang sepatutnya kita mengkhususkan jiwa dan raga untuk menyembah Allah SWT telah menjadi satu pergerakan ritual sahaja yang boleh jadi hilang nilai ibadahnya.
Sekadar membawa diri bermuhasabah tentang solat yang didirikan setiap hari. Semoga Allah SWT memberikan kita nur dan kekuatan untuk menjalani ibadah solat dengan jiwa seorang hamba.
Saya berfikir, sekiranya kita ingin menjadikan seluruh kehidupan ini dalam ‘kerangka ibadah’ maka kita perlu mempunyai kesedaran spiritual yang mendalam bahawa kita berada di dunia ini adalah sebagai hamba. Tinggalkan segala nama, pangkat dan kedudukan, hanya letakkan kesedaran diri sebagai hamba dalam apa jua urusan kehidupan.
Bayangkan, apabila kita ditimpa sesuatu musibah lalu melihatnya dengan kaca mata seorang hamba, sudah pasti musibah itu dihadapi dengan hati yang reda kerana sebagai hamba sudah tentu kita wajib akur dengan segala takdir yang telah ditentukan ke atas kita.
Kemudian kita akan meletakkan sepenuh pengharapan kita kepada Allah SWT kerana sebagai hamba kita sedar bahawa kita tidak ada daya dan upaya sedikit pun untuk menempuhi musibah tersebut. Lalu ujian itu menjadi jalan seorang hamba semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Begitu juga apabila kita mendapat nikmat daripada Allah SWT. Diri yang penuh kesedaran seorang hamba akan menerimanya dengan rendah hati dan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana sedar bahawa nikmat itu adalah kurniaan Allah SWT semata-mata, bukan daripada kepandaian atau usaha sendiri.
“Ia sangat dominan dalam mempengaruhi penilaian kita”
Inilah yang dimaksudkan oleh Ustaz Hasrizal bahawa kesedaran sebagai hamba akan mempengaruhi bagaimana kita menilai sesuatu perkara dalam kehidupan dan bagaimana kita bertindak.
Pada saya, proses memaknai kehidupan sebagai seorang hamba adalah perjuangan yang berterusan selagi hayat dikandung badan. Perkara yang boleh membantu kita untuk mendalami jiwa seorang hamba sehingga kita mempunyai kesedaran bertuhan adalah dengan mendekatkan diri kepada dua peninggalan Rasulullah SAW iaitu Al-Quran dan Sunnah.
Pendek kata, dekatkan diri dengan ilmu agama.
Kerana hanya itulah yang akan menjadi cahaya menyuluh perjalanan hidup kita untuk menjadi hamba yang sebenar-benarnya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang mendapat hidayah dan taufik sehingga kita mati dalam husnul khatimah, insya-Allah.