Seni Mengkritik
Bismillah.
“Nak mengkritik kena ada seni, tak boleh straight foward je. Tas kena baca buku ni” – sambil menghulurkan saya buku ‘How To Win Friends & Influence People‘
Suami membalas sebaik saya selesai menceritakan tentang seorang sahabat dan bagaimana saya mengkritik beliau. Saya dapat rasakan yang kritikan itu agak tajam, namun ketika itu, saya merasakan ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.
Rupanya, tak semua yang kita rasa betul, benar-benar betul. Allahuakbar 🙁
Apabila saya membaca buku ini, bab yang pertama sahaja sudah menyebut tentang ‘Criticism’.
Saya salin kembali petikan dalam buku ini:
“Criticism is futile because it puts a person on the defensive and usually makes him strive to justify himself. Critism is dangerous, because it wounds a person’s precious pride, hurts his sense of importance, and arouses resentment.“
Kritikan biasanya tidak memberikan apa-apa hasil yang baik kerana kita meletakkan orang yang dikritik itu dalam sikap dan keadaan untuk mempertahankan diri sendiri. Sebagaimana kita merasakan tindakan kita mengkritik itu betul, sudah tentu mereka juga merasakan perbuatan yang mereka lakukan itu juga betul.
Jadi, tindakan mengkritik seolah-olah menjatuhkan maruah mereka dan sudah tentu hati mereka tertutup untuk menerima apa sahaja justifikasi kritikan kita tadi.
Sebagai contoh, seorang suami mengkritik seorang isteri:
“Awak ni kalau keluar rumah boleh pakai elok sikit tak. Selekeh je saya tengok”
Jika kita berada di tempat isteri, apa perasaan kita? Rasa koyak sikit kan? Cuba kita ubah ayat mengkritik tersebut dengan nada yang lebih lembut:
“Awak, boleh tak kalau saya nak awak pakai baju jubah hitam dan tudung biru yang awak selalu pakai tu, cantik sangat, nampak kemas dan elegan”
Itulah yang dikatakan sebagai seni mengkritik.
Kita lihat pula contoh yang diberikan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam mendidik anak beliau, Saiful Islam.
Suatu hari Imam Hasan Al-Banna melihat Saiful Islam sedang tekun membaca komik. Jika beliau memilih untuk mengkritik, beliau boleh sahaja mengatakan:
“Saiful, komik adalah bacaan yang tak bemanfaat. Buang masa sahaja membaca dan tidak ada kebaikan padanya.”
Tapi beliau memilih cara yang lebih halus dan lebih berseni.
Beliau menghadiahkan Saiful Islam buku-buku yang menceritakan tokoh perjuangan Islam. Akhirnya, Saiful Islam dengan sendirinya meninggalkan bacaan komik dan mula membaca buku pemberian ayahnya.
Saya salin lagi catatan penulis dalam buku ini:
“When dealing with people, let us remember we are not dealing with creatures of logic. We are dealing with creatures of emotion, creatures bristling with prejudices and motivated by pride and vanity”
Manusia fitrahnya beremosi, penuh prasangka dan pasti setiap daripada kita ada harga diri, ada self-respect yang kita pertahankan. Tindakan mengkritik hanya mencetuskan rasa tidak senang hati kepada yang dikritik. Pasti akan timbul rasa tidak puas hati dan dendam. Sudah tentu dalam situasi begini sukar sangat untuk orang membuka hati terhadap apa yang dikritik.
Akhirnya, mesej tidak sampai dan lebih teruk lagi hubungan sesama manusia jadi regang. Tak best kan?
Perbuatan mengkritik ini memang akan sentiasa ada dalam diri kita. Tetapi bagaimana kaedah kita menterjemahkan kritikan tersebut dengan cara yang lebih baik. Antaranya adalah dengan cara cuba memahami perbuatan orang yang kita nak kritik. Insya-Allah kita akan temukan cara yang lebih baik untuk sampaikan mesej kritikan tadi.
Kata penulis:
“Instead of condemning people, let’s try to understand them. Let’s try to figure out why they do what they do. That’s a lot more profitable and intriguing than criticism; and it breeds sympathy, tolerance and kindness“
Maha Suci Allah. Benar sungguh kata penulis. Sebelum mengkritik seseorang, kita ambil sedikit masa untuk memahami situasi mereka dengan sangkaan yang baik, kenapa mereka lakukan begini dan begini. Percayalah, insya-Allah kita boleh menyatakan kritikan dengan cara yang lebih baik. Hasilnya, orang lebih terbuka untuk menerima mesej yang ingin kita sampaikan.
“But it takes character and self-control to be understanding and forgiving”
Akhir sekali, kita perlu melatih dan mengawal diri untuk tidak memberi kritikan yang tajam. Latih diri untuk sentiasa berusaha memahami orang lain. Cuba letak diri di kasut orang lain, ia membantu kita melihat sudut pandang orang tersebut.
Begitulah. Kritikan adalah perlu – mungkin ia salah satu cara untuk kita menegur kesalahan seseorang. Namun begitu, pasti ada cara yang lebih baik dan lebih empati untuk kita menegur seseorang daripada mengkritik semata-mata.
Terima kasih Ya Allah atas pelajaran kehidupan hari ini.
To my friend who I criticized last year (you know who you are), please forgive me. But thanks a lot, from the incident, I learned a lot. May Allah SWT bless you dunia wa akhirah.