Tentang Syukur
Bismillah.
وَلَقَدْ اٰتَيْنَا لُقْمٰنَ الْحِكْمَةَ اَنِ اشْكُرْ لِلّٰهِ ۗوَمَنْ يَّشْكُرْ فَاِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهٖۚ وَمَنْ كَفَرَ فَاِنَّ اللّٰهَ غَنِيٌّ حَمِيْدٌ
“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, yaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” – Surah Luqman, ayat 12.
Rasa syukur adalah satu anugerah yang sangat berharga – tidak dapat diganti dengan nilai emas mahupun wang ringgit. Kerana rasa syukur itulah yang banyak memberikan ketenangan hati dan jiwa, melapangkan fikiran malah membuatkan kita rasa puas dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan.
Rasa syukur itu lebih besar kesannya pada jiwa apabila hati bukan sahaja bersyukur pada nikmat-nikmat yang besar dan tampak jelas keberadaannya, tetapi bersyukur pada nikmat-nikmat yang nampak kecil dan hampir tidak kelihatan atau hampir tidak kita sedari kewujudan nikmat itu.
Alhamdulillah.
Kalimah yang ringkas, namun apabila diucapkan daripada hati yang puas dengan segala pemberian dan ketentuan Allah SWT, ia melahirkan ketenangan yang sukar digambarkan. Seperti lembah yang kering kontang ditimpa hujan gerimis yang mendinginkan dan dihembus angin lembut yang mendamaikan. Seperti berada dalam pelukan kasih Tuhan.
Rasa syukur tadi bukan sahaja membasahi hati, tetapi terzahir juga pada lidah yang sentiasa mengucapkan kata-kata pujian kepada Allah SWT dan juga terzahir pada ketaatan.
Saya mula belajar erti syukur yang sebenar ketika sedang berdebar menanti kelahiran Aisyah lebih 4 tahun yang lalu. Ketika itu saya mengulang-ulang doa “Ya Allah, jika engkau takdirkan ini rezekiku, maka jadikanlah aku hamba yang bersyukur”. Kerana saya begitu takut diuji dengan kenikmatan – takut leka dengan kenikmatan hingga bertambah jauh daripada Allah SWT.
Dan kerana doa itu, rasa syukur pasti memenuhi hati setiap kali saya menatap wajah Aisyah dan memperhati keletahnya. Masya-Allah, Alhamdulillah. Aisyah adalah tanda kasih sayang Tuhan buat kami.
Kemudian Allah SWT mendidik dan mentarbiyah lagi kami untuk benar-benar menjadi hamba yang bersyukur dengan pelbagai lagi ujian yang silih berganti. Sehingga dengan izin Allah SWT, topik syukur adalah topik yang sering kami bualkan bahkan kami saling mengingatkan agar sentiasa bersyukur kepada Allah SWT.
Perlu saling mengingatkan kerana fitrah manusia sangat mudah lupa.
Nikmat hidup yang Allah kurniakan.
Nikmat mengangkat takbiratulihram dalam solat-solat yang didirikan.
Nikmat membaca Al-Quran.
Nikmat memuji-Nya apabila diberikan nikmat.
Nikmat menyebut ‘subhanallah’ ketika hati diuji dengan rasa sedih lantaran sedikit kekurangan.
Nikmat khusyuk dalam solat, walaupun tidak keseluruhan solat itu khusyuk.
Dan banyak lagi nikmat yang kita seringkali lupa untuk syukuri.
وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Surah An-Nahl, ayat 18.
Hitunglah nikmat pemberian Allah SWT, apa yang terzahir dan apa yang tidak terlihat. Sehingga hati merasa cukup dan puas dengan segala pemberian-Nya. Bukankah Allah SWT telah menjanjikan ditambah kenikmatan buat hamba-Nya yang bersyukur? Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7:
وَاِذْ تَاَذَّنَ رَبُّكُمْ لَىِٕنْ شَكَرْتُمْ لَاَزِيْدَنَّكُمْ وَلَىِٕنْ كَفَرْتُمْ اِنَّ عَذَابِيْ لَشَدِيْدٌ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”
Penulisan malam ini saya akhiri dengan satu doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW kepada Muaz bin Jabal untuk dibaca di penghujung solat yang didirikan:
اَللّهمَّ اَعِنِّيْ عَلىَ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingatiMu dan mensyukuri segala nikmatMu serta beribadah kepadaMu dengan baik.”
Riwayat Abu Daud (1522)
Terdapat dua pandangan tentang waktu membaca doa ini. Pandangan pertama adalah untuk membacanya selepas salam. Pandangan kedua adalah membacanya selepas tasyahud dan sebelum salam. Dan yang lebih baik adalah membacanya sebelum salam. Insya-Allah kita sama-sama usaha untuk amalkan doa ini, mudah-mudahan kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur sehingga akhir hayat.
Sungguh, Allah lebih mengetahui.