Jurnal Kehidupan

Kenapa Kita Perlu Menulis?

Bismillah.

Pagi ni otak agak beku dan tangan terasa kaku hendak menulis. Tapi saya cuba memaksa diri, sebab masa untuk menulis ni bukan selalu ada. Bila hati rasa nak menulis tapi tak tahu nak mula dari mana, haa..tulis je apa-apa; macam saya tulis sekarang. Huhu.

Sebelum menulis, mulakan dengan bismillah. Mohon Allah bimbing apa yang kita akan tulis. Kemudian kena fikir dan renung sebentar, untuk apa kita menulis. Pesan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang – menulis adalah untuk mengikat ilmu yang kita pelajari kerana fitrah manusia itu sering terlupa dan leka. Sebab itu, kita perlu melatih diri kita untuk tulis apa sahaja yang kita belajar, secara formal mahupun secara tidak langsung.

Contohnya, kita tulis apa pelajaran yang kita dapat daripada buku yang dibaca, daripada ceramah yang kita dengar, daripada sahabat yang bercerita, malah dari apa-apa peristiwa yang kita perhatikan dengan mata dan telinga serta seluruh pancaindera yang Allah kurniakan. Namun kena ingat, menulis apa yang kita pelajari, berbeza dengan menulis pendapat tentang sesuatu isu. Macam sekarang banyak sungguh isu di Malaysia ini. Elakkan menulis perkara yang kita tidak tahu hujung pangkalnya. Fokus menulis apa yang kita belajar dan berkongsi apa yang kita rasa dan faham. Bukan saja jadi peringatan untuk kita, tapi juga insyaallah jadi manfaat untuk orang lain.

Oh ya! Nak menulis ni tak semestinya perlu pergi kelas, tak perlu tunggu pandai menulis baru nak menulis. Sebab kalau tak mula menulis, memang takkan pandai sampai bila-bila. Penulisan kita jadi matang apabila kita sering membaca dan menulis. Dua tabiat ni akan membantu kita menjadi seorang penulis yang baik. Satu lagi tips, kita menulis bila kita rasa teruja dengan sesuatu ilmu yang kita pelajari atau kita merasa sedih dengan sesuatu peristiwa yang berlaku – ini namanya menulis dengan emosi. Ia membantu kita meterjemahkan apa yang kita rasa dalam hati ke dalam bentuk penulisan. Tapi jangan menulis dengan perasaan marah tau, takut ada syaitan yang masuk campur dalam penulisan kita.

Bagi saya menulis ini menjadi satu ruang untuk saya ‘clear‘kan apa yang ada dalam fikiran. Selagi tak tulis, selagi itu saya akan fikir perkara tersebut lalu ia menjadi beban kepada otak. Sebab banyak lagi benda baru yang akan datang setiap hari, yang perlu kita fikir. Salah satu sebab lagi adalah, saya nak tinggalkan pesan, perkongsian, nasihat dan luahan rasa kepada jantung hati saya, Aisyah Safiya. Kalau ditakdirkan saya tiada kelak, mudah-mudahan tulisan ini menjadi ‘Tasnim’ yang masih hidup disampingnya.

Boleh baca selanjutnya Tips Membaca dan Menulis Abdul Hadi Awang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *