Tentang Sahabat
Bismillah.
Cuaca agak panas hari ini. Terik. Sesekali peluh menitik disebalik mask hitam yang menutupi sebahagian wajah.
Masing-masing yang sedang menunggu dipanggil untuk mengambil ubat di Klinik Alur Tembesu ini kelihatan bosan. Kebanyakannya macam biasalah, mata asyik menghadap smartphone. Termasuklah diri yang sedang menulis ini.
Antara tabiat saya apabila menunggu, saya suka memerhatikan orang sekeliling. Saya mencuri lihat raut wajah orang sekeliling dan saya cuba berlagak seperti Detective Conan, mentafsir apa yang terselindung di sebalik wajah itu.
Kerana saya yakin setiap manusia pasti ada jalan cerita yang tersendiri. Di sebalik raut wajah setiap insan yang kita temui, pasti ada cerita susah senang, suka dan duka, jatuh dan bangkit dan pelbagai lagi kisah yang menjadi rahsia.
Selang beberapa kerusi di hadapan saya, ada dua orang pakcik yang memakai kopiah putih sedang asyik berbual. Lama saya perhati, sudah agak berusia rasanya, saya kira dalam linkungan 70-an.
Pada awalnya saya mengagak kedua-duanya sedang menunggu nama dipanggil untuk mengambil ubat. Namun ternyata sangkaan saya meleset.
Sebaik sahaja pakcik yang lebih tinggi bangun ketika dipanggil nama, pakcik yang seorang lagi terus bangun juga dan menuju ke sebuah kereta kancil berwarna kelabu cair yang diparkir betul-betul berhadapan kiosk mengambil ubat.
Rupa-rupanya pakcik yang seorang lagi hanya menemani dan menjadi pemandu kepada pakcik yang perlu mengambil ubat. Sebaik sahaja selesai mengambil ubat, terus pakcik tadi menaiki kereta kancil yang sedia menunggu untuk bergerak pulang.
Entahlah kenapa, saya merasakan pemandangan ini sangat indah dan romantik bagi pasangan sahabat yang sudah berusia. Boleh jadi mereka bersaudara, mungkin juga berjiran. Boleh jadi juga, hubungan mereka hanyalah sahabat lama yang sama-sama sedang meniti usia dan memanfaatkan baki umur yang ada untuk saling berbakti.
Yang pasti, kemesraan dan senyuman yang terpancar di wajah masing-masing menzahirkan sebuah hubungan persahabatan yang ikhlas di penghujung usia.
Bagi saya, dalam dunia hari ini, persahabatan adalah sesuatu yang sangat mencabar. Kerana sukar sekali untuk menjadi ikhlas dalam bersahabat. Hatta dengan ahli keluarga sendiri pun, belum tentu kita mampu untuk menjadi sahabat. Jika tiada hubungan darah daging, boleh jadi sudah lama hubungan itu terungkai dengan pelbagai mehnah dan ujian.
Jujurnya, dulu saya tidak pernah mempunyai sahabat baik yang digelar best friend forever – yang saya percaya, yang saya anggap seperti ahli keluarga sendiri.
Tidak dinafikan, Allah mengurniakan saya ramai kawan-kawan yang sangat baik semenjak di sekolah rendah lagi. Namun kini, hubungan tidak lagi rapat atau baik seperti dahulu. Masa dan jarak telah menjadikan hubungan persahabatan itu semakin pudar. Sesekali menyala apabila salah seorang mula bertegur sapa di media sosial, namun akhirnya akan malap kembali.
Begitulah. Semakin dewasa, ujian dan komitmen bertambah, maka ada sesuatu yang harus kita lepaskan.
Banyak nak tulis tentang sahabat, nantilah saya sambung ya bila kerajinan menjengah lagi.