Jurnal Kehidupan

Qadar Allah

Bismillah.

Masa buat keputusan untuk berhenti kerja dulu, ragu-ragu juga sebenarnya. Sebab dah rasa belonging dengan company dan rasa sayang sangat sebab itulah rezeki kerja pertama yang Allah kurniakan sebagai Graphic Designer. Tambah lagi, itulah doa yang Allah makbulkan untuk bekerja di sebuah syarikat NGO Muslim.

Dari aspek pengalaman pula, masya-Allah! Bagi seorang designer picisan seperti saya ini, pengalaman bekerja di MRM adalah tersangat mahal. Banyak sangat perkara baru yang saya belajar, bukan sahaja dalam bidang grafik, tetapi juga dalam bab komunikasi, pengurusan kerja dan paling best dapat tambah ilmu agama melalui kelas-kelas Brother Kaleem dan tazkirah lepas Solat Asar. Alhamdulillah!

Ada sebahagian ilmu yang dikongsikan oleh Brother Kaleem saya abadikan dalam blog percuma ini sebab ilmu itu perlu diikat lantaran manusia ini sifatnya LUPA. Sekali-sekala belek balik nota kuliah ini menjadi peringatan semula buat diri dan dapat juga mengimbau kenangan manis bekerja di MRM.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

“Segala puji bagi Allah, dengan kenikmatan dari-Nya menjadi sempurna semua amal kebaikan”

Namun qadar Allah, jodoh saya dengan MRM tidak panjang. Cukup 1 tahun 3 bulan yang sangat bermakna, saya berundur dan mula mempersiapkan alat dan senjata yang perlu untuk memburu pekerjaan yang baharu.

Fasa mencari kerja adalah satu fasa yang penat mental dan emosi sebenarnya. Sebab banyak faktor yang perlu diambil kira. Antaranya jarak ke tempat kerja, gaji yang ditawarkan, nature company sesuai atau tidak dengan diri kita dan sebagainya.

Fasa ini fasa yang penuh keraguan dan dilema sekiranya kita tidak mengembalikan segala usaha dan urusan ini kepada Allah. Ya, bukankah Dia dah menetapkan segalanya bagi kehidupan kita? Tugas kita adalah berusaha dan berdoa agar dikurniakan pekerjaan yang baik. Seharusnya tidak ada kerisauan dah kalau kita sandarkan segala urusan itu kepada Allah. Inilah ujian untuk menguji sifat tawakkal, kebergantungan kita kepada Allah dan keyakinan kita kepada apa yang telah ditakdirkan.

Suami banyak kali berpesan, doakan begini: “Ya Allah, jika ini yang terbaik, maka mudahkanlah.”

Jadi apabila pekerjaan yang kita nak sangat tapi kita tak dapat, maka yakinlah mungkin pada pandangan Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu bahawa ini bukanlah yang terbaik.

At the first place, kena perhalusi balik niat kita untuk bekerja. Kerana duitkah? Kerana glamourkah? Atau kerana kita mengharapkan sebuah pekerjaan yang menjadi jalan untuk kita lebih dekat dengan Allah, pekerjaan yang menjadikan kita hamba yang lebih baik, lebih berdisiplin dan lebih bertanggungjawab, bukan sahaja terhadap kerja tetapi juga tehadap suami, anak-anak dan masyarakat.

Bila dah dapat kerja, ketepikan segala keraguan yang dibisikkan oleh nafsu dan syaitan. Bersandarlah pada Tuhan Yang Maha Kaya, dan yakinlah dengan penuh keimanan, insya-Allah ini yang terbaik. Maka cari dan kutiplah hikmah yang ada sepanjang perjalanan takdir dalam kerja yang baru ini.

Siiru ‘ala barakatillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *