Jurnal Kehidupan

Sinar Indah

Bismillah.

Setiap aturan Allah SWT itu indah.

Pesan yang sempat saya dengar melalui corong radio IKIM FM sentiasa berputar di kepala. Saya cuba menghayati maknanya. Saya pasakkan ke dalam hati sanubari agar ia menjadi satu prinsip hidup yang menjadikan saya seorang hamba yang lebih besar sifat sabar dan teguh jiwa dalam menghadapi apa jua ujian kehidupan.

Meyakini bahawa setiap qadar Allah SWT itu baik dan indah juga akan meluaskan pandangan akal dan hati pada hal-hal yang tidak jelas tampaknya melalui pandangan mata. Ia melahirkan kelapangan hati dan kesannya adalah pada fikiran dan emosi yang lebih tenang dan rasional.

Sabtu yang lalu, Allah SWT izinkan saya meluangkan masa bersama Hamidah di Taman Rimbayu, brisk walk sambil menikmati keindahan alam dan berbual tentang kehidupan. Rabu baru-baru ini pula, saya bertemu dengan orang Qatar – Fatin bersama baby Aaliyah.

Masya-Allah, seronok bertemu dengan sahabat-sahabat yang baik.

Sebagai seorang suri rumah, saya sangat menghargai teman-teman yang sudi mengajak saya keluar – walaupun sekadar untuk berbual. Pada saya, berbual tentang kehidupan dapat meningkatkan proses berfikir sehingga lahirnya hikmah dan ilmu yang sebelum ini tertutup rapat.

Apa yang dapat saya simpulkan daripada perbualan dalam dua pertemuan ini adalah – setiap hamba ada bahagian nikmat dan ujian masing-masing.

Bahkan hidupnya kita dengan setiap hela nafas yang Allah SWT izinkan itupun adalah satu bentuk ujian. Apatah lagi dalam menjalani langkah demi langkah untuk mengisi kehidupan itu sendiri, pasti ada ujian-ujian yang kecil mahupun besar yang perlu kita tempuhi.

Yang pasti, ujian yang membuatkan kita patah hati itu adalah bentuk kasih sayang Allah SWT buat hamba-Nya.

Pelik bukan?

Secara logiknya, apabila kita menyayangi seseorang, pasti kita sentiasa melakukan perkara yang baik-baik untuknya.

Tetapi bagi Allah SWT sifirnya tidak begitu. Kerana Allah SWT Maha Bijaksana dalam memberikan hikmah dan kebaikan kepada seseorang hamba. Allah SWT Maha Mengetahui perkara yang telah lalu dan akan datang, bahkan apa yang tersembunyi dalam hati kita.

Boleh jadi, untuk seorang hamba, nikmat yang diberikan akan menjadikannya lebih bersyukur. Bagi seorang hamba yang lain pula, diberikan ujian yang akhirnya menjadikan hamba itu lebih taqarrub dengan Allah SWT.

Bukankah taqarrub dengan Allah SWT itu satu keindahan yang sangat kita hajatkan?

Hakikat ujian memang melelahkan. Seakan tidak pernah habis. Kadang-kadang rasa terlalu lemah untuk bangkit kembali.

Tetapi kita hamba yang beriman, insya-Allah tidak akan pernah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Kasih sayang Allah SWT buat kita lebih besar daripada kasihnya seorang ibu. Sentiasa fikir dan pasakkan keyakinan begitu dalam hati.

Antara bukti kasih sayang Allah SWT pada saat ini adalah, kita masih lagi bernafas. Nikmat yang terlalu besar untuk kita kufuri. Dengan nafas itulah kita ada kesempatan untuk terus hidup, berjuang dengan kemampuan yang ada untuk mengumpul bekal amal yang baik.

Kerana hidup dengan ujian di dunia ini hanya sementara. Jangan sampai kita terlalu fokus dengan ujian sehingga terlupa kita ada kehidupan abadi yang perlu kita sediakan bekal amal dan taubat. Ada sinar indah di hujung sana yang kekal selamanya.

Jom kita baca dan hayati kalam Allah SWT yang menyembuhkan jiwa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 155-157:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (155)

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.(156)

أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۭ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(157)

Masya-Allah! Tiga ayat ini disusun dengan sangat indah. Hebatnya Allah SWT dalam menyusun kalam-Nya tepat menyentuh jiwa manusia.

Pada ayat 155, Allah SWT menerangkan beberapa bentuk ujian yang diberikan kepada manusia. Di hujung ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa ada khabar gembira buat orang-orang yang sabar.

Pada ayat 156, Allah SWT menunjukkan pula kepada kita bagaimana sikap kita apabila ditimpa sesuatu kesusahan – iaitu dengan mengucapkan kalimah istirja’ yang menggambarkan bahawa hati kita sepenuhnya reda menerima ketentuan yang Allah SWT berikan.

Kemudian pada ayat 157 pula Allah SWT menyebutkan pula khabar gembira buat mereka yang sabar iaitu ganjaran berupa limpahan kebaikan, rahmat dan petunjuk-Nya.

Subhanallah. Allahuakbar.

Disebalik apa pun ujian yang sedang kita tempuhi, ada ganjaran besar dunia dan akhirat yang Allah SWT janjikan buat hamba-Nya yang sabar. Maka pilihan yang kita adalah perbesarkan sifat sabar sehingga dada kita terasa lapang dan langkah lebih teguh menongkah arus.

Hilangkanlah duka, ukirlah senyum di wajah sambil berkata pada hati;

حَسْبِيَ اللّٰهُ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَ ۗ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ

“Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy (singgasana) yang agung.”

P/S: Girls, it’s okay untuk menangis, untuk rasa down. Tapi jangan lama-lama. Kita ada akhirat untuk bahagia yang abadi. Bangkitlah dengan bisikan doa yang tidak putus. Yakin, Allah SWT sentiasa ada untuk hamba-Nya berpaut ketika sedang lemas. Ketika sedang buntu, Dia ada untuk memberikan kita jalan keluar. Beleklah al-Quran, di sana ada penyembuh.

One thought on “Sinar Indah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *