Berdamai Dengan Takdir
Bismillah.
Seminggu dua ini, serasa ada cara fikir baharu (new mindset) yang mula menakluk minda. Entah dari mana ia menyusup masuk. Boleh jadi ia berpunca daripada fikiran yang lebih lapang – apabila saya memutuskan untuk ‘end relationship‘ dengan media sosial. Lalu ruang minda yang sunyi daripada kebisingan manusia di alam maya itu, menjemput buah fikir yang lebih positif dan murni.
Alhamdulillah ‘ala kulli hal.
Berdamai dengan takdir.
Dahulu, kekecewaan seringkali menggigit hati.
Ngilunya membuatkan segala yang ditelan menjadi pahit. Kekesalan menjalar ke segenap urat hingga terasa lumpuh fizikal, emosi dan spiritual. Seakan ingin dilontarkan jeritan dari dalam, biar bingit telinga hingga tenggelam segala kebisingan otak yang cuba menghukum.
Lelah melawan takdir.
Hakikatnya, segala kesakitan yang dicipta itu tidak sedikitpun mengubah qadar Allah. Walau sekuat mana jeritan batin, walau sederas mana air mata yang tumpah, tetaplah qadar Allah di situ – tidak berganjak.
Lalu, apa pilihan yang ada?
1. Penerimaan (acceptance)
Ketika berlaku sesuatu yang mengecewakan sama ada ia berpunca daripada diri sendiri atau faktor luaran, langkah pertama yang kita perlu lakukan adalah ‘menerima’.
Menerima dalam erti kata berlapang dada dengan apa yang telah berlaku dan tidak sesekali menghukum diri. Jika kekecewaan itu berpunca daripada kesilapan sendiri, terima hakikat bahawa kita hanya manusia lemah yang tidak mampu mencapai kesempurnaan dalam setiap tindakan. Kesalahan pasti terjadi pada makhluk bernama manusia sebagaimana bumi yang tidak dapat mengelak ditimpa hujan.
Kerana kita dan bumi sama – bergelar hamba.
Jika hal yang terjadi itu pada sangkaan kita berlaku disebabkan faktor luaran, maka kita menerima situasi itu sebagai salah satu ujian kehidupan – yang dikirim Allah pada hamba-Nya yang beriman.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut, ayat 2.
Sekarang cuba kita renungkan, telah berapa banyak ujian hidup yang telah kita lepasi dengan rahmat Allah?
Padahal ada ketika diuji itu, hampir saja kita lemas dan tenggelam di lautan kecewa dan kesedihan.
Dan kita bangkit kembali setelah pulih – lalu melangkah gagah dengan sisa kudrat yang ada untuk menempuh episod kehidupan seterusnya.
Begitulah Allah SWT menggilirkan kesusahan dan kesenangan agar seorang hamba tidak sesekali melepaskan tali pergantungan kepada-Nya. Sedang setiap kesusahan yang ditimpakan itu, bersamanya terselit kemudahan dan pertolongan yang hampir saja tidak kita sedari.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah, ayat 6:
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
2. Berserah – tawakal kepada Allah
Sudah menjadi kebiasaan apabila ditimpa sesuatu kesusahan, fikiran berkecamuk lalu kita jadi bingung dan gundah. Otak ligat memikirkan kepada sahabat mana harus kita luahkan. Kepada ahli keluarga yang mana harus kita tagih bantuan. Sesekali ribut emosi menghilangkan rasional dalam bertindak – maka bertambah lagi kekesalan.
Segala kekusutan ini berlaku apabila kita meletakkan kemampuan untuk keluar dari kesusahan tersebut pada diri sendiri, pada ilmu, pada harta dan pada kemahiran yang ada. Ya, kita cenderung untuk bersandar pada diri sendiri yang lemah dan tidak ada daya dan upaya.
Maka sudah tentulah hasilnya hanya kekecewaan semata.
Hampir kita terlupa, kita ada Tuhan yang daripada-Nya lah ujian itu datang.
Bukankah Dia berjanji ujian diberikan atas kemampuan hamba-Nya?
Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu?
Dan bukankah Dia Tuhan Yang Maha Luas rahmat dan pemberian-Nya?
Lalu mengapa kita bebankan akal dan emosi bersandar pada diri sendiri? Padahal kita ada Allah sebaik-baik tempat untuk disandarkan segala harapan dan pertolongan.
Maka, adab yang diajarkan Baginda Nabi Muhammad SAW apabila ditimpa sesuatu kesusahan adalah menyebut:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
“Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan” (HR. Ibnu Majah)
Puji Allah dahulu, tunaikan solat dan angkatlah tangan mengadu dan berdoa kepada-Nya. Yakinlah, Allah pasti berikan jalan keluar dan kemudahan bagi orang-orang yang bertawakal tulus kepada-Nya.
3. Merancang dan mencari solusi
Tidak cukup sekadar berserah, seorang hamba yang dikurniakan akal yang sihat dan tubuh badan yang tegap, haruslah melaksanakan sunnatullah – berikhtiar dengan segenap daya untuk mencari solusi dan jalan keluar daripada ujian yang Allah berikan.
Insya-Allah, badai dunia tidak akan sesekali menggoncang iman seorang hamba yang hatinya sentiasa berpaut kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah“. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”