Jurnal Kehidupan

Seorang Fitrah

Bismillah.

9 Januari yang lalu adalah hari pertama bermulanya kelas Asas Pengajian Islam di Masjid Negeri. Usai solat asar saya bergegas ke meja pendaftaran untuk menyemak nama dan tempat kelas diadakan. Ketika sedang mencari nama sendiri dalam helaian kertas yang mengandungi senarai nama pelajar, mata saya tertangkap satu nama yang tidak asing – Fitrah.

Saya berhenti sejenak untuk melihat nama penuhnya. Sah! Fitrah Anugerah Ulfah.

Masih segar di ingatan kata-kata saya kepada Fitrah satu waktu dahulu;

“Panjang betul jodoh kita, Fitrah”

Maha Suci Allah. Saya melihat tanda-tanda kebesaran Allah pada pertemuan kali ini. Kami pernah merancang untuk bertemu selepas raya pada tahun lepas, namun akhirnya masing-masing tenggelam dalam pelbagai komitmen dan tugasan hakiki. Dan hari itu tanpa perancangan, Allah sendiri yang mempertemukan dua orang sahabat setelah sekian lama tidak bersua muka.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

“Segala puji bagi Allah, dengan kenikmatan dari-Nya menjadi sempurna semua amal kebaikan.

Saya bersyukur atas pertemuan ini, meskipun belum tahu apakah hikmah yang Allah tentukan. Saya sentiasa yakin, setiap orang yang Allah pertemukan dalam hidup saya, pasti ada hikmah yang Allah akan berikan.

Jom, kita imbau kembali kenangan perkenalan pertama saya dengan Fitrah.

Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) – 2009

Di Kolej Matrikulasi Melaka, saya dan Fitrah adalah antara mereka yang terpilih menjadi ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar melalui proses pengundian. Di situlah perkenalan kami bermula. Qadar Allah kami tinggal di blok yang sama. Ada satu ketika, saya menumpang sebentar bilik Fitrah di tingkat 4 dan kami bersiap-siap untuk menunaikan solat bersama.

Dalam diam, saya kagum melihat cara Fitrah bersiap untuk menunaikan solat – penuh dengan adab dan beliau memastikan aurat ditutup dengan sempurna sebelum solat. Tutur katanya yang lembut dan tersusun serta riak wajahnya yang anggun dan sentiasa tenang mempamerkan karismanya tersendiri. Masya-Allah. Sejak daripada itulah, saya merasa agak segan dan sangat menghormati Fitrah.

Lajnah Penerangan & Media Baru (LPMB) – sekitar 2018

Qadar Allah, kami bertemu lagi dalam satu wadah baru yang lebih mencabar. Kami sama-sama ditaklifkan sebagai Pengerusi LPMB Dewan Muslimat di kawasan masing-masing – Fitrah di Puchong dan saya di Kota Raja. Maha Suci Allah, saya melihatnya sebuah pertemuan yang disusun indah oleh Allah sendiri. Hikmahnya? Saya sendiri tidak pasti. Namun saya gembira dan bersyukur bertemu lagi dengan Fitrah!

Hamare – 2022

Pada tahun 2022 yang lalu, saya mencabar diri menyertai team penulis Hamare. Kami perlu menyertai bengkel penulisan secara atas talian dan kemudiannya peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang dinamakan sebagai Legasi. Setiap legasi akan menghasilkan penulisan untuk satu buku antologi yang telah ditetapkan temanya. Ketika itu, saya berada dalam kumpulan Legasi 22 dan tema yang ditetapkan adalah ‘air mata’.

Siapa sangka, Fitrah juga menjadi salah seorang peserta bengkel penulisan tersebut dan qadar Allah, Fitrah ditakdirkan berada dalam Legasi 22 juga, Allah Maha Besar. Ketika itulah saya katakan kepada Fitrah; ‘panjang jodoh kita’. Alhamdulillah, maka terhasillah sebuah buku antologi terbitan Hamare yang bertajuk ‘Hujan, Berhentilah’, penulisan saya dan Fitrah ada di dalamnya.

Begitulah, sebuah kisah ajaib persahabatan.

Saya dan Fitrah bukanlah sahabat yang rapat. Entah kenapa Allah sentiasa mempertemukan kami. Biarlah hikmahnya menjadi rahsia. Yang pasti, saya belajar banyak daripada seorang Fitrah melalui pengalaman hidupnya, perwatakan dan tutur katanya. Aisyah pun dah jadi kawan baik dengan Fitrah, walhal baru dua kali bertemu.

Alhamdulillah.

Terima kasih Allah atas nikmat persahabatan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *