Anti-library
Saya dan buku mempunyai hubungan yang sangat panjang. Boleh dikatakan saya dan along terutamanya, membesar dengan buku. Manakan tidak, zaman kami bersekolah rendah lagi Ummi memainkan peranan mendidik kami dengan minat membaca.
Sekolah Rendah
Saya ingat-ingat lupa, mungkin seminggu sekali Ummi akan bawa pulang sejumlah buku daripada perpustakaan sekolah Ummi untuk kami baca. Masih terasa keterujaan melihat pelbagai jenis buku cerita dengan pelbagai warna dan ilustrasi yang menarik. Ummi juga selalu menghadiahkan buku-buku cerita apabila kami cemerlang dalam pelajaran.
Subhanallah! Sungguh saya rindu keseronokan membaca buku-buku cerita berkisar misteri dan penyiasatan; Siri Salma, Siri Hadi, Siri 3 Penyiasat dan Siri 5 Penyiasat. Patutlah masa nak isi UPU dulu, saya meletakkan kursus Sains Forensik sebagai pilihan pertama. Eh! Ada kena mengena ke? Haha.
Aboh pula sering membawa kami ke Perpustakaan Awam Dungun. Siap ada kad pinjaman lagi untuk meminjam buku. Baru saya faham kenapa saya sangat suka berhabis masa di perpustakaan – masih terasa keseronokan berkunjung ke perpustakaan pada zaman kanak-kanak dahulu.
Sekolah Menengah
Bila masuk sekolah menengah, saya dan along gemar sangat membaca buku-buku Ramlee Awang Mursyid. Masih dalam genre misteri dan fantasi. Kami mempunyai banyak koleksi buku-buku tersebut – sentiasa mengikut rapat keluaran buku terbaru Ramlee Awang Mursyid. Tapi semua koleksi itu rasanya Ummi dah sedekahkan kepada Perpustakaan Awam Dungun tempoh hari.
Zaman Kampus
Tidak berhenti di situ, tahun pertama saya di universiti – entah macam mana boleh terlibat dengan bisnes buku Stormreaders – saya mula dekat dengan buku-buku bergenre motivasi dan agama. Ketika itu, hampir setiap siri Majalah Solusi wajib saya habiskan dari kulit ke kulit. Hilang sudah keterujaan membaca buku-buku misteri Ramlee Awang Mursyid. Mungkin sudah matang dan dewasa (ye ke?), jadi hati lebih ingin kembali kepada fitrah beragama.
Kemudian qadar Allah, saya menjadi isteri kepada seorang lelaki yang juga obses dengan buku (baca: membeli buku). Jumlah buku yang masuk menjadi penghuni rumah kami ini, bergerak lebih laju daripada jumlah buku yang selesai di baca. Keadaan ini sedikit meresahkan. Dilema ketika hendak membeli sesuatu buku yang saya perlukan kerana memikirkan betapa banyak buku yang belum habis di baca. Banyak!
Sehinggalah suami mengenalkan saya dengan satu terma yang agak asing dalam kalangan kita – anti-library.
Anti-library
Konsep anti-library ini (mengikut apa yang saya faham) adalah kita memberikan perspektif yang berbeza terhadap buku-buku yang belum dibaca.
Jika sebelum ini kita rasa atau fikir;
- Bersalah dengan diri sendiri sebab beli banyak buku tapi dah berbulan, bertahun belum disentuh.
- Nak beli buku baru yang kita rasakan perlu pada ketika itu, tapi rasa tak patut sebab banyak lagi buku di rumah yang belum dibaca.
- Bila mula baca buku, kena baca sampai habis walaupun ada yang kurang faham – dan mungkin juga membosankan (bacaan yang tidak perlu atau tidak kena dengan diri kita pada ketika itu).
Apa yang kita faham secara tradisinya, begitulah – baca buku mesti habis satu buku baru berpindah ke buku yang lain.
Namun, anti-library membawa kita mengubah cara kita memandang buku-buku yang belum dibaca. Bagaimana?
Buku sebagai rujukan
Kebiasaannya kita akan membeli buku dengan topik dan isi kandungan yang kita perlukan. Sebagai contoh, suami membeli buku-buku tadabbur yang ditulis oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman atas kesedaran bahawa penting untuk kami menambah kefahaman tentang isi kandungan Al-Quran.
Antara buku tersebut adalah Kompas 114 dan Kompas Al-Mulk. Buku-buku ini kurang sesuai jika ingin dibaca kulit ke kulit dalam satu masa tempoh tertentu. Namun sangat sesuai menjadi bahan rujukan setelah kita membaca Al-Quran untuk lebih memahami gambaran keseluruhan sesuatu surah atau sesuatu ayat dan apa isi utama yang disampaikan dalam surah tersebut.
Namun ia bukanlah sebuah rujukan yang lengkap. Begitulah keadaan orang yang membaca. Hakikatnya, semakin banyak kita membaca, semakin banyak perkara yang kita tidak tahu – dan kita akan terus membaca lagi dan lagi sehingga kita mendapat apa jawapan yang kita perlu.
Ringkasnya, tidak semua buku kita perlu baca ‘membuta-tuli’ hanya kerana ingin mencapai matlamat – aku telah berjaya membaca sejumlah sekian-sekian buku pada bulan ini. Output-nya tidak ada. Membaca buku satu perbuatan yang bermanfaat dah. Tapi sayang kalau daripada pembacaan itu sedikit pun tidak mengubah kehidupan – sekurang-kurangnya mengubah cara kita berfikir dan melihat.
Belum sampai masanya
“Sabar ya awak, satu hari nanti saya akan belek awak tau.”
Begitulah agaknya kita bermonolog dengan buku-buku yang belum dibaca. Ada keterujaan untuk membaca buku tersebut, namun sentiasa ada halangan dengan pelbagai komitmen dan tugasan.
Percayalah, jika kita membeli sesuatu buku kerana rasa sangat perlu dan ingin tahu; meskipun kita belum berkesempatan untuk berjanji temu dengannya; satu hari nanti – pada saat yang kita benar-benar perlu – buku itu sendiri akan mendatangi fikiran kita. Lalu kita membelek almari lama yang mungkin telah berdebu itu, dan akhirnya bersatu jua setelah sekian lama terpisah. Gituhh..
Jadi, jangan sedih-sedih ya kalau ada banyak buku yang belum dibaca. Insya-Allah sampai satu masa yang kita benar-benar perlu, kita akan belek dan baca buku tersebut dengan rasa teruja, insya-Allah.
Baca bab yang kita perlukan
Kebiasaannya sebuah buku mengandungi sejumlah bab yang memudahkan pembaca membaca secara bertahap. Setiap tajuk yang diletakkan pada setiap bab memberi kita gambaran keseluruhan apa isi utama yang akan diulas dalam bab tersebut. Ia membantu kita menyediakan minda untuk menangkap isi-isi penting.
Sebab itu, saya jarang membaca tanpa sebatang pen ataupun sticky label yang saya gunakan untuk menanda quote-quote penting dalam sesuatu bab.
Tidak dinafikan, ada buku-buku yang isi kandungannya adalah penting terutamanya apabila ia melibatkan pengetahuan dalam beragama – yang menjadi ilmu fundamental untuk kita ambil tahu. Maka, membaca dengan teliti daripada bab ke bab adalah perlu supaya kita tidak tertinggal info yang penting yang mungkin mengakibatkan kita salah memahami ilmu yang disampaikan penulis.
Namun ada juga sesetengah buku seperti buku-buku panduan (how to) dan buku motivasi yang adakalanya hanya sebahagian bab yang kita perlu dan ingin tahu pada satu ketika. Dan pada ketika yang lain, boleh jadi ada bab lain yang kita perlu sebagai rujukan.
Inilah yang dimaksudkan ‘membaca’ – tidak semestinya dari kulit ke kulit.
Saya sendiri, kadang-kadang membaca 3 buku serentak. Satu buku agama yang akan saya baca dengan teliti dari bab ke bab.
Yang kedua, bacaan yang lebih santai dengan ayat yang puitis dan indah (dan kadang-kadang tak faham apa yang penulis sampaikan – saya tinggalkan sahaja tulisan yang sukar difahami). Buku ini saya baca apabila saya perlukan masa untuk rehatkan minda.
Dan yang ketiga, buku ‘how tu’ – buku panduan yang perlu kepada praktikal. Bermaksud, lepas baca satu bab saya kena buat homework dulu, praktis dan baru masuk ke bab yang baharu.
Begitulah kisah saya dan buku.
Jika baru nak mulakan tabiat membaca, mulakanlah dengan buku yang lebih santai dan tidak terlalu tebal. Supaya kita seronok membaca dan cepat habis, baru ada momentum untuk meneruskan bacaan seterusnya.
Selamat membaca! Dah baca, jangan lupa catat dan kongsi ya 🙂