Jurnal Kehidupan

Malam Di Rumah Tok Yah

Bismillah.

Jam sudah menunjukkan pukul 1.21 pagi. Ummi, Che Yah dan Aisyah telah lama lelap. Saya masih segar, mata tidak ada tanda lagi hendak lelap, terbuntang luas lagi menghadap skrin laptop.

Suasana malam di luar sangat hening. Hanya bunyi cengkerik yang bersahutan dan bunyi kipas yang ligat berpusing memberikan hawa sejuk kepada penghuni rumah.

Entah mengapa badan terasa masih segar meskipun tengahari tadi tidak berpeluang melelapkan mata sekejap setelah seharian melakukan beberapa tugasan di rumah Ummi.

Barangkali disebabkan bahang panas debat Rafizi dan Syahir sebentar tadi yang masih bersisa di dalam dada. Otak pula sarat dengan pelbagai fikiran yang berkocak laju seperti partikel air yang sedang mendidih. Emosi pula seperti agak bercelaru, fluctuated. 

Alhamdulillah ‘ala kulli hal, selesai menyiapkan 2 tulisan setelah sekian lama rasanya tidak menyapa blog Nota Aisyah ni.

Sebenarnya banyak lagi hal yang ingin ditulis. Sebahagiannya masih tersimpan kemas dalam kotak ingatan di sebalik timbunan sampah sarap dalam otak ini. Selagi tidak dimuntahkan melalui papan kekunci, selagi itulah ia akan menyesakkan fikiran.

Sebahagiannya pula hilang entah ke mana. Ada yang datang kembali memunculkan diri tiba-tiba, ada juga yang hilang tanpa dapat lagi dijejaki.

Begitulah hidup seorang Tasnim.

Doakan Allah memberikan Tasnim ilham, masa dan kekuatan untuk menulis hal-hal yang bermanfaat. Mudah-mudahan, ada sedikit kebaikan dalam setiap penulisan saya ini, bukan sahaja buat sahabat pembaca, tetapi lebih lagi buat diri sendiri yang menulis.

Insya-Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *