Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg 3)
Bismillah.
Cinta Zainuddin telah dimungkiri Hayati. Kerana wanita itu kata Hamka, suka jika suaminya dilihat gagah, kaya dan berdarjat. Sedangkan Zainuddin hanyalah sebatang kara yang tidak memiliki apa-apa.
Remuk hati Zainuddin. Setelah dia menaruh harapan kepada wanita yang dicintai untuk membelanya, lalu wanita itu pula memberi harapan, yang kemudiannya dicantas oleh kerana hadir lelaki yang lebih kaya, lebih berdarjat. Hampir sahaja dia mati. Namun hadir seorang pemuda yang dipanggilnya Bang Muluk menghulurkan tangan, memberi semangat kepada Zainuddin yang hampir mati itu dengan nasihatnya agar bangkit kembali. Jangan kerana hilangnya cinta seorang wanita, melemahkan cita-cita untuk membangun bangsa!.
Padahal, Hayati sendiri pernah mengingatkan Zainuddin ketika dia dihalau dari kampung asalnya. Pesan Hayati:
“Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan. Berangkatlah! Dan biarlah Tuhanmu memberi perlindungan.”
-Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Ya, kerana terlalu cintanya Zainuddin kepada Hayati, dia hampir lemas dalam air mata sendiri. Namun dengan cinta itu juga dia bangkit meneruskan perjuangan. Perjuangan dalam mengubah pemikiran masyarakatnya ketika itu; seperti yang telah saya catat pada bahagian pertama. Lama saya berfikir, bagaimana cinta itu boleh membangunkan jiwa insan yang hampir saja hilang seluruh keyakinannya. Hebatnya kekuatan cinta itu berupaya membangkitkan azam dan menggerakkan tindakan sehingga berhasilnya cita-cita.
Cinta Zainuddin kepada Hayati itu adalah tulus. Cinta yang bukan berlandaskan nafsu. Cinta yang tidak mengatasi kecintaan kepada Tuhan. Ketulusan itulah yang membangunkan jiwanya. Saya cuba untuk mencairkan kekuatan cinta Zainuddin itu dalam konteks hubungan kita dengan Allah. Cuba kita menilai sejauh mana kecintaan kita kepada Allah dan Hari Akhirat. Atau kata lainnya, sejauh mana keimanan kita kepada Allah dan Hari Akhirat. Cinta kita belum mampu memberi kekuatan azam untuk mentaati Allah serta mengabdikan diri semata-mata kepadaNya. Apatah lagi hendak beramal. Kalau azamnya tiada, daripada manakah akan terhasilnya amal?
Kita tidak berazam dengan bersungguh-sungguh untuk meninggalkan sesuatu dosa dan kita sedih bila masih juga melakukan dosa yang sama.
Kita tidak berazam dengan sesungguhnya untuk bangun qiamullail dan kita mengadu betapa susahnya nak bangun bertahajud di malam hari.
Azam tidak ditekadkan, bagaimana mungkin kita akan berjaya. Dan azam itu bukan boleh dikutip di tepi-tepi pantai. Atau dibeli di pasar-pasar. Azam itu lahir dari kekuatan cinta. Kekuatan iman pada Allah dan Hari Akhirat itulah yang melahirkan azam yang kuat untuk menumpukan sepenuh ketaatan kepada Allah. Jika ketika mendengar azan pun, kita merasa berat untuk melangkah mengambil wudhuk, maka di tahap manakah keimanan kita kepada Allah? Sedangkan cinta kepada Allah itulah yang membangkitkan semangat dan kekuatan. Kekuatan untuk bersegera menunaikan perkara-perkara fardhu dan ditambah pula dengan amalan-amalan sunat.
Kekuatan cinta kepada Allah itu masih terlalu pudar. Sedangkan itulah yang mendorong kita untuk berlaku taat. Kekuatan itulah yang mendorong kita untuk mengenali Allah melalui kalamNya yakni Al Quran. Sebagaimana seorang kekasih yang akan mengambil tahu semua kesukaan dan kebencian kekasihnya.
“Kalau ada kepercayaanmu demikian, maka Tuhan tidaklah akan menyia-nyiakan engkau. Sembahlah Dia dengan khusyuk, ingat Dia pada waktu kita senang, supaya Dia ingat pula kepada kita di waktu kita sengsara. Dialah yang akan membimbing tanganmu. Dialah yang akan menunjukkan haluan hidup kepadamu. Dialah yang akan menerangi jalan yang gelap. Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberikannya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta.”
“Jika hati kau diberi-Nya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimNya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau dia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap pada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi.”
-Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Cinta adalah iradat Tuhan. Iaitu kehendak Tuhan. Ia bukan boleh dipaksa-paksa. Ia akan hadir pada hati yang suci yakni hati yang ikhlas menjadi hamba kepada Tuhan. Bukanlah suci itu bererti hati yang bebas daripada dosa. Kerana fitrah manusia itu akan sentiasa berdosa. Namun dalam kalangan hati yang berdosa itu, ada hati-hati yang cepat pula menyesal lantas bertaubat memohon keampunan Allah. Amal kebaikan dilipatgandakan bagi menebus keterlanjuran dalam berdosa.
Daripada hati yang suci itulah terbitnya kecintaan kepada Tuhan. Lalu kecintaan itu memberinya kekuatan dalam beramal. Bahkan kecintaan itu membuahkan pula rasa kasih kepada makhluk lain disisinya. Maka mohonlah kepada pemberi cinta agar dicabut segala hasad dan kesombongan daripada hati untuk dipenuhi dengan kecintaan.
Kecintaan kepada Tuhan, kepada manusia dan makhluk-makhluk lainnya.