Untuk Apa Kita Hidup?
Bismillah.
Terinspirasi dengan tulisan seorang sahabat di muka buku, Saudari Nadhirah Alias. Saya terlalu ingin mengenalinya lebih dekat. Ingin sekali berusrah dengannya, mendengar butir bicara yang penuh hikmah. Sungguh tulisan kali ini sedikit sebanyak menyentuh sanubari. Mengejutkan hati dan akal yang seringkali terleka dengan urusan dunia.
Setiap daripada kita, telah Allah tentukan perjalanan hidup masing-masing. Itulah namanya takdir. Namun perjalanan kita pastinya berbeza, gunung yang kita daki, lembah yang kita turuni tidak sama. Jalan cerita yang berbeza. Tapi rupanya, di sebalik episod kehidupan yang berbeza itu, ada tujuan yang sama. Iaitu menjadi hamba Allah.
Ya, menjadi hamba Allah. Samada kita bujang, berkahwin, suri rumah atau bekerja, tujuan hidup kita tetap sama. Sepertimana yang dinukilkan Saudari Nadhirah Alias:
“Yakinlah, setiap apa yang kita alami ini bukanlah tujuan kehidupan, ianya hanyalah bahagian kehidupan yang harus kita bijak mengambilnya dan memanfaatkannya. Kerjaya bukan tujuan. Perkahwinan bukan tujuan. Tujuan kita hanyalah menjadi hamba Allah melalui segala amanah yang diberikan tadi.”
Bila direnungkan, jika kita sentiasa menginsafi bahawa setiap pekerjaan itu adalah ibadah, menguruskan rumah tangga itu ibadah, mendidik anak-anak itu ibadah, berbuat baik kepada jiran tetangga itu ibadah, maka mengapa perlu merungut?. Mengapa perlu berkeluh kesah? Paling penting, mengapa perlu bandingkan kehidupan kita dengan orang lain?
Dalam solat perlu berusaha untuk khusyuk. Begitu juga dalam ibadah lain, perlu ada kesungguhan. Jika kita bekerja, laksanakanlah amanah tersebut dengan bersungguh-sungguh, jika kita suri rumah sepenuh masa, jadilah suri rumah terbaik untuk suami dan anak-anak. Kita perlu mendidik diri untuk yakin dan percaya dengan jalan cerita yang telah tertulis.
Tapi..Tapi..
Hakikatnya adalah kita manusia biasa, yang akalnya seringkali terlupa, hatinya seringkali terleka. Maka perlulah kita berusaha mencari dan mendekati jalan-jalan yang membuat kita ingat. Antaranya melalui pembacaan, usrah, kuliah dan sebagainya.
Wallahua’lam. Sekadar mengingatkan diri sendiri yang sering alpa, agar segera menginsafi bahawa tujuan kehidupan ini hanya satu, iaitu menjadi hamba Allah yang diredhai.
Boleh baca tulisan penuh Saudari Nadhirah Alias disini.