Jurnal Kehidupan

Pindah

Bismillah.

Setiap kali rasa hendak mengeluh, pasti satu persatu nikmat Allah terbayang. Begitulah manusia, tidak merasa cukup. Mudah lupa dengan pemberian Allah.

Bukan apa. Ceritanya, saya rasa terlalu penat. Emosi penat dengan pelbagai rasa yang bermain di hati. Rasa bersalah, rasa tak bertanggungjawab, rasa diri ini tak berguna dan macam-macam lagi perasaan yang menggugah emosi.
 
Mental pula penat dengan fikir pelbagai perkara; nak buat itu, nak buat ini. Terlalu banyak, sampaikan satu pun tak terbuat, otak terasa bingit dengan pelbagai perancangan dan idea. Setiap kali mengadu kepada suami tentang ini, pasti skema jawapannya begini:
 
“Abang dah cakap banyak kali, tulislah jurnal. Keluarkan semua yang ada dalam kepala tu.”
 
Masalahnya seorang Tasnim ni susah benar nak istiqamah. Buku untuk tulis jurnal dah beli cantik, pun tak tertulis juga.
 
12 April baru ni, saya mula bekerja di pejabat setelah beberapa bulan kerja di rumah. Hari yang sangat-sangat memenatkan. Perjalanan menaiki motor terasa terlalu lama. Dan perjalanan balik pula menempuh hujan lebat; mengejar masa untuk ambil anak di TASTI sebelum jam 5.30. Habis basah lencun. Malamnya kami sama-sama sakit kepala. Yang kesiannya Safiya tak dapat perhatian penuh dari mama babanya, sudahlah seharian tak berjumpa, mama baba pula dah penat sangat nak layan Safiya. Maafkan mama, sayang. 
 
Jadi, sewaktu atas motor pagi tadi, saya berangan kalaulah dapat pindah ke KL atau Sentul. Dekat sikit dengan tempat kerja. Boleh ada quality time dengan Safiya. Risiko pun kurang bila duduk dekat dengan pejabat. Ummi kat kampung pun takdela risau sangat mengenangkan anaknya ulang-alik Shah Alam – Wangsa Maju menaiki motor. 
 
‘Ala kulli hal, beginilah taqdir yang telah Allah susun. Daripada niatnya untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, tiba-tiba dikurniakan rezeki pekerjaan yang baik. Namun, nikmat Allah bagi bersama dengan ujian. Allah uji pula dengan jarak perjalanan yang agak jauh. 
 
Sebenarnya, ada juga bisikan-bisikan halus supaya saya berhenti kerja. Fokus jaga anak. Ada masa untuk laksanakan perkara-perkara lain. Tapi hanya Allah dan Tasnim sendirilah yang tahu bagaimana keadaan diri ini. Ada sebab Allah bagi pekerjaan yang baik, supaya Tasnim boleh kekal kerja di situ. Sampai bila? Kita serah pada Allah. Allah lebih tahu, untuk seorang Tasnim menjadi lebih baik, maka dia perlulah keluar bekerja. Supaya dia dapat belajar menguruskan masa dengan baik. Supaya sedikit kemahiran yang Allah pinjamkan ini dapat digunakan secara optimum untuk membantu agama Allah secara tidak langsung. 
 
Begitulah. Saya sentiasa mencari-cari hikmah. Kenapa satu ketika dahulu, ketika saya sangat inginkan pekerjaan tetap, mohon di pelbagai tempat, tapi satu rezeki pun tak dapat. Di saat saya sudah teguh hati untuk mengasuh Safiya sendiri, Safiya yang kami tunggu kehadirannya selama 5 tahun, ketika itulah Allah kurniakan rezeki kerja. Kalau difikirkan jarak, memang saya nak tolak saja tawaran kerja. Tapi hati manusia Allah yang pegang. Kun fayakun. Bila Dia kata ‘Ini rezeki engkau’, maka tidak ada kuasa yang dapat menolaknya. 
 
Begitulah seorang manusia. Hakikat yang harus kita terima, sesungguhnya kita tidak ada daya dan upaya melainkan Allah. 
 
Moga Allah bimbing langkah ini untuk kekal menjadi hamba yang taat dan bermanfaat, insyaallah.
 
15 April 2021 | 5.10PM
LRT Wangsa Maju – Putra height
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *