Jurnal Hadis

Rendah Hati

Bismillah.
 
Daripada ‘Iyad Bin Himar r.a, daripada Nabi SAW, bahawa baginda berkhutbah di hadapan para sahabat dengan mengatakan,” Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan kepadaku supaya kamu bersikap rendah diri, sampai tidak ada lagi salah seorang daripada kalian saling berbangga diri kepada yang lainnya.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah,:694)

Syaitan sentiasa membisikkan dalam hati setiap kali kita melakukan amal kebaikan bahawa kitalah yang paling baik amalnya. Kadang-kadang tanpa sedar, kita merendah-rendahkan orang sekeliling kita (secara langsung atau dalam hati) seolah-olah kita langsung tidak mempunyai cacat cela. Liciknya syaitan ini, kalau ia tidak mampu menghasut kita melakukan perkara yang dimurkai Allah, maka ia akan menghasut kita untuk berlumba-lumba melakukan amal kebaikan untuk dibuktikan kepada orang ramai, bahawa kitalah yang paling baik, bukan lagi kerana mengharap redha Allah.

Ujub; merasakan diri kita baik

Riak; Menghebahkan amal kebaikan untuk menunjuk-nunjuk.

Takabbur; Berasa sombong dengan kebaikan yang dilakukan lalu merendah-rendahkan orang lain

Semoga Allah melindungi diri kita daripada sifat yang dilaknat ini.

Bagaimana hendak memelihara diri daripada mempunyai sifat-sifat tersebut dan menanam rasa rendah hati?

1. Menginsafi bahawa kita hamba berdosa.

Ambil sedikit masa untuk bermuhasabah. Menoleh ke belakang plot-plot kehidupan yang telah kita lalui. Berapa banyak dosa yang telah kita lakukan? Berapa banyak kita bertaubat daripada dosa dan kita mengulanginya kembali. Dan betapa kasihnya Allah pada kita, kerana berapa kalipun kita berdosa, berapa kali pun kita mengulangi dosa setelah bertaubat, Dia masih menyediakan kita ruang untuk bernafas agar dengan nafas itu dapat kita manfaatkan untuk mencari keampunanNya.

Maka insaflah wahai diri, betapa engkau hina di sisi Tuhanmu Yang Mulia dan Pengasih, kenapa perlu lagi engkau hipokrit merasakan dirimu lebih baik daripada manusia sekelilingmu?

2. Menginsafi bahawa amal kebaikan yang kita lakukan adalah dengan izin dan kekuatan yang Allah berikan.

Menyedari bahawa kita tidak memiliki apa-apa dan hakikat semuanya adalah pinjaman dari Allah, insaflah kita bahawa apa jua amal kebaikan yang kita lakukan, ia adalah dari Allah. Kita tidak terdaya pun untuk mendirikan solat dan membaca Al Quran jika Allah tidak memberi hidayah dan kekuatan. Kita tidak sanggup menempuh jalan kebaikan jika Allah tidak mengizinkannya. Sebagaimana firmanNya:

“Dan kamu tidak mampu menempuh jalan itu kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”-Al Insan: 30

3. Doa senjata mukmin

Mohonlah perlindungan dari Allah dan dibersihkan segala penyakit yang berada dalam hati. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan hambaNya yang sentiasa merendahkan hati serta tunduk akur pada kekuasaan dan keagungan Allah.

 
Kata Hamka,
 
“Cinta itu perang. Iaitu perang yang hebat dalam rohani manusia. Bila jiwa yang suci beroleh kemenangan kelak akan didapati seorang yang tulus, ikhlas, luas faham, sabar, dan terang hati. Jika ia kalah akan dapati seorang putus asa, sesat, lemah hati, kecil perasaan bahkan kadang-kadang hilang kepercayaan kepada diri sendiri.”
 
(Di Lembah Kehidupan)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *