Asas Keimanan Kepada Kitab
Bismillah
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” Al-A’raf:172
Allah mengumpulkan kita semua dalam satu alam disebut sebagai alam ruh untuk mengambil perjanjian dengan kesaksian bahawa Allah adalah Tuhan kita. Sebab itu dalam satu hadis Baginda nabi Muhammad SAW menyebutkan bahawa setiap anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fitrah.
Meskipun di alam ruh dahulu kita semua telah membuat penyaksian bahawa Allah adalah Tuhan, namun telah ditetapkan musuh untuk kita sebagai satu ujian buat kita. Dalam Al-Quran telah diceritakan bahawa syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia.
Dalam Surah Az-Zukhruf ayat 62 Allah telah berfirman:
“Dan janganlah Syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu”
Maka, Allah telah menurunkan kitab Al-Quran sebagai manual, petunjuk dan bimbingan untuk menjalani kehidupan di atas muka bumi ini. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah:2 yang bermaksud:
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”
Berikut adalah kitab-kita yang telah diturunkan kepada Rasul-Rasul:
1. Suhuf of Ibrahim – sebahagian ulama tidak mengira Suhuf Ibrahim ini sebagai kitab.
2. Taurat – Nabi Musa a.s
3. Zabur – Nabi Daud a.s
4. Injil – Nabi Isa a.s
5. Al- Quran – Nabi Muhammad s.a.w
Namun begitu, kaum yahudi dan nasrani telah mengubah kitab yang diturunkan Allah ini, mengikut hawa nafsu mereka. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 79 yang bermaksud:
“Maka celakalah orang-orang yang menulis kitab dengan tangan mereka (sendiri), kemudian berkata, “Ini dari Allah,” (dengan maksud) untuk menjualnya dengan harga murah. Maka celakalah mereka, karena tulisan tangan mereka, dan celakalah mereka karena apa yang mereka perbuat”
Kitab terakhir iaitu kita Al-Quran pula telah Allah janjikan untuk diperlihara. Firman Allah dalam Surah Hijr ayat 9 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya”
Allah sendiri yang menjaga Al-Quran ini dengan menjadikan ia mudah dihafal dan mudah difahami.
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”. (Al-Qamar:17)
Jom kita renungi tiga hadis Baginda Nabi s.a.w berkenaan Al-Quran:
1. Belajar dan mengajarkan Al-Quran
Dari Utsman RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al Qur’an dan mengajarkannya.” (HR Bukhari, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah)
2. Tingkatan di syurga bergantung kepada hafalan Al-Quran
Dari Abdullah bin Amr radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Ditawarkan kepada penghafal Al Qur’an, baca dan naiklah ke tingkat berikutnya. Baca dengan tartil sebagaimana dulu kamu mentartilkan Al Qur’an ketika di dunia. Karena kedudukanmu di surga setingkat dengan banyaknya ayat yang kamu hafal.”
(HR. Abu Daud 1466, Turmudzi 3162 dan dishahihkan Al-Albani)
3. Kelebihan membaca Al-Quran
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]