Healing
Bismillah.
Tangan terasa sedikit kaku pagi ini. Hasrat ingin menulis membuak-buak meskipun idea belum lagi menyinggah. Syukur pagi ini, McDonald Rimbayu yang sekian lama menjadi tempat ‘lepak’ kami untuk menunaikan pelbagai amanah dan kerja – tidak memutarkan lagu-lagu yang menyakitkan telinga dan menyempitkan dada.
Hanya sesekali bunyi kenderaan mengisi ruang udara. Pelanggan McD yang ada di sekitar kami pun kelihatannya sedang menumpukan perhatian pada makanan dan laptop – tiada suara sembang yang memecahkan keheningan suasana. Saya merasa lebih tenang dan keadaan ini membantu saya untuk berfikir dan menulis. Alhamdulillah.
Healing
Kebelakangan ini perkataan ‘healing’ yang bermaksud menyembuh, mendapat tempat dalam kalangan orang muda – dewasa. Barangkali disebabkan kehidupan hari ini terasa bertambah sukar dengan pelbagai ujian yang menggugat ketenangan hati.
Para penulis buku juga dilihat mengambil kesempatan ini untuk menulis pelbagai buku yang bertemakan ‘healing’. Sehingga ada data yang menunjukkan bahawa buku yang bertema ‘healing’ lebih laris di pasaran berbanding genre lain.
Ujian
Saya pasti, setiap daripada kita ada ujian dan kesusahan yang hadir sekadar menurut qadar Allah.
Bila disebutkan sebagai ‘ujian’, sudah tentulah ia hadir membawa bersama yang dinamakan ‘kesedihan, keresahan, kegalauan’ dan pelbagai lagi rasa yang menghibakan.
Ketika itulah kita akan mencari sesuatu yang boleh menyembuhkan jiwa.
Ada yang mendengar musik sebagai jalan melupakan keresahan, ada yang keluar berjalan melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Ada juga yang mula menjejakkan kaki ke rumah-rumah Allah dan menyertai majlis-majlis ilmu. Yang pasti, matlamatnya hanya satu – untuk menyembuhkan jiwa.
Ya, jiwa perlu disembuhkan untuk kita kembali hidup.
Kitaran Hidup
Hidup dalam erti kata sebenar – memahami dengan jelas apakah tujuan kehidupan ini, ke mana destinasi yang ingin kita tuju dan bagaimanakah pengakhiran hidup yang kita inginkan.
Bukan dinamakan hidup jika sekadar melaksanakan ruti harian hanya untuk melepaskan waktu, tanpa apa-apa tujuan dan peningkatan. Persis robot yang tidak ada roh untuk menggerakkan keinginan dan tujuan.
Hakikat yang perlu kita terima apabila menjadi makhluk yang bernama manusia adalah kitaran hidup dan iman yang berputar seperti roda – ada ketikanya di atas, dan pada ketika yang lain pula ia berada di bawah.
Maka tidaklah kita terlalu mengesali hidup ketika kita jatuh pada dasar yang paling rendah. Kerana kita yakin dan pasti, dengan pertolongan Tuhan kita akan kembali ke atas. Cepat atau lambat hanyalah satu proses yang perlu kita jalani dengan usaha yang tidak berputus asa dan paling penting – sabar dan kuatkan kesabaran.
Begitulah.
Sekadar mengisi keinginan hati untuk menulis. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Saya akhiri dengan catatan Prof. Hamka dalam novel bertajuk Merantau Ke Deli:
“Karena sudah demikian mestinya hidup itu, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirahat buat sementara guna mengumpulkan kekuatan untuk menempuh perjuangan yang baru dan mengatasinya. Sebab itulah maka tak usah kita menangis diwaktu mendaki, sebab di puncak perhentian pendakian itu telah menunggu daerah yang menurun. Hanya satu yang akan kita jaga di sana, yaitu kuatkan kaki, supaya jangan tergelincir. Dan tak usah kita tertawa di waktu menurun, karena kelak kita akan menempuh pendakian pula, yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut dari pada pendakian yang dahulu. Dan barulah kelak di akhir sekali, akan berhenti pendakian dan penurunan itu, di satu sawang luas terbentang, bernama maut.
Selamat menyembuh!