Pahala Tanpa Batas
Bismillah.
Bila Allah rezekikan bekerja di Ara Damansara ni, sebenarnya ada satu kenangan terpahat di sebuah rumah PPR yang terletak betul-betul berhadapan dengan stesen LRT Ara Damansara.
Semasa tinggal di Bukit Lanchong tahun 2018-2019 dahulu, saya pernah bekerja sebagai ‘maid’ sebuah keluarga di rumah PPR tersebut. Tidak tahulah mana datang kekuatan untuk berkerja sebagai orang gaji yang bertanggungjawab membersihkan rumah dan menjaga 3 orang anak-anak yang masih kecil. Yang pasti, begitulah ketetapan Allah SWT agar saya dapat menimba satu pengalaman yang berharga yang mungkin mencorakkan diri saya pada hari ini.
Qadar Allah, hubungan saya dengan majikan yang saya panggil Kak F, lebih daripada sekadar hubungan antara majikan dan pekerja. Dah macam kakak dan adik pula. Kami berkongsi rasa, pengalaman hidup dan pelbagai kisah suka dan duka. End up, saya bekerja di rumah tersebut lebih kepada ingin membantu dan memudahkan urusan kakak tersebut memandangkan beliau sedang teruk alahan mengandungkan anak keempat, yang mana ketika itu anak ketiganya baru berumur 9 bulan.
Oh ya, sedikit latar belakang Kak F ni, ketika itu beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat PHD di sebuah universiti awam. Mempunyai 3 orang cahaya mata, seorang perempuan dan dua orang lelaki. Kak F sebenarnya merupakan isteri kedua yang mana hubungan dengan isteri pertama dan ibu mertua kurang baik.
Satu hari, ketika sedang berbual sambil menyuapkan anak-anak makan, saya bercerita dengan Kak F.
“Kak F perasan tak, biasanya Allah uji kita dengan perkara yang paling kita takut”
Ya. Allah uji saya dengan dua perkara yang sangat saya takut. Dua perkara yang benar-benar menguji keimanan dan pergantungan kepada Allah. Namun alhamdulillah, kasih sayang Allah yang Maha Luas itu memberi kekuatan untuk saya terus bangkit melangkah meskipun jatuh berkali-kali. Dia-lah yang tidak pernah meninggalkan saya walaupun ada ketika saya pernah cuba berpaling dari-Nya. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Tasnim yang lalu.
Dan alhamdulillah ‘ala kulli hal, satu daripada ujian itu telahpun diangkat sehingga hati ini menjadi ringan dan tenang. Ujian kedua pula masih menjadi asbab untuk diri ini terus menguatkan tawakal kepada Allah disamping bermujahadah melakukan amal-amal kebaikan untuk meraih reda dan pandangan-Nya. Susunan taqdir Allah begitu indah, dan makna setiap ujian itu akan makin kelihatan apabila semakin lama dan kita semakin sabar menempuh ujian tersebut. Daripada sabar akhirnya ujian tersebut juga melahirkan rasa syukur kepada Allah.
“Betullah Tasnim. Allah uji akak perkara yang paling akak takut. Dulu akak paling takut jadi isteri nombor 2”
Kak F mula bercerita. Dan cerita-cerita kami seolah – olah bertemu di satu titik iaitu:
‘Sejauh dan sekuat mana kita tidak ingin atau tidak suka dengan sesuatu perkara, jika Allah kata jadi maka jadilah. Tidak ada daya dan upaya untuk kita menolak ketentuan Allah. Sakit bagaimanapun, pilu bagaimana pun hati ini, tetap juga kita perlu tempuh dengan secebis kekuatan yang ada.’
Hikmah daripada setiap ujian itu adalah PAHALA SABAR yang berterusan dalam setiap saat kita menghadapi apa jua ujian samada ujian kehilangan, kesakitan, kekurangan dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud:
“Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
Pahala tanpa batas. Mudah-mudahan setiap ujian daripada kehidupan kita di dunia ini menjadi modal untuk memperoleh pahala yang tiada batas di sisi Allah SWT dan pastinya kita mengharapkan keampunan Allah atas segala dosa kita dengan asbab ujian yang diberikan.
Wallahua’lam.