Jurnal Kehidupan

Kematian yang Menghidupkan

Bismillah.

Serba salah untuk menulis. Sudah dua tiga kali saya membatalkan niat untuk menulis. Rasa malu dan tidak layak untuk membicarakan pemergian mulia seorang pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas. Tapi hati dan fikiran sentiasa teringat-ingat. Sungguh, ia sebuah kematian yang cukup menginsafkan, malah menghidupkan jiwa-jiwa yang seringkali lalai dengan dunia yang fana.

Ustazah Shadiya Abbas.

Seingat saya, pernah sekali  saya mengikut suami menghadiri kuliah Ustazah. Memang suka sangat dengan penyampaian Ustazah. Habis kuliah saya segera menghampiri Ustazah untuk meminta pendapat tentang beberapa perkara. Kenangan itu masih segar dalam ingatan. Ketika itu, suami Ustazah ada sekali menemani Ustazah.

Maka selesailah urusan Ustazah didunia. Telah berakhirlah perang mujahadah Ustazah melawan hasutan syaitan dan nafsu. Telah sempurna juga tanggungjawab Ustazah pada keluarga dan ummah. Bekalan yang berupa ilmu yang bermanfaat juga telah Ustazah tinggalkan. Mudah-mudahan mengalirlah pahala yang berterusan buat Ustazah.

Kita seringkali membicarakan soal kematian seseorang. Tapi jarang sekali kita mengambil ibrah. Kematian adalah sebesar-besar peringatan daripada Tuhan. Peringatan bahawa kita juga akan kembali kepada Tuhan. Kita juga akan dimandikan, dikafankan kemudian dikebumikan. Jasad segar yang sedang kita nikmati hari ini, akan dikambus dengan tanah apabila tiba masanya. Suatu hari nanti, orang lain pula yang akan membicarakan soal kematian kita.

Jadi bagaimana dengan persediaan kita untuk kembali kepada Allah? Tepuk dada, tanyalah iman. Rasa terlalu jauh daripada bersedia. Amalan yang kurang, dosa yang banyak bahkan bertambah setiap hari. Adakah kita ingin kembali dalam keadaan begitu?

Naudzubillahiminzalik. Ya. Fitrah manusia itu, imannya turun dan naik. Ada hari kita rajin melaksanakan amal soleh. Ada hari, solat fardhu pun terasa berat. Hakikat kehidupan atas dunia ini, adalah peperangan iman melawan hawa nafsu dan bujukan syaitan. Pasti ada salah satu yang menang. Iman atau nafsu?

Sebab itu, kita sentiasa perlu kepada peringatan. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Adz-Dzariyat ayat 55 yang bermaksud:

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”

Hari ini, terlalu banyak sumber untuk kita dapatkan peringatan yang berterusan. Melalui usrah, kuliah di masjid dan juga kuliah online. Dalam fasa PKP ini, kita masih dapat mengikuti pelbagai kuliah online yang disampaikan oleh ratusan pendakwah dan ulama’. 

Jom, kita cuba laksanakan beberapa perkara di bawah sebagai jalan untuk kita mendapat taufik dan hidayah daripada Allah agar sentiasa istiqamah berada dalam ketaatan (Ya, hidayah tidak datang bergolek, perlu kepada usaha.)

1. Membaca 1 hadis 1 hari bersama keluarga

Tetapkan satu masa, sebagai contoh setiap hari selepas solat maghrib; duduk dan bacakan satu hadis bersama keluarga. Boleh carikan satu buku hadis sebagai rujukan. Contoh kitab hadis-40 karangan Imam Nawawi.

Lagi bagus kalau buku hadis tersebut ada sedikit huraian untuk menambah kefahaman tentang hadis, sekaligus dapat mewujudkan sesi perbincangan dengan ahli keluarga tentang hadis tersebut.

Jika kita tinggal berjauhan dengan keluarga, boleh kongsikan hadis tersebut dalam group whatsapp keluarga setiap hari.

2. Sesi usrah bersama keluarga.

Pilih satu buku yang agak ringan dan santai untuk kita baca setiap hari bersama keluarga. Pilih dan tetapkan satu masa yang dirasakan sesuai. 

Sebagai contoh saya memilih buku ‘Mari Memahami dan Menghayati Bacaan Solat’ oleh Ustaz Hasnan Kasan. Sebuah buku yang dihadiahkan oleh seorang makcik ketika mengikuti kuliah Ustaz Hasnan Kasan di Masjid Kampung Baru, suatu masa dulu. Semoga Allah limpahkan kebaikan buat makcik.

Boleh buatkan giliran dengan ahli keluarga siapa yang akan baca dan terangkan isi kandungan buku tersebut setiap hari. Biar semua merasai peranan dalam berkongsi, sekaligus melatih ahli keluarga untuk berani menyampaikan dan berkongsi sesuatu ilmu.

3. Mendengar kuliah

Dalam fasa PKP, bolehla mendengar kuliah online bersama keluarga. Paling kurang, slotkan satu jam atau setengah jam setiap minggu untuk mendengar kuliah. Dengar dan catat. Setiap ahli keluarga mesti mencatat isi – isi penting daripada kuliah. Bukan dengar sambil buat kerja ya. Biasanya akal kita hanya dapat fokus satu perkara saja bila kita melakukan banyak kerja dalam satu masa.

Jadi, dalam kesibukan urusan dunia, apalah salahnya kita menyediakan satu jam untuk menuntut ilmu akhirat. Ilmu yang dapat menambah iman dan taqwa. Ilmu yang dapat membersihkan hati daripada pelbagai penyakit dan dosa. Ilmu yang dapat menambahkan rasa malu dan rendah diri pada Allah.

Dalam buku Bidayatul Hidayah, Imam Ghazali ada menyebut:

“Ilmu yang bermanfaat, adalah ilmu yang bisa menambah dalam ketakutanmu kepada Allah taala, bisa menambah pengetahuan batinmu tentang cacatnya dirimu, bisa menambah ma’rifahmu dalam beribadah kepada Tuhanmu, bisa mengurangi rasa cintamu terhadap dunia dan menambah rasa cintamu terhadap akhirat…..”


Akhir sekali, marilah sama-sama kita mengambil sedikit masa untuk memuhasabah diri. Bagaimana amalan kita? Bagaimana keadaan hati kita? Adakah penuh dengan ketenangan dan tawadhu’ atau penuh dengan kebencian dan ketidakcukupan.

Alhamdulillah ‘ala kulli haalin
Waastaghfirullaha min kulli zanbin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *