Jurnal Al-Quran Jurnal Kehidupan

Kesedaran Bertuhan

Bismillah.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ٢١

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ فِرَٰشًۭا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءًۭ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًۭا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًۭا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ٢٢

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

Kebelakangan ini, saya suka sekali melihat langit. Selesai menunaikan solat subuh lagi, saya akan tercegat di luar rumah menikmati pemandangan langit pagi. Meskipun lampu jalan dan bumbung rumah di kawasan perumahan ini terasa sedikit menganggu pandangan, namun saya masih mampu merasakan keindahan langit ciptaan Tuhan. Sesekali masih nampak jujukan bintang berkelipan yang membentuk buruj. Dari arah timur langit mula menerbitkan cahaya oren lembut yang sungguh mendamaikan.

Sungguh, penciptaan langit penuh dengan keajaiban. Dengan pandangan mata kasar sahaja kita sudah dapat merasakan hebatnya ciptaan agung tanpa tiang ini, belum lagi kita melihat ruang angkasa yang mempunyai berbilion bintang dan galaksi. Allahuakbar!

Langit – satu makhluk yang paling mudah mengingatkan kita kepada Tuhan.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 190 hingga 191:

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

Sebagai seorang hamba yang hakikatnya adalah fakir, lemah dan jahil, kita perlu sentiasa diberikan peringatan bahawa hidup kita ini bertuhan. Baiknya Allah SWT, alam yang kita lihat setiap hari ini mampu untuk menimbulkan kesedaran dalam nurani kita bahawa kita ada Tuhan yang sangat agung, hebat dan sempurna.

Persoalannya, bagaimana kita melihat alam ini? Adakah dengan pandangan yang jemu dan kosong kerana telah saban hari kita melihatnya? Atau kita melihat dengan mata hati dan berfikir menggunakan akal kurniaan Tuhan yang akhirnya menerbitkan keimanan kepada Allah SWT.

Jika kita mempelajari bab aqidah, kita akan bertemu dengan 4 sumber-sumber akidah iaitu:

  1. Al-Quran
  2. Al-Sunnah
  3. Ijmak
  4. Akal & Fitrah

Maka kita akan menemui banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyebutkan tentang penciptaan langit dan bumi dan pelbagai ciptaan-Nya yang membentuk alam yang kita lihat pada hari ini. Syukur kan, Allah SWT berikan kita akal dan penglihatan? Alangkah ruginya jika kedua-duanya tidak digunakan pada jalan yang benar.

Bahkan pada penciptaan diri kita sendiri pun sudah terlalu banyak keajaiban sebagai tanda kehebatan Allah SWT. Belajarlah tentang tubuh badan kita ini, bagaimana sistem pernafasan berfungsi, bagaimana makanan melalui proses penghadaman dan bagaimana otak kita berfungsi mengawal keseluruhan fungsi badan. Masya-Allah!

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Zariyat, ayat 20 hingga 21:

وَفِى ٱلْأَرْضِ ءَايَـٰتٌۭ لِّلْمُوقِنِينَ ٢٠

Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,

وَفِىٓ أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ ٢١

Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

Ada usaha yang boleh kita lakukan untuk belajar tentang alam dan memupuk kesedaran bertuhan. Aktiviti berikut boleh dilakukan bersendiri atau bersama ahli keluarga.

  1. Membaca ayat-ayat Al-Quran tentang penciptaan langit dan bumi serta makhluk-makhluk yang lain dan bertadabbur mengambil ibrah.
  2. Berjalan di taman, pantai atau di mana sahaja yang membolehkan kita menatap langit yang luas terbentang dan kehijauan pepohon. Ingat kembali ayat-ayat Al-Quran yang telah kita baca tentang alam yang sedang kita lihat.
  3. Menonton video-video dokumentasi tentang kejadian manusia dan alam. Antara rancangan yang boleh ditonton adalah: Our Planet, Our Universe dan youtube channel yang sesuai untuk anak-anak – Nat Geo Kids & Peekaboo Kids. Cuma channel untuk anak-anak ini, mungkin bukan semua video sesuai untuk tatapan. Ibu ayah boleh pilih, pantau dan tonton sekali bersama anak-anak sambil menerangkan.

Akhir sekali, pesanan daripada guru mengaji semalam, setiap hari pastikan kita mendengar, membaca atau melihat sesuatu yang boleh menambahkan keimanan kita kepada Allah SWT. Ia sebagai jalan untuk kita menambah kenal kita kepada Tuhan yang menciptakan. Dengan kenal, hadirlah rasa cinta. Dengan cinta, melakukan ketaatan itu menjadi lebih mudah dan indah.

Wallahua’lam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *