Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg 1)
Bismillah.
Zainuddin dan Hayati.
Kisah cinta yang sungguh mengharukan. Bagaimana cinta pada Hayati yang dipendam Zainuddin akhirnya bertukar dendam yang merugikan dirinya. Hakikatnya bukanlah dendam, tapi kelukaan yang dialaminya terlalu dalam setelah Hayati memungkiri sumpah yang dilafazkan. Dan akhirnya cinta mereka tidak kesampaian. Tidak sempat bersatu hati di dunia.
Watak Hayati sebagai perempuan malang yang terkorban cintanya, tergadai impiannya, mengingatkan saya pada watak Mariah dalam novel Terusir yang juga merupakan karya Hamka. Bukan Teroesir yang ditulis oleh watak Zainuddin.
Hayati dan Mariah banyak persamaan. Mariah juga seorang perempuan malang yang menyerahkan hidupnya kepada seorang lelaki yang bersumpah setia kepada bapanya. Hubungan yang tiada perkenan itu, akhirnya diizinkan bapa Mariah setelah lelaki itu berjanji untuk menjaga Mariah sebaiknya.
Mariah kira dia telah bertuah kerana menikahi lelaki dari keluarga terhormat. Namun, fitnah telah menghancur lumatkan hidupnya. Dia diusir si suami angkara fitnah keluarga si suami yang tidak menerimanya. Hancur hatinya apabila si suami tidak mempercayai kesucian dirinya.
Lantas ia membawa diri bersama hati yang telah hancur berkecai dan kesengsaraan meninggalkan jantung hatinya, Sofyan. Dek kerana pegangan agamanya tidak cukup utuh, segala susah payah yang ditempuhi untuk menyara hidupnya yang sebatang kara, berakhir di kancah pelacuran.
Ya, akibat pegangan agama yang tidak kuat, fitnah dan penganiayaan manusia yang hilang kemanusiaannya, si suami yang lupa sumpahnya kepada si bapa, akhirnya Mariah bergelar pelacur sehingga akhir hayatnya. Dan suaminya mati dalam kekesalan yang menggunung. Matinya belum jadi kerehatan baginya. Kerana dia pasti disoal tentang ‘nasib malang’ isterinya.
Okay. Dah jadi kisah Mariah pula. Berbalik kepada kisah Zainuddin dan Hayati. Latar belakang masa dan tempat serta tahap perkembangan islam ketika itu memberi kesan kepada watak yang dibawa oleh Zainuddin mahupun Hayati.
Hayati pada awalnya hidup dalam masyarakat yang terdedah kepada pendidikan agama. Ada pengajaran agama di kampungnya. Anak-anak gadis dikampungnya masih berpakaian sopan meskipun pengaruh penjajah Belanda mula meresap ke dalam masyarakat islam ketika itu terutamanya yang tinggal di kota.
Namun, pemikiran masyarakat islam ketika itu masih terikat oleh adat dan keturunan. Kemurnian islam itu belum mampu menembusi adat yang diwarisi turun temurun. Terlalu keras berpegang kepada adat sehingga hilang kesantunan hati dan budi bicara sesama manusia. Kasih-sayang tidak berkembang dengan adat yang dicipta manusia. Kasih-sayang hanya meresapi jiwa-jiwa yang beriman. Kerana kata Nabi;
“Tidak akan masuk syurga melainkan kamu beriman, tidak akan beriman melainkan kamu berkasih-sayang, dan kasih sayang itu adalah dengan memanjangkan salam”
Begitulah lebih kurang bunyinya.
Teringat pula umi pernah menceritakan hal nenek moyang kami dahulu yang sangat mementingkan keturunan. Kalau nak kahwin, mesti dengan keturunan Tengku atau Syed. Pantang anak cucu menikah dengan orang keturunan Jawa. Hah. Tok, maaf melanggar pantang larang. Bakal suami saya keturunan Jawa. Yang penting agamanya, Tok.
Alhamdulillah. Masyarakat islam hari ini sudah mula berfikiran terbuka. Tidak lagi terkekang dengan adat dan keturunan. Ruh islam mula menyerap masuk ke dalam jiwa-jiwa mereka. Walaupun ibu bapa sendiri tidak taat beragama, anak-anak dihantar ke sekolah-sekolah yang boleh mendidik mereka supaya taat beragama. Agar tidaklah menjadi seperti pepatah melayu “bapak borek anak rintik”.
Perjuangan Zainuddin setelah bangkit daripada kesedihannya ditinggalkan Hayati, adalah perjuangan membebaskan masyarakat daripada adat yang melampau.
“Cita-citanya dengan buku-buku yang dikarangnya ialah menanamkan bibit persatuan rakyat dari segenap kepulauan tanah airnya, mempertinggi kecerdasan kaum perempuan, menghapuskan adat-adat yang telah lapuk, menegakkan kemajuan yang sepadan dengan bangsanya.”
-Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.