Pantun Maulidur Rasul 1445H
Bismillah.
Tema pantun: Akhlak Rasulullah SAW
Indah cakerawala panduan nakhoda
Purnama bersinar malam nan cerah
Indah bercahaya akhlak Baginda
Uswah hasanah seluruh ummah
Luasnya langit meneduh alam
Dihias indah gumpalan awan
Limpahan rahmat seluruh alam
Luhur peribadi persis Al-Quran
Nukilan: Ummu Aisyah
Subhanallah, Allah izinkan dua rangkap pantun yang tak seberapa ini mendapat tempat Johan dalam pertandingan menulis pantun sempena Maulidur Rasul, alhamdulillah. Yang kelakarnya, saya jangkakan dapat tempat ke 10, 9 atau 8 jadilah. Saja melepaskan rasa teringin untuk sertai pertandingan. Tak sangka pula dapat tempat pertama..hehe.
Sebelum mula menulis, saya buat sedikit pembacaan bagaimana tatacara yang betul untuk menghasilkan serangkap pantun.
Pertama sekali, tetapkan dahulu apakah tema pantun. Saya memilih tema ‘Akhlak Rasulullah SAW’ kerana teringat sepotong hadis Baginda SAW yang menyebut bahawa Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.
Kemudian, susunkan beberapa kalimah yang sesuai untuk membentuk maksud pantun. Maksud pantun adalah mesej utama yang ingin kita sampaikan dalam pantun tersebut.
Apabila selesai menyusun maksud pantun, barulah disusun pula pembayang. Pembayang adalah untaian kata yang kita susun memberi gambaran kepada maksud pantun tadi. Mood pembayang mestilah selari dengan mood maksud pantun. Sekiranya pembayang menceritakan hal yang indah dan cantik, maka maksud juga mestilah mewujudkan perasaan yang sama.
Sebagai contoh pada baris pertama pembayang, saya menulis:
“Indah cakerawala panduan nakhoda”
Manakala maksud pada baris ketiga:
“Indah bercahaya akhlak Baginda”
Apa yang ingin disampaikan adalah – indahnya akhlak Rasulullah SAW digambarkan dengan indahnya cakerawala di malam hari yang menjadi petunjuk kepada nakhoda kapal untuk meneruskan pelayaran.
Pemilihan perkataan juga menentukan tahap puitis sesebuah pantun. Saya merujuk beberapa contoh pantun dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu untuk belajar beberapa perkataan Melayu lama yang biasa digunakan dalam sajak atau pantun.
Begitulah, sedikit perkongsian ringkas kaedah menghasilkan sesebuah pantun. Semoga bermanfaat.