Jurnal Hadis

Terlajak Perahu

Bismillah.

Bila diamati dan diperhatikan dalam kehidupan ini, banyak perkara ‘buruk’ berlaku – yang mencalarkan emosi kita, yang kerap kali membuatkan kita murung sendiri, adalah berpunca daripada lidah; sama ada lidah orang lain mahupun lidah kita sendiri.

Dan sudah tentu apa yang terkeluar di lisan kita ini menzahirkan apa yang terkandung dalam hati dan fikiran. Seram kan? Bila fikirkan begini, terasa amat malu apabila tersalah cakap – seolah-olah telah terbuka di pandangan orang lain betapa buruknya keadaan hati kita.

Sebab itulah saya merasa cukup takut untuk bertemu dengan rakan-rakan. Risau lidah tergelincir menyebut perkara-perkara yang tidak bermanfaat bahkan mungkin melukakan hati orang lain atau mencetuskan kesedihan di hati mereka.

Paling risau jika ada perkataan yang keluar dari mulut ini mengandungi unsur-unsur penyakit hati – jika ini berlaku, besar sangat kesannya pada diri. Rasa bersalah, rasa berdosa dan seribu satu rasa lagi yang seolah-olah merenggut ketenangan hati. Rasa malu pada sahabat malah lebih lagi rasa malu pada Allah, kerana tidak ada suatu apa pun di dunia ini yang kita miliki melainkan Dia-lah yang memberi pinjam.

Sebab itulah kenapa agaknya ada satu pesan Nabi yang sangat ringkas tapi besar makna dan impaknya, yang berbunyi:

Daripada Sayidina Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Pesan Nabi ini seharusnya dijadikan prinsip yang dipegang teguh dan kukuh, jangan sampai terlepas dari genggaman hati. Jika ia telah menjadi prinsip yang telah sebati dalam diri, pasti kita akan terselamat daripada banyaknya kerosakan angkara lidah. Pasti juga hati lebih jernih dan tenang kerana ketika itu yang memandu lidah adalah keimanan kepada akhirat sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi SAW.

Namun hakikat yang kita harus terima adalah, kita manusia yang lemah, tiada daya dan upaya untuk melakukan amal kebaikan tanpa taufiq dan hidayah daripada Allah. Maka pasti ada ketikanya kita ‘terlepas cakap’. Bagaimana agaknya kita nak berhadapan dengan situasi ini. Masih bolehkah diperbetulkan?

Pepatah melayu menyebut, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Ada benarnya. Kerosakan yang berlaku disebabkan lidah pasti tidak boleh diundur kembali. Tetapi dalam Islam ada satu jalan untuk kita betulkan kesilapan yang telah berlaku. Jalan yang sangat indah yang Allah anugerahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman – iaitu jalan taubat.

Bertaubat dengan bersungguh-sungguh, dengan penuh rasa penyesalan dan kerendahan hati di hadapan Allah. Letakkan keyakinan dalam hati bahawa Allah dengan sifat-Nya yang Maha Penyayang dan Maha Pengampun – yang tidak mampu kita gambarkan betapa luasnya rahmat dan kasih-Nya, pasti akan mengurniakan keampunan buat hamba yang ikhlas mengharapkan keampunan-Nya.

Oleh itu, tidak dapat tidak, bermujahadahlah kita untuk menjaga lidah daripada menuturkan perkara yang tidak memberi manfaat dunia mahupun akhirat. Guna akal kurniaan Tuhan untuk berfikir sebelum berkata dan tapis pula dengan keimanan dalam hati. Mudah-mudahan lidah kita ini terpelihara daripada godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa berusaha mengalahkan kita.

Satu tips yang boleh kita sama-sama amalkan adalah setiap kali keluar daripada rumah, seteleh melafazkan doa ini:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه

Bisikkan doa dalam hati agar Allah membimbing lidah kita ini untuk menuturkan perkara yang baik-baik sahaja dan berazam untuk kekal diam jika tidak ada perkara bermanfaat yang ingin dituturkan.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *