Jurnal Kehidupan

Terapi

Bismillah.

Orang perempuan ni, walaupun ada suami, dia masih perlukan seseorang yang lain untuk dia bercerita. Dengan suami bercerita juga, tapi ada perkara-perkara yang kita rasa tak sesuai atau tak best bila kongsi dengan suami. Maklumlah, lelaki dan wanita ini datang dari planet yang berbeza.

Pagi tadi terima mesej dari adik yang belajar di UIA, nak balik sini. Untung ada ahli keluarga yang tinggal berdekatan. Hujung-hujung minggu boleh juga luangkan masa dengan keluarga, lagi-lagi rentas negeri masih belum dibenarkan. Terubat sikit rindu pada ummi di kampung.
Jam 4.30 petang, saya keluar untuk ambil adik di LRT Alam Megah. Masuk je adik dalam kereta, tiba-tiba saya yang agak diam 2-3 minggu ni, mula membuka mulut bercerita itu ini dengan adik. Perjalanan lebih kurang 18 minit, saya saja yang bercakap. Adik setia mendengar kakaknya ini bercerita.
 
Entah. Rasa macam satu terapi dapat bercerita macam-macam hal yang bermain dibenak sejak dua menjak ni. Rasa lapang dan tenang dapat meluah apa yang terbuku di hati. Ketika masak untuk berbuka, saya bercerita lagi. Lepas berbuka sambung lagi sikit sebelum menunaikan solat maghrib.
 
Bagi diri ini, seorang wanita, adalah satu perkara yang sangat menenangkan dapat meluangkan masa dengan keluarga sendiri. Berbual tentang kehidupan masing-masing, berkongsi nasihat. Semua itu menjadi satu terapi. Terapi yang menyegarkan hati dan fikiran..
 
Antara perkara yang kami bualkan tadi adalah berkenaan ‘sangkaan atau persepsi orang lain terhadap diri kita’. Rupanya bukan saya seorang yang menghadapi masalah itu. Adik dan Ummi pun sama.
 
Rupa-rupanya, dalam bidang psikologi, ada satu istilah disebut sebagai ‘guilty feeling’ iaitu perasaan rasa bersalah. Benda inilah yang kerapkali menggangu ketenangan hati. Saya kerapkali memikirkan tanggapan orang lain terhadap diri saya. Dan semua tanggapan itu adalah tanggapan buruk. Bermaksud, saya selalu memikirkan yang orang lain memandang diri saya ini teruk, salah dan sebagainya. Sangkaan-sangkaan itulah yang menyebabkan perasaan bersalah itu sentiasa menguasai diri. Dan akhirnya ia membawa kepada inferiority complex iaitu rasa rendah diri yang teruk, rasa diri tidak berguna.
 
Begitulah. Peperangan paling besar adalah berperang dengan diri sendiri. Berperang dengan kelemahan diri, berperang dengan pelbagai sangkaan yang bermain di fikiran. Jika tidak kuat, kita akan jatuh, hilang motivasi, dan hilang arah tuju. Nak bangkit kembali perlukan sokongan orang terdekat yang sabar menahan pelbagai kerenah diri. Mulakan langkah dengan perlahan, jangan terlalu cepat, takut kita mudah lelah. Aturkan langkah dengan cermat, dan paling penting, mintalah Allah sambut tangan kita, minta Allah bimbing kembali atas jalan ketaatan. 
 
Adik pesan tadi, kena latih diri kita untuk tepis segala sangkaan-sangkaan yang datang. Dia pernah lakukannya dan katanya ,dia rasa sangat bebas. Mungkin saya harus mencuba juga. Doakan Tasnim diberi kekuatan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *