Jurnal Kehidupan

Sisi Pandang Sebuah Ujian

Bismillah.

‎أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan?” (Al-Ankabut: 2)

Entah kali ke berapa encik suami jatuh motor, rasanya dah lebih lima kali sejak kami hidup bersama. Setiap kali jatuh, lukanya bukan sedikit. Kita yang melihatnya pun terasa ngilu hingga ke tulang, bahkan kita yang tumpah air mata melihat suami menahan sakit.

Saya sendiri pernah jatuh dua kali ketika menaiki motor bersama suami. Namun alhamdulillah, tiada sedikit pun calar pada saya walaupun suami ada luka pada tangan dan kaki.

“Ujian tanda Allah sayang,” ujar suami.

Apabila Allah SWT berikan ujian sebegini, kami melihat dan mentafsirnya daripada 2 sisi yang berbeza.

Sisi pertama adalah reda – meyakini bahawa ujian adalah tanda kasih sayang Tuhan.

Ujian kesakitan atau apa sahaja ujian yang diberikan dalam kehidupan ini, fungsinya adalah untuk meningkatkan darjat keimanan. Boleh jadi ia satu teguran daripada Allah SWT. Boleh jadi juga ia adalah satu bentuk didikan yang Allah SWT berikan secara langsung. Ada sesuatu yang Allah SWT ingin kita renung dan ambil pengajaran.

Ujian juga sebagai jalan untuk Allah SWT mengampunkan dosa-dosa seorang hamba. Inilah makna di sebalik kata “ujian tanda Allah sayang”.

Daripada ‘Aisyah R.Anha dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya: “Tidak ada satupun musibah (ujian) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang seumpamanya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya (dosanya).” Riwayat Muslim, 4665

Hadis di atas ini perlu menjadi satu prinsip yang kita pegang teguh dalam hati. Kerana sudah menjadi norma kehidupan, pasti akan diuji. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Baru selesai menempuh satu ujian, datang lagi ujian yang lain – yang kadangkala lebih menggoyahkan jiwa.

Bacalah berulang kali hadis ini ketika diuji sehingga hilanglah kesempitan dalam dada kerana merasakan luasnya kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Dengan itu, akan lahirlah pula rasa cinta kepada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Tidak cukup dengan ganjaran dinaikkan darjat keimanan dan diampunkan kesalahan, Allah SWT tambah lagi jaminan ‘hadiah’ buat hamba yang diberikan ujian dengan pahala kesabaran tanpa batas. Bermaksud ganjaran pahala yang tidak terkira banyaknya selagimana hamba itu menghadapi ujian itu dengan hati yang reda dan penuh kesabaran.

Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar, di penghujung ayat 10:

إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍۢ

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”

Ajarkanlah kepada anak konsep ujian ini supaya mereka membesar dengan satu set minda yang betul tentang ujian. Agar mereka tidak melihat ujian sebagai satu musibah yang dipandang negatif dan rendah, tetapi melihat ujian dengan mata hati yang penuh keimanan dan keyakinan bahawa, “ujian tanda Allah sayang.”

Sisi kedua adalah – syukur atas perlindungan yang Allah SWT berikan.

Kadangkala kita memberi fokus kepada sisi negatif sesebuah ujian atau musibah sehingga tertutup mata hati kita daripada melihat banyaknya sisi positif yang ada pada ujian tersebut. Maka hati akan dirundung kesal yang berpanjangan, dada pula terasa sempit. Pelbagai perkara diungkit; “kalaulah begini, kalaulah begitu” – kerana susahnya hati untuk menerima hakikat ujian itu.

Sebagai contoh, antara sisi positif yang kita boleh lihat dalam ujian jatuh motor ini adalah:

  1. Alhamdulillah, jatuh motor sendiri sahaja, tidak melibatkan kenderaan lain. Kecederaan mungkin lebih teruk sekiranya berlaku kemalangan dengan kenderaan lain.
  2. Alhamdulillah, tidak patah kaki atau tangan. Masih boleh berjalan seperti biasa.
  3. Alhamdulillah, tiada kerosakan pada motor.
  4. Alhamdulillah, ada orang yang membantu ketika berlakunya kejadian itu.

Dan nikmat paling besar di sebalik ujian itu adalah, Allah SWT masih memberikan kita peluang untuk hidup – yang mana dengan kehidupan itu dapat kita manfaatkan untuk bertaubat dan memperbanyakkan amal soleh. Berapa ramai manusia yang Allah SWT ambil nyawanya ketika berada di jalan raya. Hilang nyawa bermakna habislah sudah modal kehidupan yang Allah SWT berikan. Tiada lagi peluang untuk melakukan amal soleh.

“Ini teguran daripada Allah, besar pengajaran Allah bagi, alhamdulillah.” kata suami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *