Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg 2)
Bismillah.
Rumit sekali untuk memahami cinta. Apatah lagi dalam masyarakat hari ini, cinta itu didefinisikan dengan sangat jelik. Batasan syariat diredah sesuka hati demi meluahkan cinta. Dipertontonkan babak-babak yang biadap pada agama itu kepada masyarakat awam. Sehingga dosa menjadi biasa pada mata mereka. Seperti lalat yang hinggap di hidung. Sedangkan orang beriman itu, dosa itu ibarat gunung yang akan menghempapnya, kata Nabi.
Cinta yang asalnya mulia nampak hina disisi Tuhan. Akhirnya, cinta yang didefinisikan dengan cara yang salah itu, tidak memberi kepuasan. Menjadi pudar ditelan waktu.
Hamka menghuraikan kisah cinta Zainuddin dan Hayati ini dengan begitu tulus sekali. Sehingga saya termenung membacanya. Beginikah sebenarnya cinta fitrah seorang lelaki dan wanita. Mencintai bukan kerana rupa mahupun keturunannya. Tetapi kerana hati budi seorang perempuan yang suci dan sifatnya yang ingin melindungi.
Dalam novel ini, Hamka cuba membawa kita untuk memahami hakikat cinta. Cinta yang tumbuh atas dasar kemanusiaan, bukan atas dasar nafsu semata.
Kemanusiaan. Satu terma yang makin hilang dari jiwa umat. Orang-orang yang memakai pakaian agama, bertutur dengan lidah agama belum tentu ada kemanusiaannya. Sedangkan dalam Al Quran sendiri, banyak dihubungkan antara ketuhanan dan kemanusiaan. Sebagai contoh, kalimah solat pasti diikuti dengan kalimah zakat. Tersiratnya, hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia, kedua-duanya menjadi kewajipan sebagai seorang muslim.
Hidup beragama, bukan sekadar menunaikan hak seorang hamba kepada Tuhan, tetapi juga menunaikan hak sesama manusia. Empati, kasih-sayang, saling menghormati, saling menjaga, dan saling melindungi. Itulah hakikatnya orang bercinta. Cinta yang lahir dari perasaan kemanusiaan.
Mungkin ada yang berpandangan, Hamka seolah-olah terlalu mengagung-agungkan cinta sesama manusia dalam novel ini. Sebenarnya, kita semua telah sedia tahu dan faham kewajipan kita dalam mencintai Tuhan sebagaimana yang disebutkan dalam firmanNya dalam Surah At Taubah ayat 24 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad):”Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan berjihad untuk agamaNya, amka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya; kerana Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
Oleh itu, cita-cita Hamka dengan penulisan novel ini adalah untuk menghaluskan perasaan sesama manusia. Menerangkan kebenaran cinta disisi Tuhan. Kisah cinta yang jauh berbeza dengan novel-novel cinta hari ini yang kebanyakannya hanya menghanyutkan serta memanjangkan angan-angan pembaca. Sedangkan novel cinta yang ditulis Hamka ini sarat dengan adab dan kesantunan, cinta yang membawa kepada sikap ingin melindungi, menjaga kehormatan, malah memberi peringatan untuk kembali kepada Tuhan.
“Ah Hayati, kalau kau tahu! Agaknya belum pernah orang lain jatuh cinta sebagaimana kejatuhanku ini. dan bila kualami kelak agaknya tidak juga akan kau dapati cinta sebagaimana cintaku. Cintaku kepadamu lebih dari cinta saudara kepada suadaranya, cinta ayah kepada anaknya. Kadang-kadang darjat cintaku sudah terlalu amat naik, sehingga hanya dua yang menandingi kecintaan itu, pertama Tuhan dan kedua mati.”
-Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Kita singkap kembali sirah Rasulullah s.a.w dengan isteri yang paling dicintai iaitu Khadijah. Cintanya Rasulullah pada Khadijah bukan kerana hartanya yang banyak, tetapi kerana peranannya yang begitu besar dalam perjuangan Baginda nabi.
Saya memetik tulisan Hamka dalam tafsir Al-Azhar, Surah Nisa ayat 3;
“Pentinglah kedudukan Khadijah di dalam sejarah islam. Sebab dialah orang yang mula-mula beriman kepada risalat beliau; dan tidaklah pernah Khadijah bermadu dengan perempuan lain. Ibnu Ishaq; meriwayatkan: “Setiap kali hati Rasulullah dikecewakan oleh kaum Musyrikin dengan menolak dan mendustakan ajarannya, Khadijahlah yang menawari dan memperteguh hatinya dan membujuk serta mengakui kebenarannya!”