Perang Tabuk Siri 2: Jihad Dengan Harta Benda
Bismillah.
Sebagaimana yang telah diceritakan dalam siri yang pertama, Perang Tabuk adalah perang yang menuntut pengorbanan harta. Jumlah tentera muslimin adalah seramai hampir 30,000 orang; maka sudah tentulah memerlukan belanja yang besar bagi menyediakan haiwan tunggangan dan juga peralatan senjata.
Bab jihad dengan harta ini, ada satu kisah yang kita selalu dengar tentang pengorbanan harta oleh Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Abu Bakar. Saya salin kembali apa yang ditulis oleh pengarang:
Tarmizi meriwayatkan daripada Zaid ibn Aslam daripada bapanya, katanya: “Saya dengar Umar Ibnul-Khattab berkata: “Kami disuruh bersadaqah oleh Rasulullah. Berkebetulan di waktu itu saya ada harta, saya berkata sendiri; Hari ini saya akan mendahului Abu Bakar. Saya pun membawa separuh daripada harta saya kepada Rasulullah. Ditanya oleh Baginda: “Apa yang ditinggalkan untuk anak dan isteri awak?” Saya jawab: “Sama seperti ini” (yakni separuh saya tinggalkan untuk mereka).
Kemudian datanglah Abu Bakar membawa semua yang ada padanya. Baginda bertanya: “Wahai Abu Bakar, apa yang awak tinggalkan untuk anak dan isteri awak?” Jawabnya: “Saya tinggalkan kepada mereka Allah dan RasulNya”. Kata Umar: “Saya tidak pernah boleh mendahului Abu Bakar selama-lamanya”
Sekian tulisan pengarang.
Ada juga sahabat-sahabat yang datang bertemu Nabi meminta haiwan tunggangan yang ingin digunakan untuk keluar berjihad. Namun tiada haiwan yang dapat Rasulullah berikan, lalu mereka pulang dengan linangan air mata kerana tidak mampu untuk keluar berjihad.
Sungguh, kita tidak akan selamanya mampu mencapai kekuatan iman dan taqwa yang ada dalam diri sahabat Rasulullah SAW. Keimanan yang memenuhi jiwa sehingga tidak ada lagi cinta kepada dunia. Bahkan merasa sedih dan hampa apabila tidak dapat bersama menyertai jihad di jalan Allah.
Namun, kita berusaha juga dengan daya yang ada dan semampu mungkin, untuk berinfaq di jalan Allah. Dan mencari ruang-ruang yang ada untuk kita menyumbang masa, harta dan tenaga di atas jalan menegakkan kalimah Allah serta mengajak manusia kepada kebaikan. Iaitu jalan untuk kembali kepada Allah; dengan melaksanakan segala titah perintahnya, menjauhi larangannya dan menumpukan segenap hati, daya dan fikiran untuk terus melakukan amal soleh.
Wallahua’lam.