Tentang Aisyah

Deep Conversation

Bismillah.

Tengahari tadi ada deep conversation dengan Aisyah.

Alkisahnya, Aisyah minta izin nak tonton cerita kartun di laptop. Di rumah kami ni memang kami putuskan tidak perlu ada televisyen. Alternatifnya kami bagi Aisyah tengok cerita kartun dalam aplikasi Durioo di laptop. Kebiasaannya bila Aisyah minta nak tengok cerita kartun, saya akan letakkan syarat terlebih dahulu. Contoh, kemas mainan dahulu, baca Iqra’ dahulu dan apa-apa syarat yang dirasakan sesuai.

Bukan apa, bagi saya anak-anak ini perlu dididik untuk delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan. Banyak buku-buku parenting barat yang menyebut tentang kajian bernama Marshmallow Study. Saya tidak berniat untuk menerangkan tentang kajian ini, sahabat-sahabat boleh sahaja buat carian di internet untuk baca lebih lanjut.

Hasil kajian ini mendapati, anak-anak yang ada kemampuan untuk menangguh kepuasan (keseronokan melakukan perkara yang disukai seperti bermain game, menonton televisyen, makan coklat), lebih cenderung untuk menjadi individu yang berjaya pada masa hadapan. Dalam konteks kita orang dewasa pun, sikap delay gratification ini akan memberikan satu kesan yang besar dalam produktiviti kehidupan.

Contoh delay gratification – setelah kita selesai melakukan sesuatu tugasan, kita ada pilihan sama ada untuk menonton drama korea atau menyiapkan lagi satu tugasan yang berbaki; kemampuan kita untuk menangguhkan kepuasan (menonton drama korea) itulah yang akan menentukan produktiviti kita.

Berbalik kepada kisah Aisyah tadi.

Macam biasalah bila saya meletakkan beberapa syarat, Aisyah mula menangis kerana tidak terus dapat apa yang diinginkan.

“Tapi petang tu lama lagi..Aisyah nak tengok sekarang” Ujar Aisyah dengan linangan air mata.

“Aisyah kena sabar. Dalam hidup ni Aisyah kena ingat, tak semua benda yang kita nak kita akan dapat. Sebab yang bagi rezeki adalah Allah, jadi terserah pada Allah nak bagi rezeki hari ini ke atau esok ke. Jadi Aisyah kenalah sabar. Tengok Mama, 10 tahun dah Mama bersabar menunggu zuriat sendiri…”

Saya berhenti, terasa sebak pula. Tak pasti bagaimana perkataan itu boleh terluncur daripada lidah. Terbit juga rasa kesal, harap Aisyah belum mengerti dan tidak berkecil hati.

“Aisyah sabar ya, bukan Mama tak bagi, Aisyah makan dulu dan tidur sekejap, petang karang Mama bagi Aisyah tengok cerita kartun. Aisyah baru umur 4 tahun, banyak lagi ujian Allah nak bagi bila Aisyah makin besar nanti. Jadi Aisyah kena sabar dan kuat macam Mama.”

Aisyah berlalu pergi dengan esakan yang mereda.

Saya pula yang termenung sendirian. Memikirkan tempoh 10 tahun yang berlalu itu terasa amat pantas walaupun hakikatnya ia adalah satu tempoh masa yang agak lama. Syukur alhamdulillah atas kesabaran yang Allah SWT kurniakan buat hamba-Nya.

Tidak ada nikmat yang lebih indah apabila kita boleh tersenyum dan menyebut alhamdulillah atas ujian yang diberikan. Syukur atas nikmat itu biasa, syukur atas ujian itu sungguh luar biasa.

Subhanallah. Maha Suci Allah yang memberikan ujian kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Ujian untuk menjadikan seorang hamba makin kasih dan cinta pada-Nya, sentiasa mencari jalan untuk mendekat kepada-Nya. Sehingga keindahan nikmat itu memudar lantaran terangnya nikmat hati yang reda dan cinta kepada-Nya.

(٢٨) ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةًۭ مَّرْضِيَّةًۭ

“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!”

فَٱدْخُلِى فِى عِبَـٰدِى (٢٩)

“Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia”

(٣٠) وَٱدْخُلِى جَنَّتِى

“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!”

Surah Al-Fajr. ayat 28-30

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *