Air Mata
Aisyah tidur awal harini. Penat sangat agaknya.
Malam ini saya mengizinkan air mata mengalir deras. Sederas air banjir yang melanda pantai timur. Saya lepaskan segala duka dan rasa. Sudah lama rasanya tak menangis begini.
Melihat wajah anak yang tidur keletihan sangat meruntun hati. Saya mengusap rambutnya dengan penuh cinta sambil menyeka air mata. Mungkin cinta saya pada anak ini tidak sama dengan cinta seorang ibu yang mengandung dan melahirkan.
Kerana penantian 5 tahun yang terlihat singkat ini hakikatnya telah banyak calar dan luka yang meninggalkan parut di hati. Telah banyak air mata yang mengalir. Telah berkali-kali saya pergi membawa diri – jauh ke dalam hutan yang gelap. Hampir sahaja tidak saya temui jalan keluar.
“Mungkin banyak dosa asbab Allah tak rezekikan zuriat”
“Tak payahla bagitahu Tasnim takut Tasnim sedih” – mana mungkin saya akan bersedih dengan kegembiraan seorang sahabat!
“Tak payahla ambil anak angkat, takut bila ada anak sendiri nanti, anak angkat tu terpinggir”
Tuhan sahaja yang tahu.
Tapi, kasih sayang Allah tersangat luas pada hamba-Nya yang kerdil. Dikurniakan seorang ummi yang tidak putus mendoakan dan seorang suami yang teguh kesabarannya.
“Segala puji bagi-Mu Ya Allah. Tidak tahu bagaimana hendak ku zahirkan betapa aku sangat mensyukuri anugerah-Mu ini. Tidak cukup rasanya masa yang ada untuk aku nyatakan kesyukuranku kepada-Mu. Betapa anugerah ini terlalu besar dan hebat bagiku. Bagaimana mampu ku balas Ya Allah…
Kelahiran Aisyah 3 tahun yang lalu seolah mimpi belaka.
Seperti baru semalam saya merasa sayu dan terharu mendukung seorang bayi pada usia ke-5 tahun perkahwinan kami. Kenangan-kenangan melihat Aisyah membesar terasa terlalu singkat – seolah-olah saya baru sahaja terjaga daripada mimpi – mendukung seorang bayi, melihatnya membesar dengan segala tawa dan tangis dan tiba-tiba saya terjaga dan melihat seorang kanak-kanak perempuan tidur dengan nyenyak di sisi.
“Tuhan, aku sangka aku bermimpi.”
Ketika menanti kelahiran Aisyah dahulu, berulang kali saya bisikkan dalam doa, dalam sujud bahkan dalam perjalanan ke tempat praktikal dengan menaiki motor;
“Ya Allah, jika benar anak ini rezeki untukku, permudahkanlah Ya Allah dan jadikanlah aku hamba-Mu yang benar-benar bersyukur.”
Sebab saya terlalu takut jika diberikan sesuatu kenikmatan. Takut dan gusar jika nikmat itu melalaikan hati dan menjauhkan saya dari Tuhan. Sungguh takut. Kerana kenikmatan adalah ujian – sama ada kita menjadi hamba yang bersyukur atau sebaliknya.
Telah banyak nikmat yang menimbulkan rasa riak, ujub dan takabbur. Namun selagi hati masih sedar akan wujudnya segala penyakit itu, maka beristighfarlah sebanyak-banyaknya.
“Mama sayang Aisyah”
Begitulah saya membisikkan di telinga Aisyah setiap malam ketika Aisyah mula lelap. Pipi Aisyah saya kucup – dalam – dengan seribu satu rasa yang bercampur baur.
Yang pasti, rasa yang paling tinggi saya rasakan adalah kesyukuran yang tidak berbelah bahagi. Maka, hidup ini adalah sebuah perjuangan untuk membuktikan bahawa syukurku itu – syukur yang benar dan ikhlas kerana-Nya.
Izinkanlah Ya Allah, untuk aku menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan sebenar-benarnya – selamanya – setiap saat dalam hidupku.